Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KETUJUH: (Bahagian 2)

TOHMAHAN KETUJUH: (Bahagian 2)


Ketiga: Manhaj Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab Membanteras Khurafat Dan Bidah Pada Zamannya.

Gerakan dakwah islah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab rahimahullah bukan dilancarkan secara membabi buta, tanpa ilmu dan tanpa mengambil kira garis panduan syara’. Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab tidak melancarkan gerakan dakwahnya berdasarkan teori komunis ‘tujuan menghalalkan cara’. Sebaliknya ia dilakukan secara penuh hikmah dengan mengambil kira segala aspek yang diberi perhatian oleh syara’. Dalam konteks ini, Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab berkata:

وأرى وجوب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر على ما توجبه الشريعة المحمدية المطهرة.

Maksudnya: “Aku berpendapat wajib menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran mengikut apa yang diwajibkan oleh syariat Nabi Muhammad yang suci[10].

Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa gerakan dakwah islah yang dilancarkan oleh beliau adalah semata-mata untuk memenuhi tanggungjawab amar maruf dan nahi mungkar yang diwajibkan oleh ajaran Islam mengikut garis panduan syariat Islam itu sendiri. Apa yang pasti, pendekatan beliau dalam persoalan dakwah ini tentunya banyak dipengaruhi oleh pemikiran Ibn Taimiyyah rahimahullah. Dalam hal ini, Ibn Taimiyyah telah menghasilkan beberapa risalah mengenai konsep amar maruf dan nahi mungkar, seperti yang terkandung dalam kitab Majmu al-Fatawa, As-Siyasah Asy-Syariyyah, Al-Hisbah dan Dawabit al-Amr Bi al-Maruf Wa an-Nahy An al-Munkar. Justeru, sesiapa yang ingin mengetahui apakah pegangan sebenar Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dalam persoalan dakwah, jihad dan politik, maka hendaklah dia membaca keseluruhan karya-karya Ibn Taimiyyah terlebih dahulu. Dalam karya-karya ini, Ibn Taimiyyah telah menyusun beberapa garis-panduan dakwah berdasarkan nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah[11], antaranya:

  • Pertama: Hendaklah ia dilaksanakan mengikut kemampuan, berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه وإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان.

Maksudnya: “Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa)nya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan lidah (perkataan)nya dan jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”[12].

Satu contoh pengamalan hadith di atas adalah ketika Khalifah Marwan Ibn Al-Hakam mengubah cara solat Hari Raya dengan mendahulukan khutbah sebelum solat, lalu seorang lelaki bangun menegurnya dan mengingatkannya bahawa cara yang betul mengikut Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan mendahulukan solat sebelum khutbah. Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu ‘anhum (Sahabat yang meriwayatkan hadith tersebut) menyifatkan lelaki yang membuat teguran itu sebagai seorang yang telah menunaikan tanggungjawab dakwah mengikut kemampuannya[13].

Hadith ini jelas menyeru setiap individu yang terlibat di dalam kerja-kerja amar maruf dan nahi mungkar agar mereka mengukur kemampuan dan bidang kuasa yang ada pada diri masing-masing terlebih dahulu. Ini supaya pendekatan yang diambil itu benar-benar sesuai, berkesan dan tidak menimbulkan kemudaratan baik pada diri sendiri mahu pun orang lain. Ini bermakna setiap orang mesti bijak dan peka dalam menilai kadar kemampuannya. Oleh kerana kadar kemampuan manusia berbeza-beza, maka pendekatan yang diambil pun mesti berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain.

Seseorang amir atau pemerintah tempatan dilihat sebagai berkuasa untuk mengubah kemungkaran yang berlaku di dalam sesebuah negeri atau masyarakat dibawah naungannya. Manakala ketua keluarga seperti seorang bapa sudah tentu hanya berkuasa setakat keluarganya sahaja. Penafian iman daripada orang yang tidak menegur kemungkaran dengan hati, menunjukkan bahawa tahap ketiga itu adalah wajib ke atas setiap individu muslim (fardu ain). Hakikat ini telah ditegaskan oleh Ibn Taimiyyah dengan katanya yang bermaksud:

“Ada pun mengubah dengan hati, maka ianya adalah wajib di dalam setiap keadaan, kerana ia tidak menimbulkan sebarang kemudaratan, dan orang yang tidak melakukannya dianggap sebagai tidak beriman”[14].

· Kedua: Hendaklah ia dilaksanakan dengan ilmu, iaitu benar-benar mengetahui tentang maruf atau mungkarnya sesuatu perkara berdasarkan tafsiran syara’ (bukan berdasarkan tafsiran akal), manakala sasaran dakwah yang hendak diubah itu pula mesti dihujahi dan difahamkan dengan jelas terlebih dahulu tentang hakikat kemungkaran yang telah dilakukannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata (ilmu), Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik”[15].

Dalam konteks ini, Ibn Taimiyyah berkata:

Maksudnya: “…Maka mesti ada ilmu tentang perkara maruf dan mungkar (supaya boleh membezakan antara keduanya), dan mesti juga ada ilmu tentang sasaran dakwah yang hendak didakwah atau ditegahkan itu”[16].

· Ketiga: Hendaklah ia dilaksanakan secara berhikmah, lemah lembut serta sabar, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik”[17].

Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: “Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”[18].

Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala memfirmankan kata-kata Luqman Al-Hakim:

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Maksudnya: “"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”[19].

Manakala Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pula pernah bersabda:

ما كان الرفق في شيء إلا زانه، وما كان العنف في شيء إلا شانه. إن الله رفيق يحب الرفق في الأمر كله، ويعطى على الرفق ما لا يعطى على العنف.

Maksudnya: “Tiadalah kelembutan pada sesuatu melainkan ia mencantikkannya, dan tiadalah keganasan (kekasaran) pada sesuatu melainkan ia menghodohkannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan Dia suka kepada kelembutan, Dia anugerahkan kepada yang lembut apa yang Dia tidak anugerahkan kepada yang ganas (kasar)”[20].

Dalam hadith lain, sewaktu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam duduk bersama keluarganya, datang seorang Yahudi lalu berkata kepadanya: “Kecelakaanlah ke atas kamu”. Mendengar kata-kata Yahudi itu, Aishah radhiallahu ‘anha naik marah lalu mengherdik, menyumpah dan melaknat Yahudi tersebut. Akan tetapi Baginda tidak lebih daripada sekadar berkata: “Wa Alaikum (dan ke atas kamu juga)”. Kemudian, Baginda berkata kepada Aishah: “Wahai Aishah! Hendaklah kamu berlemah lembut, dan janganlah bersifat kasar dan bengis, sesungguhnya Allah sukakan pendekatan lembut pada setiap perkara”. Aishah bertanya: “Wahai Rasulullah! Kamu tidak dengarkah apa yang mereka katakan kepada mu”? Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Kamu tidak dengarkah apa jawapanku kepada mereka?, (sekiranya mereka berkata jahat) maka kata-kata mereka tidak akan diperkenankan (oleh Allah) tetapi sebaliknya jawapanku akan diperkenankan”[21].

Berdasarkan ayat-ayat dan hadith-hadith di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kerja-kerja amar maruf dan nahi mungkar mesti menggabungkan tiga sifat yang penting iaitu; berilmu, berlemah lembut dan sabar. Ilmu diperlukan sebelum perlaksanaan, pendekatan lemah lembut perlu semasa perlaksanaan manakala sabar pula perlu selepas perlaksanaan.

· Keempat: Hendaklah dipastikan tindakan yang diambil tidak mendatangkan kemudaratan yang lebih besar. Kemudaratan yang lebih besar dilihat dalam dua bentuk, sama ada implikasinya akan menambahkan lagi kemungkaran atau akan mengurangkan lagi kebaikan yang telah sedia ada. Kedua-dua konteks ini memerlukan kecermatan dan sikap berhati-hati sebelum sesuatu tindakan diambil. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللّهِ فَيَسُبُّواْ اللّهَ عَدْواً بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”[22].

Berdasarkan ayat ini, dapat disimpulkan bahawa implikasi yang mungkin berlaku daripada sesuatu kerja amar maruf dan nahi mungkar perlu diambil kira dari pelbagai aspek. Jika kesan negatifnya dijangka lebih besar daripada kesan positifnya, maka kerja tersebut tidak wajar malah haram diteruskan. Di sinilah perlunya kepada kebijaksanaan, kewaspadaan dan kepekaan yang amat tinggi daripada para pendakwah. Dalam konteks ini Ibn Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah (758H) berkata:

Maksudnya: “Mencegah kemungkaran itu ada empat tahap: Pertama, kemungkaran dapat dihapuskan dan diganti dengan kebaikan. Kedua, kemungkaran dapat dikurangkan meskipun tidak dapat dihapuskan kesemuanya. Ketiga, kemungkaran dapat dihapuskan tetapi diganti dengan kemungkaran lain yang setaraf dengannya. Keempat, kemungkaran itu diganti dengan kemungkaran yang lebih besar. Ada pun tahap pertama dan kedua, maka keduanya adalah masyru (disyari’atkan), yang ketiga bergantung kepada ijtihad. Manakala yang keempat adalah haram”[23].

· Kelima: Hendaklah berlaku adil ke atas sasaran dakwah, dengan menghadkan teguran setakat kemungkaran yang dilakukan sahaja, tanpa mengaitkannya dengan kemungkaran lain yang dia tidak buat, dan tanpa mengenepikan kebaikan yang telah dia lakukan. Sesuatu teguran yang tidak adil dan melampaui batas syara’ dianggap sebagai satu kezaliman, meskipun yang ditegur itu orang-orang fasiq, munafiq atau pun kafir. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ

Maksudnya: “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana ia (sifat adil) itu lebih dekat kepada taqwa”[24].

Seseorang yang ingin mencegah sesuatu kemungkaran yang dilakukan oleh sesebuah masyarakat, mesti tahu terlebih dahulu berkenaan siasah syariyyah menurut Islam, bagi memastikan pendekatan yang diambil adalah betul lagi menepati garis panduan syara’. Beliau juga perlu bijak membuat jangkaan kesan (implikasi) daripada pendekatan yang diambil sama ada lebih baik atau lebih buruk. Ini kerana sebarang kesilapan pendekatan tentunya akan mengundang fitnah dan bencana yang besar ke atas individu, keluarga, masyarakat, negara dan umat Islam keseluruhannya. Islam tidak menghalalkan sebarang pendekatan sewenang-wenangnya, kerana tidak ada cara yang lebih sesuai dan berkesan untuk berdakwah kepada Islam melainkan dengan cara Islam.

Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab tentunya telah mengambil kira kesemua aspek ini sebelum melancarkan gerakan dakwah islahnya, kerana ciri-ciri fundamentalisnya memustahilkan dia mengenepikan garis panduan syara’ yang bersifat fundamental itu. Justeru berdasarkan hakikat ini, mana-mana pihak atau kumpulan yang melancarkan gerakan dakwah atau jihad tanpa mengikut garis panduan syara’, maka ia sebenarnya gerakan yang tiada kaitan dengan pegangan Ibn Taimiyyah, Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dan juga tiada kaitan dengan mana-mana usaha dakwah yang berada di atas landasan ajaran Islam yang sebenar.

Keempat: Hubung Kait Antara Gerakan Dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab Dan Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Perkataan Al-Ghari bahawa Muhammad Ibn Abd Wahhab rahimahullah telah melancarkan peperangan ke atas kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah serta bekerjasama dengan Amir al-Suud dan Kerajaan British dalam komplot menjatuhkan kerajaan Islam Turki dilihat sebagai fakta yang bersifat tohmahan semata-mata kerana sebab-sebab berikut:

Sebab Pertama:

Kenyataan itu bersifat fakta ‘dengar cakap’ semata-mata, kerana ia diambil daripada sebuah buku berjudul Confession of a British Spy, terbitan 1998 oleh Hakikat Bookstore, Istanbul, tanpa dikemukakan bukti-bukti sejarah yang konkrit. Apa yang pasti fakta ini ditulis oleh pihak yang sememangnya anti Sunnah dan anti kerajaan Arab Saudi. Al-Ghari sepatutnya mengemukakan bukti sejarah yang konkrit dan bukan sekadar memetik kenyataan ‘dengar cakap’ daripada buku yang ditulis oleh pihak yang sememangnya anti Islam.

Sebab Kedua:

Tuduhan itu dilihat bercanggah dengan fakta sejarah yang menyatakan bahawa gerakan dakwah Muhammad Ibn Abd Wahhab itu dilancarkan pada tahun 1811M, sedangkan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah berlaku pada tahun 1922 M[25].

Sebab Ketiga:

Tuduhan itu dilihat sangat bercanggah dengan pegangan dan sikap Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab terhadap pemerintah Islam, sebagaimana katanya:

وأرى وجوب السمع والطاعة لأئمة المسلمين برهم وفاجرهم ما لم يأمروا بمعصية الله، ومن ولي الخلافة واجتمع عليه الناس ورضوا به وغلبهم بسيفه حتى صار خليفة وجبت طاعته وحرم الخروج عليه.

Maksudnya: “Aku berpendapat wajib patuh serta taat kepada para pemimpin orang Islam, sama ada yang baik atau yang jahat selagi mereka tidak menyuruh melakukan maksiat terhadap Allah. Sesiapa yang memegang jawatan Khalifah manakala orang ramai pula berkumpul untuk (membaiah)nya serta mereka reda dengannya, sedangkan dia menguasai mereka dengan kekerasannya sehingga dia menjadi Khalifah, maka wajib mentaatinya dan haram keluar menentangnya”[26].

Di tempat lain beliau berkata:

الأصل الثالث: أن من تمام الاجتماع السمع والطاعة لمن تأمر علينا ولو كان عبدا حبشيا.

Maksudnya: “Usul (asas) ketiga: Bahawa antara kesempurnaan perpaduan itu ialah dengar serta patuh kepada sesiapa sahaja yang memerintah kita meskipun dia seorang hamba Habsyi”[27].

Di tempat lain beliau berkata:

والأئمة مجمعون من كل مذهب على أن من تغلب على بلد أو بلدان له حكم الإمام في جميع الأشياء...

Maksudnya: “Para imam dari setiap mazhab telah bersepakat bahawa sesiapa yang menguasai sesebuah negeri atau beberapa buah negeri, maka dia mendapat kuasa pemerintahan sebagai seorang Imam dalam segala perkara…”[28].

Berdasarkan petikan kata-kata di atas, jelas kepada kita bahawa pegangan dan sikap Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab terhadap pemerintah Islam adalah menepati pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dengan pegangan ini, maka tuduhan bahawa beliau telah melancarkan peperangan ke atas kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah adalah tidak munasabah. Lebih-lebih lagi Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau fatwa yang menunjukkan permusuhan dan penentangannya terhadap Kerajaan Uthmaniyah.

Sebab Keempat:

Tuduhan Al-Ghari bahawa Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab bekerjasama dengan Inggeris untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah juga dilihat sebagai fakta palsu yang bercanggah dengan fakta sejarah sebenar. Ini kerana fakta sejarah yang sebenar menunjukkan bahawa pihak Inggeris sejak dari awal lagi menentang gerakan dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab kerana mereka bimbang gerakan itu akan mencetuskan kebangkitan dan kesedaran dunia Islam.

Akan tetapi Inggeris tidak menonjolkan penentangan itu secara langsung, sebaliknya mereka memperalatkan pihak yang memusuhi Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab supaya menentangnya. Ini adalah satu pendekatan standard yang biasa digunakan oleh mana-mana kuasa imperialis Barat sejak dari dulu sampai sekarang. Antara bukti sejarah yang menunjukkan sikap penentangan Inggeris terhadap gerakan dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab ialah mereka telah menghantar Kapten Forster Sadler untuk mengucap tahniah kepada Ibrahim Basha di atas kejayaannya mengalahkan ‘puak Wahabi[29] dalam peperangan yang berlaku di Diriyyah[30]. Bahkan, utusan itu juga menyatakan dengan jelas keinginan mereka untuk mengadakan pakatan kerjasama dengan Ibrahim Basha dalam usaha untuk menghapuskan kebangkitan‘puak Wahabi’ secara menyeluruh[31].

Sebab Kelima:

Pada zaman Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, negeri Najd tidak terletak di bawah pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Sebaliknya ia dikuasai oleh qabilah-qabilah Arab yang sentiasa berperang antara satu sama lain. Pada waktu itu, minyak belum ditemui dan kawasan Najd yang luas dan tandus langsung tidak diberi perhatian oleh mana-mana pihak, sama ada oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah maupun para penjajah barat. Tiada apa-apa yang menguntungkan mereka di sana. Antara bukti yang menunjukkan hakikat ini ialah sebuah risalah berbahasa Turki yang ditulis pada tahun 1018H (bersamaan 1609M) oleh pemegang amanah buku perundangan keluarga Turki Uthmaniyyah bernama Yamin Ali Affendi. Risalah yang mengandungi statistik jajahan takluk kerajaan Turki Uthmaniyyah itu menyatakan bahawa semenjak awal kurun ke 11 hijrah, kerajaan Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 jajahan, 14 daripadanya terletak di Tanah Arab dan negeri Najd tidak termasuk dalam jajahan tersebut[32].

Justeru Amin Said, seorang pengkaji sejarah berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah berusaha gigih mengkaji sejarah Kerajaan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah, sejarah Ayyubiyyah, Mamalik di Mesir, kemudiannya sejarah Kerajaan Uthmaniyyah yang datang selepas mereka dan mewarisi mereka, untuk mendapatkan nama seorang pemimpin atau pemerintah yang mereka utuskan ke Najd atau salah satu daerahnya, (sama ada) tengah, utara, barat atau selatan. Akan tetapi kami tidak jumpa apa-apa pun. Hal yang menunjukkan pengabaian yang ketara oleh kerajaan-kerajaan tersebut...

Namun akhirnya kami membuat kesimpulan bahawa mereka meninggalkan urusan daerah Najd Tengah dan Barat kepada golongan Asyraf Bani Hasyim, pemerintah Hijaz yang menjalankan penyeliaan ke atas qabilah-qabilahnya secara terpencil”[33].

Dalam kajiannya yang lain, beliau juga berkata:

Maksudnya: “Adalah setiap sheikh atau amir di negeri Najd bebas sebebas-bebasnya dalam menguruskan negerinya, dia tidak kenal orang Turki dan orang Turki juga tidak mengenalinya”[34].

Berdasarkan hakikat ini, maka gerakan dakwah islah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab tidak boleh dianggap sebagai gerakan menentang kerajaan Islam kerana negeri Najd itu bukan terletak di bawah penguasaan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Sebab Keenam:

Kedudukan negeri Najd yang tidak terikat dengan pemerintah Kerajaan Turki Uthmaniyyah itu sama seperti kedudukan negeri-negeri Tanah Melayu yang juga tidak terikat dengan kerajaan tersebut. Raja-raja Melayu bebas membuat apa sahaja keputusan yang mereka kehendaki, termasuk keputusan untuk bekerjasama dengan Inggeris, tanpa perlu tunduk kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang pada ketika itu berkonfrantasi dengan Inggeris.

Fakta sejarah menyatakan bahawa pengisytiharan perang oleh Britain telah memaksa kerajaan Turki Uthmaniyyah mengeluarkan fatwa yang dikenali sebagai Jihad Al-Akbar Fardu Ain, pada 15 November 1914, yang ditanda tangani oleh Sheikh Al-Islam Khayri Efendi (Mufti Kerajaan Turki Uthmaniah)[35]. Fatwa yang mengisytiharkan perang terhadap Britain dan sekutunya itu, menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya bangkit untuk berjihad bersama kerajaan Turki Uthmaniah dengan nyawa dan harta.

Akan tetapi ketakutan dan keteragak-agakkan orang melayu untuk berjihad, memberi peluang kepada British untuk memaksa Raja-raja Melayu supaya memihak kepada mereka, malah mereka memaksa Raja-raja Melayu supaya mengadakan majlis solat hajat agar Britain menang dalam peperangan itu. Mereka mengeluarkan undang-undang yang melarang orang–orang melayu daripada menyatakan perasaan dan sikap menyokong Kerajaan Turki Uthmaniah dan mengenakan hukuman yang berat terhadap sesiapa yang melanggar peraturan tersebut[36].

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah bahawa pendirian orang-orang melayu yang tidak menyahut seruan jihad, sebaliknya memihak kepada British semasa konfrontasi mereka dengan Turki Uthmaniyyah, sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniah.

Di sini penulis ingin mencabar Al-Ghari dan semua para pendukung bidah yang sering membuat tohmahan terhadap gerakan dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab supaya mereka mengeluarkan suatu kenyataan bertulis yang menjelaskan apakah perbuatan orang-orang Melayu itu boleh dianggap sebagai menentang kerajaan Islam Uthmaniyyah atau tidak?

Jika tindakan itu tidak dilihat sebagai suatu penentangan disebabkan tiada ikatan yang kukuh antara Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan Negeri-negeri Melayu, maka gerakan dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab juga wajar untuk tidak dianggap sebagai suatu penentangan dengan alasan yang sama. Seterusnya, jika tindakan Kerajaan Melayu yang menyebelahi Inggeris dalam peperangannya dengan Kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak dilihat sebagai faktor kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah, maka gerakan dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab juga lebih wajar untuk tidak dianggap sedemikan.

Justeru, tindakan Al-Ghari menuding jari kepada bangsa lain tanpa melihat apa yang dilakukan oleh bangsanya sendiri menepati pepatah melayu ‘kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di hadapan mata tak nampak’. Ia juga menepati sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

يبصر أحدكم القذى في عين أخيه ونسي الجزع في عينه معترضا.

Maksudnya: “Seseorang kamu nampak debu kotoran pada mata saudaranya tetapi lupa pada ketulan batu yang terbentang pada matanya sendiri”[37].

[10] Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Muallafat Sheikh Al-Imam Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Tahqiq: Abd Al-Aziz Zaid Ar-Rumi, Muhammad Baltaji, Sayyid Hijab, Jamiah Al-Imam Ibn Saud, Riyadh, Arab Saudi, t.th, 5: 11.

[11] Ali Ibn Hasan Ibn Ali Ibn Abd al-Hamid al-Halabi, Dawabit al-Amr Bi al-Maruf Wa an-Nahy An al-Munkar Inda Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Dar Al-Asalah Li An-Nashr Wa At-Tauzi, Amman, Jordan, 1994.

[12] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabiyy, Beirut, 1991, No: 49.

[13] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabiyy, Beirut, 1991, No: 49.

[14] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al-Harrani, Majmu Fatawa, Susunan: Abd Ar-Rahman Ibn Muhammad Ibn Qasim Al-Asimi, Arab Saudi, t.th, 28: 127.

[15] Yusuf, 12: 108.

[16] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al-Harrani, Majmu Fatawa, Susunan: Abd Ar-Rahman Ibn Muhammad Ibn Qasim Al-Asimi, Arab Saudi, t.th, 28: 135.

[17] An-Nahl, 16: 125.

[18] Fussilat, 41: 34-35.

[19] Luqman, 31: 17

[20] Muslim Ibn Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabiyy, Beirut, Lubnan, 1991, 4: 2004, No: 2593,2594.

[21] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Marifah, Beirut, Lubnan, 1379H, 10: 449 dan 452, No: 6024 dan 6029.

[22] Al-Anam, 6: 108.

[23] Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Muhammad Ibn Abi Bakr, Ilam Al-Muwaqqiin An Rab Al-Alamin, Tahqiq: Taha Abd Ar-Ra’uf Sad, Dar Al-Jil, Beirut, Lubnan, 1973, 3: 4-5.

[24] Al-Maidah, 5: 8.

[25] Penulis nasihatkan pembaca agar membaca buku Ali Muhammad Asy-Syalabi berjudul Ad-Daulah Al-Uthmaniyyah: Awamil An-Nuhud Wa Asbab As-Suqut, untuk mengetahui faktor-faktor kejatuhan Kerajaan Utmaniyyah secara lebih terperinci.

[26] Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Muallafat Sheikh Al-Imam Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Tahqiq: Abd Al-Aziz Zaid Ar-Rumi, Muhammad Baltaji, Sayyid Hijab, Jamiah Al-Imam Ibn Saud, Riyadh, Arab Saudi, t.th, 5: 11.

[27] Abd Al-Aziz Ibn Muhammad Ibn Ali Al-Abd Al-Latif, Daawa Al-Munawi’in Li Dawah Asy-Syeikh Muhammad IbnAbd Al-Wahhab Ard Wa Naqd, Dar Taibah, Riyadh, Arab Saudi, 1989, Hal: 234.

[28] Ahmad Ibn Abd Al-Karim Najib, Fasl Al-Khitab Fi Bayan Aqidah Asy-Syeikh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Cetakan Waqaf, 1994, Hal: 57-58.

[29] Penggunaan istilah ini oleh Kapten Forster Sadler ke atas gerakan Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab menunjukkan bahawa ia adalah istilah ciptaan musuh Islam untuk memburuk-burukkan imej gerakan Islam. Justeru orang yang menggunakan istilah ini ke atas para pendukung Sunnah bermakna dia bersekongkol dengan musuh Islam dalam menentang Islam.

[30] Kapten Forster Sadler, Rihlah Abr Al-Jazirah Al-Arabiyyah, Terjemahan: Anas Ar-Rifaie, Terbitan: Saud Ar-Rifaie, Kuwait, 1403H, Hal: 7.

[31] Kapten Forster Sadler, Rihlah Abr Al-Jazirah Al-Arabiyyah, Terjemahan: Anas Ar-Rifaie, Terbitan: Saud Ar-Rifaie, Kuwait, 1403H, Hal: 156-157.

[32] Salih Ibn Abd Allah Al-Abud, Aqidat Ash-Sheikh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Al-Jamiah Al- Islamiyyah, Madinah, Arab Saudi, 1408H, Hal: 23-24.

[33] Amin Said, Tarikh Ad-Daulah As-Saudiyyah, Darah Al-Malik Abd Al-Aziz, t.th, Hal: 23.

[34] Amin Said, Sirah Al-Imam Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Syarikah At-Tauzi Al-Arabiyyah, Beirut, t.th, 179.

[35] Prof. Nik Anuar Nik Mahmud, Perang Turki Uthmaniyah Dengan Britain (1914) Dan Reaksi Orang Melayu, dalam Farid Mat Zain, Prosiding Simposium Sejarah Pemikiran Politik Islam, UKM, 2004, Hal: 106-107.

[36] Prof. Nik Anuar Nik Mahmud, Perang Turki Uthmaniyah Dengan Britain (1914) Dan Reaksi Orang Melayu, dalam Farid Mat Zain, Prosiding Simposium Sejarah Pemikiran Politik Islam, UKM, 2004, Hal: 107-108.

[37] Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah Wa Syai’ Min Fiqhiha Wa Fawaidiha, al-Maktab al-Islami, Beirut, Lubnan, 1984, 1: 43.

No comments:

Post a Comment