Saturday, July 24, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 7

PENILAIAN SEMULA NO: 7

Apakah perlu kembali kepada Mazhab al-Salaf ?

Dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 19, disebut bahawa:

Oleh itu, kenapakah kita diseru supaya berpegang kepada mazhab al-Salaf sedangkan ia tidak dianggap wujud sebagai satu mazhab. Tidakkah pendapat para sahabat, mazhab fiqhiyah, pendapat Ahl al-Hadith dan kaedah usuluddin yang kita amalkan pada hari ini, datangnya daripada mereka yang bergelar al-Salaf ?. Walaupun diungkapkan dalam mazhab fiqhiyah, para al-Salaf juga mempunyai pendirian di dalam perkara aqidah. Jadi untuk apakah kita mengetengahkan model al-Salaf dalam wajah baru (ala Ibn Taimiyyah), sedangkan aliran al-Salafnya dipertikai dan ditentang hebat oleh ulama’-ulama’ yang hak. Kami akan bawakan mengenainya dalam bab yang akan datang.

Penilaian semula:

Penyusun Salafiyah Wahabiyah bertanya kepada kita: “Tidakkah pendapat para sahabat, mazhab fiqhiyah, pendapat Ahl al-Hadith dan kaedah usuluddin yang kita amalkan pada hari ini, datangnya daripada mereka yang bergelar al-Salaf ?”

Jawapannya: “Sebahagiannya berasal daripada al-Salaf, sebahagiannya tidak”. Apa yang tidak itulah yang perlu diberi perhatian agar ia kembali kepada Mazhab al-Salaf.

Sebagai contoh dalam jurusan ‘aqidah, kitab-kitab dan tokoh-tokoh tempatan sangat-sangat tidak memberi perhatian kepada perbahasan ‘aqidah sehingga umum umat Islam tidak mengenalnya secara mendalam. Umum umat Islam tidak tahu membezakan antara tauhid dan syirik, antara kebenaran dan khurafat. Padahal mengikut Mazhab al-Salaf ilmu ‘aqidah harus diberi keutamaan di atas lain-lain ilmu agama. Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah menggunakan 13 tahun yang pertama dalam dakwahnya untuk memantapkan ‘aqidah umat di zamannya. Maka apabila diseru ke arah Mazhab al-Salaf dalam jurusan ‘aqidah, ia adalah satu seruan agar jurusan ‘aqidah diberi perhatian yang paling utama dan ilmu-ilmunya dipelajari secara mendalam lagi terperinci.

Dalam jurusan al-Qur’an umum umat Islam tempatan hanya mengenali surah Yasin yang dibacakan untuk orang yang sudah meninggal dunia. Hal ini jauh berbeza dengan Mazhab al-Salaf yang sangat mementingkan al-Qur’an bukan sahaja dari sudut bacaan tetapi pemahaman, pengamalan dan pengajarannya. Di sini seruan kepada Mazhab al-Salaf adalah kepada pembacaan, pemahaman, pengamalan dan pengajaran keseluruhan kitab al-Qur’an.

Dalam jurusan hadis, apa sahaja yang dinamakan hadis diperhujahkan tanpa mengira kedudukan sanadnya. Padahal Mazhab al-Salaf sangat-sangat memperhatikan sanad sesebuah hadis sebelum memperhujahkannya. Maka seruan kepada Mazhab al-Salaf dalam jurusan hadis adalah hendaknya semua guru, ustaz, pensyarah, pemberi fatwa, khatib, da‘i, penulis dan sebagainya memberi perhatian kepada status sanad sesebuah hadis sebelum menyampaikannya. Paling minimum hendaklah mereka memastikan bahawa hadis tersebut memiliki asal usul dalam kitab-kitab hadis yang utama.

Dalam jurusan fiqh, kitab-kitab dan ajaran tokoh-tokoh tempatan lazimnya bersifat menokok tambah daripada berpegang kepada yang asal, memberat-beratkan daripada memudahkan dan menghafal daripada memberi kefahaman. Berbeza dengan Mazhab al-Salaf yang berpegang kepada yang asli, memudahkan dan mengutamakan kefahaman terhadap sesuatu hukum. Maka seruan kepada Mazhab al-Salaf dalam jurusan fiqh adalah supaya hukum-hukum fiqh tidak ditokok tambah melainkan fiqh muamalat di mana ianya terbuka kepada ijtihad selari dengan perkembangan tamadun manusia. Hukum-hukum fiqh juga hendaklah diterapkan berdasarkan prinsip memudahkan dan ilmu-ilmu fiqh diajar demi mencapai kefahaman dan penghayatan tanpa dibatasi oleh sesebuah mazhab sahaja.

Adapun kitab-kitab fiqh yang disusun oleh seseorang mujtahid atau mujtahid mazhab, ia tetap diterima dan dihargai. Hanya sahaja jika terdapat perbezaan antara fiqh Mazhab al-Salaf dan Mazhab al-Khalaf, keutamaan akan diberikan kepada Mazhab al-Salaf.

Dalam jurusan akhlak dan penyucian hati (tazkiyatul nafs), umum umat Islam masih jauh ketinggalan berbanding umat-umat lain. Sekalipun ada beberapa tokoh tempatan yang mengkhususi bidang ini, mereka tidak terlepas daripada berbagai ajaran dan amalan khurafat, bid‘ah dan yang bercanggah dengan syari‘at. Pendidikan akhlak dan pembersihan hati sememangnya adalah sesuatu yang sangat diberi tumpuan oleh generasi al-Salaf dan ini mereka lakukan berdasarkan ajaran asli al-Qur’an dan al-Sunnah. Maka di sini diseru ke arah akhlak dan penyucian jiwa berdasarkan metode al-Salaf yang suci bersih daripada sebarang pencemaran luar.

Demikianlah juga seterusnya dalam lain-lain jurusan seperti ilmu, berjamaah, bekerja keras, jihad dan sebagainya, kembalilah kepada Mazhab al-Salaf kerana ia adalah sebaik-baik mazhab untuk dijadikan ikutan.[1] al-Auza’i (157H) pernah berpesan:

Bersabarlah dalam menetapi sunnah, berhentilah pada saat kaum (al-Salaf) berhenti, katakanlah sebagaimana perkataan mereka dan diamlah sebagaimana mereka diam. Berjalanlah di atas jalan mereka yang terdahulu (al-Salaf) kerana jalan tersebut akan menghantar kepada tujuan yang telah mereka capai.[2]



[1] Dari sumber terjemahan, lihat buku:

[1] ‘Abdul ‘Aziz bin Nasr & Baha al-Din bin Fatih: Di mana Posisi Kita pada Kalangan al-Salaf (terj: Wawan Djunaedi; Pustaka Azzam, Jakarta 2001).

[2] ‘Ali bin Hasan al-Halabi: Tashfiyah dan Tarbiyah: Upaya Meraih Kejayaan Umat (terj: Muslim al-Athari & Ahmad Faiz; Pustaka Imam al-Bukhari, Solo 2002).

[3] Ahmad bin ‘Abd al-Rahman ash-Shuyani - Manhaj Talaqqi Menurut Ahlus Sunnah wal Jama‘ah (terj: Muzaidi Hasbullah; Pustaka Arafah, Solo 2002).

Bagi rujukan yang menjawab tuduhan-tuduhan negatif ke atas Mazhab al-Salaf, sila lihat:

[4] Salim bin I’d al-Hilaly: Manhaj al-Salaf Manhaj Alternatif (terj: Andi Arlin; Pustaka Azzam, Jakarta 2001).

[5] Nashir bin ‘Abd al-Karim al-‘Aql: Benteng Akidah (terj: Abdul Rosyad Shiddiq; Qisthi Press, Jakarta 2002).

[2] Diriwayatkan oleh al-Ajurri dalam al-Syari‘ah, ms. 58, CF. al-Hilaly – Manhaj al-Salaf Manhaj Alternatif, ms. 52.

No comments:

Post a Comment