Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KETUJUH: (Bahagian 1) Para Pendukung Sunnah Malaysia Penyemai Bibit Perpecahan, Fahaman Radikal Dan Anti Kerajaan.

TOHMAHAN KETUJUH: (Bahagian 1)

Para Pendukung Sunnah Malaysia Penyemai Bibit Perpecahan, Fahaman Radikal Dan Anti Kerajaan.

Dalam Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 2, Al-Ghari mentohmah para pendukung Sunnah yang beliau gelarkan wahabiyyah sebagai penyemai bibit perpecahan dan salah faham agama. Manakala dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 23-39 (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 9-24) Al-Ghari mentohmah para pendukung Sunnah sebagai berfahaman radikal yang ultrakonservatif, mengancam nilai-nilai akhlak, moral masyarakat dan perpaduan umat serta penyebab kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Al-Ghari juga mengaitkan semua tindakan ganas yang dilakukan oleh pihak dan kumpulan tertentu sebagai tindakan puak Wahabi.

Al-Ghari berkata (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 21):

“Muhammad Abdul Wahhab sendiri telah melancarkan peperangan kepada kerajaan Islam Uthmaniyyah yang menguasai Makkah dan Madinah dengan menganggap kerajaan tersebut sebagai zalim, tidak islamik dan menggalakkan bidah dalam negara. Rentetan kerjasama antara Muhammad Abd Wahhab, Amir al-Suud dan Kerajaan British dalam komplot menjatuhkan kerajaan Islam Turki dapat dilihat secara jelas”.

PENJELASAN:

* Pertama: Antara Perpaduan Umat Dan Al-Amar Bi Al-Maruf Wa Al-Nahi ‘An Al-Munkar.

* Kedua: Beberapa Contoh Amalan Khurafat Dan Bid’ah Pada Zaman Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab

* Ketiga: Manhaj Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab Membanteras Khurafat Dan Bidah Pada Zamannya.

* Keempat: Hubung Kait Antara Gerakan Dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab Dan Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pertama: Antara Perpaduan Umat Dan Al-Amar Bi Al-Maruf Wa Al-Nahi ‘An Al-Munkar.

Tohmahan ke atas Ahli Sunnah sebagai pemecah belah perpaduan masyarakat, Khawarij dan penentang pemerintah bukan suatu yang baru, kerana ia telah berlaku sejak dari dulu lagi, iaitu ketika masyarakat dan para pemerintah Islam di kelilingi oleh ramai para pendukung bidah dan khurafat. Bahkan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah dituduh sebagai pemecah belah masyarakat, meskipun ajaran yang dibawanya adalah kebenaran yang nyata. Oleh kerana para pendukung Sunnah seperti Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab rahimahullah melancarkan usaha dakwah memerangi khurafat dan syirik, maka tidak hairanlah bila para pendukung khurafat yang ingin mengampu mana-mana pemerintah Islam akan memfitnahnya sebagai menentang pemerintah.

Sesungguhnya dakwah memerangi khurafat termasuk dalam kerja-kerja amar maruf dan nahi munkar yang menjadi simbol kecemerlangan bagi umat yang terbaik. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ

Maksudnya: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah”[1].

Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

Maksudnya: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar”[2].

Sesebuah umat hanya akan dilihat sebagai umat yang terbaik dan beriman, selagi mana anggota masyarakatnya menunaikan tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar ini. Sebaliknya jika mereka mengabaikan tanggungjawab ini, maka mereka tidak lagi menjadi umat yang terbaik, sebaliknya akan dilihat pula sebagai umat munafiq. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Orang munafiq lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama. Mereka menyuruh kepada yang mungkar dan melarang daripada yang ma’ruf”[3].

Seandainya tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar dapat dilaksanakan dengan berkesan, maka segala kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat akan dapat diperbetulkan. Sebaliknya jika tanggungjawab ini diabaikan, maka ia mengundang laknat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Bani Israel. Firman Alah Subhanahu wa Ta’ala:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ كَانُواْ لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Telah terlaknat orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa Putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka tidak melarang antara satu sama lain daripada perbuatan mungkar yang mereka lakukan[4].

Dalam mentafsirkan maksud ayat di atas, Ibn Kathir rahimahullah membawa hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, At-Tarmizi, Ibn Majah dan lain-lain, yang menjelaskan bahawa faktor kelemahan yang mula-mula sekali menimpa Bani Israel ialah bila tiada lagi orang yang berani menegur kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka. Bahkan beberapa kerat yang pada mulanya berani menegur akhirnya terheret sama untuk melakukan kemungkaran tersebut[5].

Sejarah yang telah berlaku ke atas Bani Israel boleh berlaku juga ke atas umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sekiranya mereka mengabaikan kewajipan amar maruf dan nahi mungkar sebagaimana kaum Bani Israel mengabaikannya. Menyedari tanggungjawab dakwah ini, maka Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab mengambil inisiatif untuk memerangi gejala khurafat yang berleluasa pada zamannya.

Kedua: Beberapa Contoh Amalan Khurafat Dan Bidah Pada Zaman Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab.

Gejala khurafat yang berlaku pada zaman Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab rahimahullah telah mencapai kemuncaknya, terutama dalam aspek pemujaan terhadap kubur, pokok, batu serta memohon hajat daripadanya. Masyarakat di negeri Najd memuja dan memohon hajat daripada kubur Zaid Ibn Al-Khattab dan Dirar Ibn Al-Azwar, dengan keyakinan ia boleh menunaikan hajat mereka. Mereka juga memuja pokok-pokok tamar jantan yang besar, jika seseorang perempuan lewat kahwin dia akan pergi ke tempat pokok berkenaan lalu memeluk dan memohon hajat daripadanya, seraya berkata: “Hai jantan segala jantan! Aku inginkan seorang suami sebelum habis tempoh”. Di sana juga ada sepohon pokok dikenali sebagai At-Tarafiyyah, mereka bergantungan dan memohon hajat kepadanya dengan menggantungkan tali azimat dengan harapan anak mereka akan selamat daripada kejahatan[6].

Di daerah Diriyyah (bahagian selatan negeri Najd), terdapat sebuah gua yang didakwa terbentuk untuk menyelamatkan seorang wanita yang teraniaya, dikenali sebagai Bint Al-Amir, lalu mereka memujanya dengan menghantar dan meletakkan makanan seperti daging dan roti di dalamnya. Di daerah yang sama terdapat seorang lelaki dikenali sebagai Taj yang mendakwa memiliki kedudukan wali, lalu orang ramai bertabarruk (mengambil berkat) dengannya dan memohon pertolongan daripadanya kerana menyangka dia memiliki kuasa tertentu. Sedangkan lelaki itu dikenali dengan tabiat jahat yang bercanggah dengan hukum hakam agama. Kepercayaan dan amalan seumpama ini berjangkit sehingga ke kawasan Tanah Haram (Makkah dan Madinah), dimana perkara yang sama dilakukan terhadap kubur Ummul Mukminin Maimunah dan Khadijah radhiallahu ‘anhuma. Bahkan jika ada penjenayah yang menziarahi salah satu daripada kubur Mahjub atau Abu Talib mereka tidak akan menahannya kerana menghormati kubur tersebut[7].

Di Taif berlaku pemujaan terhadap kubur Ibn Abbas radhiallahu 'anh melalui upacara berdoa, bernazar dan korban (penyembelihan binatang) di sisinya. Ada ulama yang terkejut melihat upacara itu berkata: “Penduduk Taif tidak kenal Allah tetapi hanya kenal Ibn Abbas”. Lalu ada yang menjawab: “Itu sudah memadai kerana dia (Ibn Abbas) seorang yang mengenali Allah”. Di Jeddah berlaku pemujaan terhadap kubur yang dianggap sebagai kubur Hawwa’ Ummul Basyar, hasil rekaan kuncu-kuncu iblis. Demikian juga khurafat yang berlaku di perkuburan Al-Alawi sekitar tahun 1210H, di perkuburan Husain Ibn Ali radhiallahu ‘anh, Abd Al-Qadir Al-Jilani rahimahullah di Iraq dan Ahmad Al-Badawi di Mesir. Begitu juga khurafat yang berlaku di Yaman, Hadramaut, Najran, Halab, Damsyik, Mausil dan Halab[8].

Menjelaskan fenomena khurafat ini, Ismail Ad-Dahlawi berkata:

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa gejala syirik telah berleluasa dan tersebar pada zaman ini, manakala tauhid yang sebenar pula telah menjadi suatu yang asing. Namun, kebanyakan orang tidak tahu erti syirik, lalu mereka mengaku beriman sedangkan mereka sebenarnya bergelumang dan terpalit dengan kesyirikan itu. Justeru, antara perkara penting sebelum segala yang lain, ialah hendaklah manusia memahami pengertian syirik dan tauhid (terlebih dahulu) serta mengetahui hukum kedua-duanya dalam Al-Quran dan Hadith.

…Antara yang dilihat hari ini bahawa ramai orang yang memohon pertolongan daripada para guru, nabi, imam, shuhada’, malaikat dan jin ketika kesulitan. Mereka menyeru dan melaungkan nama-namanya, memohon ditunaikan segala hajat dan keinginan, mereka bernazar untuknya dan bertaqarrub (melakukan ibadah untuk menghampirkan diri) dengan sesuatu persembahan supaya ia menunaikan hajat mereka dan menyelesaikan masalah mereka. Kadang-kala mereka menisbahkan anak mereka kepadanya kerana semata-mata untuk mengelak bala’, lalu sebahagian mereka menamakan anak mereka Abd An-Nabiyy (hamba nabi)”[9].

Fenomena khurafat yang berleluasa ini telah mewujudkan alasan syara’ yang kukuh bagi Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab untuk menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya melalui usaha dakwah dan jihad. Persoalannya, kenapakah usaha dakwah yang dilancarkan untuk memerangi gejala khurafat yang berleluasa itu dipandang serong, sedangkan usaha itu adalah suatu kewajipan agama yang terpenting?

Jika persoalan ini diajukan kepada para pendukung khurafat, maka mereka pantas sahaja mentohmah usaha dakwah itu sebagai mengancam nilai-nilai akhlak dan perpaduan kerana mereka ingin mempertahankan amalan khurafat yang mereka lakukan itu. Akan tetapi jika ia diajukan kepada para pendukung Sunnah yang memahami bahaya syirik dan khurafat, nescaya mereka akan melihatnya sebagai usaha yang positif, yang kena pada masa, tempat dan keadaannya. Usaha menghapuskan gejala khurafat dan bidah yang berleluasa dalam masyarakat tidak boleh dianggap sebagai fitnah pemecah belah perpaduan, kerana yang menimbulkan fitnah bukanlah usaha dakwah tersebut tetapi (fitnah yang sebenar ialah) kedegilan dan kejahatan pihak yang mempertahankan khurafat setelah ditegakkan hujah kepada mereka.

Sebagai perbandingan, jika usaha menghapuskan gejala khurafat dan bidah dilihat sebagai mengganggu perpaduan masyarakat, maka tidak seharusnya pihak Jabatan Agama di Malaysia mengadakan unit penguatkuasa untuk menyiasat dan menyerbu lokasi-lokasi ajaran sesat serta menangkap para penganutnya di Malaysia.

[1] Ali Imran, 3: 110.

[2] At-Taubah, 9: 71.

[3] At-Taubah, 9: 67.

[4] Al-Maidah, 5: 78-79.

[5] Ismail Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-Azim, Dar al-Marifah, Beirut, Lubnan, 1988, 2: 85-87.

[6] Abd Al-Latif Ibn Abd Ar-Rahman, Ad-Durar As-Saniyyah, Dalam: Nasir Ibn Abd Al-Karim Al-Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 49.

[7] Abd Al-Latif Ibn Abd Ar-Rahman, Ad-Durar As-Saniyyah, Dalam: Nasir Ibn Abd Al-Karim Al-Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 49.

[8] Abd Al-Latif Ibn Abd Ar-Rahman, Ad-Durar As-Saniyyah, Dalam: Nasir Ibn Abd Al-Karim Al-Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 50-51.

[9] Ismail Ibn Abd Al-Ghani Ad-Dahlawi, Risalah At-Tauhid, Hal: 25-26, CD Rom Markaz At-Turath, Amman, Jordan.

No comments:

Post a Comment