TOHMAHAN KELIMA:
Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab Mendakwa Nabi Adam Melakukan Syirik.
Al-Ghari menuduh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab mendakwa Nabi Adam ‘alahi salam melakukan kesyirikan kerana mentaati Iblis (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 6). Beliau membuat tohmahan ini berdasarkan fakta yang tercatat dalam kitab At-Tauhid, dan mendakwa bahawa tindakan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu bercanggah dengan pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menetapkan kemaksuman para Anbiya’ secara ijma’.
PENJELASAN:
Pertama: Perkataan Sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Kedua: Tafsiran Lain Terhadap Ayat 190 Surah Al-A’raf.
Ketiga: Apakah Maksud Ijma’ Ulama?
Keempat: Kenapa Digunakan Perkataan “Syirik” Kepada Nabi Adam?
Pertama: Perkataan Sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab.
Ketika menghuraikan pengertian tauhid, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab rahimahullah memetik sepotong ayat Al-Quran yang berbunyi:
فَلَمَّا آتَاهُمَا صَالِحاً جَعَلاَ لَهُ شُرَكَاء فِيمَا آتَاهُمَا فَتَعَالَى اللّهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Maksudnya: “Tatkala Allah memberi kepada keduanya seorang anak yang sempurna, maka keduanya menjadikan sekutu bagi Allah terhadap anak yang telah dianugerahkan-Nya kepada keduanya itu. Maka, Maha Tinggi Allah dari apa yang mereka persekutukan”[1].
Kemudian beliau memetik pula sebuah athar[2] daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dalam Mustadraknya, dengan matan yang berbunyi:
لما تغشاها آدم حملت، فأتاهما إبليس فقال: إني صاحبكما الذي أخرجتكما من الجنة لتطيعُنني أو لأجعلن له قرني أيلٍ فيخرج من بطنك فيشقّه ولأفعلنّ ولأفعلن، يخوّفهما، سمياه عبد الوارث، فأبـيا أن يطيعاه فخرج ميتا، ثم حملت فأتاهما فذكر لهما فأدركهما حب الولد فسمياه عبد الحارث، فذلك قوله: جعلا له شركاء فيما آتاهما.
Maksudnya: Tatkala Adam ‘alahi salam mencampurinya, dia (Hawwa’) mengandung. Maka datanglah Iblis seraya berkata: “Sesungguhnya akulah sahabat kamu yang telah mengeluarkan kamu dari Syurga, (sekarang) sama ada kamu taat kepadaku atau aku akan jadikannya (anak dalam kandungan) mempunyai dua tanduk ail dan bila dia keluar dia akan membelah perut kamu (dengannya), aku akan buat, aku akan buat, dia terus menakut-nakutkan keduanya, namakan dia ‘Abd Al-Harith”. Tetapi keduanya enggan mematuhinya, lalu keluarlah (anak yang dikandung) dalam keadaan telah mati.
Kemudian dia (Hawwa’) mengandung (semula), dan Iblis datang lagi seraya mengingatkan keduanya (apa yang telah dia beritahu), maka timbullah rasa sayang terhadap anak itu, lalu mereka menamakannya ‘Abd Al-Harith. Itulah maksud firman-Nya (surah Al-A’raf, 7: 190)[3].
Athar Ibn ‘Abbas ini menjadi tafsiran bagi ayat di atas, bahawa yang dimaksudkan dengan ungkapan: “…keduanya menjadikan sekutu bagi Allah…” itu ialah Nabi Adam dan Hawwa’. Dengan perkataan lain, athar Ibn ‘Abbas itu menunjukkan bahawa Nabi Adam dan Hawwa’ telah mempersekutukan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam pemberian nama anak mereka: ‘Abd Al-Harith. Ini kerana Al-Harith bukanlah salah satu daripada nama Allah[4], sedangkan penisbahan perkataan ‘Abd (hamba) tidak harus dilakukan kepada selain daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Athar ini juga terdapat dalam Tafsir At-Tabari dengan matan yang agak berbeza tetapi maksudnya sama[5]. Matan yang semaksud dengan athar ini juga diriwayatkan daripada Samurah Ibn Jundub radhiallahu ‘anh secara marfu’[6], tetapi ia adalah riwayat yang lemah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn ‘Adi dalam Al-Kamil, Ibn Al-Qaisarani dalam Zakhirah Al-Huffaz, Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah serta Tafsirnya dan juga Al-Albani dalam Al-Iman Li Abi ‘Ubaid, Silsilah Ad-Da‘ifah, Da’if Sunan At-Tarmizi dan Da’if Al-Jami’ As-Saghir[7].
Setelah memetik athar Ibn ‘Abbas tersebut, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab rahimahullah memetik pula kata-kata para ulama tafsir dari kalangan para Tabi’ien, seperti Qatadah, Mujahid dan Sa’id Ibn Jubair rahimahumullah yang menyokong maksud yang ditunjukkan oleh athar tersebut[8]. Dalam konteks ini, Qatadah rahimahullah (117H) berkata:
شركاء في طاعته ولم يكن في عبادته.
Maksudnya: “Sekutu dalam mentaatinya (Iblis) dan bukan dalam beribadat kepadanya”[9].
Kata-kata Qatadah ini bermaksud bahawa Nabi Adam dan Hawwa’ dilihat melakukan suatu bentuk kesyirikan kerana mentaati Iblis dalam pemberian nama anak mereka sebagai ‘Abd Al-Harith. Setelah memetik kata-kata para Tabi’ien ini, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab membuat lima kesimpulan, antaranya ialah:
...الثالثة: أن هذا الشرك في مجرد التسمية لم تقصد حقيقتها.
Maksudnya: “(Kesimpulan) yang ketiga: Bahawa sesungguhnya syirik ini hanya semata-mata dalam (konteks) pemberian nama dan bukan bermaksud hakikatnya”[10].
Dalam kata-kata ini, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab cuba menjelaskan bahawa jenis kesyirikan yang dinisbahkan kepada Nabi Adam dan Hawwa’ bukanlah jenis kesyirikan sebenar yang melibatkan soal-soal ibadat, tetapi ia hanyalah kesyirikan dalam bentuk ketaatan kepada Iblis dalam pemberian nama sahaja. Ini bermakna, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab sebenarnya cuba mengelakkan kekeliruan yang mungkin berlaku bagi sesiapa yang mentafsirkan maksud ayat tersebut berdasarkan athar Ibn ‘Abbas dan kata-kata para Tabi’ien itu.
Maka dalam konteks ini, apa yang dilakukan oleh beliau sebenarnya adalah suatu pembelaan terhadap Nabi Adam ‘alahi salam dan bukannya suatu kecaman. Jika penjelasan yang dibuat oleh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu dilihat sebagai salah, maka kesalahan itu seharusnya diletakkan pada athar Ibn ‘Abbas dan tafsiran para Tabi’ien. Justeru tindakan meletakkan kesalahan kepada Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab semata-mata, sedangkan beliau (Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab) hanya menjelaskan apa yang telah disebut dalam athar para Sahabat dan Tabi’ien, dilihat sebagai suatu penganiayaan ke atas tokoh berkenaan.
Kedua: Tafsiran Lain Terhadap Ayat 190 Surah Al-A’raf.
Ulama tafsir berbeza pendapat dalam menentukan apakah maksud firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “…maka keduanya menjadikan sekutu bagi Allah…”, sama ada ditujukan kepada Nabi Adam ‘alahi salam dan Hawwa’ atau kepada pasangan yang lain. Ramai dari kalangan ulama salaf termasuklah Ibn ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id Ibn Jubair, Qatadah, Sa’id Ibn Al-Musayyab dan As-Suddiyy rahimahumullah berpendapat bahawa ia bermaksud Nabi Adam dan Hawwa’. Pendapat ini didasarkan kepada athar Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anh dan hadith Samurah Ibn Jundub radhiallahu ‘anh seperti yang dinyatakan di atas.
Manakala sebahagian daripada ulama salaf yang lain seperti Al-Hasan Al-Basri rahimahullah memahaminya dengan maksud golongan musyrikin dari kalangan zuriat Nabi Adam[11]. Dengan perkataan lain, yang melakukan kesyirikan dalam pemberian nama itu ialah pasangan golongan musyrikin dari kalangan zuriat Nabi Adam. Sebahagian ulama tafsir cenderung ke arah mentarjihkan pendapat yang kedua ini. Dalam hal ini Al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah (774H) berkata:
...وأما نحن فعلى مذهب الحسن البصري رحمه الله في هذا وأنه ليس المراد من هذا السياق آدم وحواء وإنما المراد من ذلك المشركون من ذريته...
Maksudnya: “Dan adapun kami, maka dalam hal ini (kami) mengikut mazhab Hasan Basri rahimahullah, bahawa sesungguhnya struktur ayat ini bukan bermaksud Nabi Adam dan Hawwa’, tetapi ia bermaksud golongan musyrikin dari kalangan zuriatnya (Adam)”[12].
Dalam hujahnya, Al-Hafiz Ibn Kathir mengemukakan tiga alasan yang menunjukkan kelemahan hadith riwayat Samurah Ibn Jundub radhiallahu ‘anhum, iaitu:
· Pertama: Kelemahan perawi bernama ‘Umar Ibn Ibrahim Al-Basri.
· Kedua: Percanggahan riwayat daripada Samurah Ibn Jundub radhiallahu ‘anhum itu sendiri, sama ada marfu’ atau mauquf[13], sedangkan yang mauquf itu lebih sahih.
· Ketiga: Mengikut riwayat Ibn Mardawaih, hadith tersebut diriwayatkan melalui Hasan Basri daripada Samurah radhiallahu ‘anh, sedangkan telah terbukti melalui riwayat sahih bahawa tafsiran Hasan Basri berbeza dengan maksud hadith riwayat Samurah itu, dan jika benar hadith riwayat Samurah itu sahih, nescaya Hasan Basri akan mentafsirkan ayat itu mengikut maksud hadith tersebut[14].
Manakala athar Ibn ‘Abbas pula, Al-Hafiz Ibn Kathir menolaknya dengan alasan ia daripada jenis Israiliyyat[15], kerana athar itu diperolehi oleh Ibn ‘Abbas daripada Ubai Ibn Ka’b yang terkenal dengan periwayatan perkara seumpama daripada Ahli Kitab[16]. Dalam konteks ini, Ibn Kathir berkata:
وهذه الآثار يظهر عليها والله أعلم أنها من آثار أهل الكتاب...فمنها ما علمنا صحته بما دل عليه الدليل من كتاب الله أو سنة رسوله ومنها ما علمنا كذبه بما دل على خلافه من الكتاب والسنة أيضا ومنها ما هو مسكوت عنه فهو المأذون في روايته...وهذا الأثر هو القسم الثاني أو الثالث فيه نظر، فأما من حدث به من صحابي أو تابعي فإنه يراه من القسم الثالث .
Maksudnya: “Dan ternyata ke atas athar-athar ini – wallahua’lam – bahawa ia daripada athar-athar Ahli Kitab…Maka sebahagian daripadanya kita tahu kesahihannya melalui petunjuk daripada Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya, dan sebahagian yang lain pula kita tahu kepalsuannya kerana percanggahannya dengan petunjuk daripada Al-Kitab (Al-Quran) dan As-Sunnah, manakala sebahagian yang lain didiamkan mengenainya dan ia (dari jenis) yang diizinkan periwayatannya.
…Dan athar ini (athar Ibn ‘Abbas) ialah (dari jenis) pembahagian yang kedua atau ketiga, ada pandangan mengenainya. Adapun orang yang meriwayatkannya dari kalangan Sahabat (seperti Ibn ‘Abbas) dan Tabi’ien (seperti Qatadah), maka ia adalah kerana dia melihatnya dari jenis yang ketiga”[17].
Ketiga: Apakah Maksud Ijma’ Ulama?
Ijma’ ulama terhadap kemaksuman para Anbiya’ bukan berlaku dalam konteks kemaksuman mutlak tanpa mengira kesalahan kecil atau besar, sengaja atau tidak, tetapi ia hanya berlaku dalam konteks melakukan dosa besar dengan sengaja sahaja. Para ulama salaf, jumhur ulama fekah, ulama hadith dan ulama tafsir menetapkan bahawa para anbiya’ tidak maksum daripada melakukan dosa kecil secara tidak sengaja, tetapi puak Syiah, Mu’tazilah dan segelintir ulama hadith melihat kemaksuman itu secara mutlak[18]. Kewujudan athar Ibn ‘Abbas dan tafsiran para Tabi’ien seperti Qatadah, Mujahid dan Ibn Jubair terhadap maksud ayat 190 surah Al-A’raf itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa ijma’ ulama tidak berlaku dalam konteks kemaksuman mutlak.
Berdasarkan hakikat ini, jika ada ulama yang terkeliru dengan kesahihan athar Ibn ‘Abbas itu, lalu dia menisbahkan kesilapan pemberian nama anak itu kepada Nabi Adam ‘alaihi salam berdasarkan athar tersebut, maka penisbahan seumpama itu bukan bermakna menolak ijma’ para ulama terhadap kemaksuman para Anbiya’, kerana ijma’ ulama tidak pernah berlaku dalam konteks kesilapan yang sedemikian rupa. Justeru dakwaan Al-Ghari kononnya Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab menolak ijma’ ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sekali lagi membuktikan kegelojohan beliau dalam persoalan ilmiah.
Seterusnya Al-Ghari berkata (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 6): “Ulama bersepakat mana-mana individu yang menyalahi ijmak dianggap kafir”. Kata-kata ini diungkapkan sebaik sahaja selepas beliau menuduh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab menolak ijma’ dengan tujuan untuk mengaitkan hukum kafir itu dengan sheikh berkenaan. Akan tetapi perbincangan di atas membuktikan bahawa isu penolakan ijma’ yang dikaitkan dengan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab rahimahullah sebenarnya tidak berlaku dan hukum kafir itu sebenarnya tidak timbul.
Di sini sayugia diingatkan bahawa Al-Ghari sendiri pernah menolak ijma’ ulama dalam persoalan ‘Adalah As-Sahabah (keadilan para Sahabat), ketika beliau mengaitkan sebahagian Sahabat radhiallahu ‘anhum dengan gejala murtad (rujuk semula bahagian Pendahuluan buku ini). Justeru jika benar bahawa hukum menolak ijma’ boleh dianggap kafir, maka para pembaca yang bijaksana boleh membuat penilaian siapakah sebenarnya yang benar-benar menolak ijma’ dan berhak untuk dikenakan hukum tersebut.
Keempat: Kenapa Digunakan Perkataan “Syirik” Kepada Nabi Adam?
Mungkin ada yang mempersoalkan kenapakah dinisbahkan perkataan syirik kepada Nabi Adam ‘alahi salam, bukankah lebih baik kalau disebut kesilapan atau kesalahan sahaja? Maka jawapannya ialah kerana perkataan itu memang disebut oleh Al-Quran, sebagaimana ia juga dinyatakan begitu oleh sebahagian ulama salaf dalam tafsiran mereka seperti yang dipaparkan di atas. Dari sudut yang lain, kesilapan yang dinisbahkan kepada Nabi Adam dalam pemberian nama itu sama seperti kesilapan yang pernah dilakukannya semasa berada di Syurga. Persamaan dilihat dari segi kedua-duanya disebabkan mentaati godaan Iblis. Justeru jika kesilapan yang pernah lakukan oleh Nabi Adam semasa berada di Syurga itu boleh difahami tanpa menjejaskan status kemaksumannya, maka kenapakah kesilapan dalam pemberian nama itu tidak boleh difahami dalam konteks yang sama?
[1] Al-A’raf, 7: 190.
[2] Sesuatu amalan atau pendapat yang dinisbahkan kepada para Sahabat radhiallahu ‘anhum atau Tabi’ien .
[3] Isma’il Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, Lubnan, 1988, 2: 286.
[4] Ada riwayat yang menunjukkan ia adalah nama Iblis.
[5] At-Tabari, Muhammad Ibn Jarir, Jami’ Al-Bayan ‘An Ta’wil Ayi Al-Quran, Dar Al-Fikr, Beirut, Lubnan, 1984, 6: 146.
[6] Hadith marfu’ ialah hadith yang mana penisbahannya sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tanpa mengira sama ada sanadnya sahih atau tidak.
[7] Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.
[8] ‘Abd Ar-Rahman Ibn Hasan Ali Ash-Sheikh, Fath Al-Majid Syarh Kitab At-Tauhid, Tahqiq: Muhammad Hamid Al-Fiqi, Maktabah As-Sunnah Al-Muhammadiyyah, Kaherah, Mesir, 1957, 441-445.
[9] ‘Abd Ar-Rahman Ibn Hasan Ali Ash-Sheikh, Fath Al-Majid Syarh Kitab At-Tauhid, Tahqiq: Muhammad Hamid Al-Fiqi, Maktabah As-Sunnah Al-Muhammadiyyah, Kaherah, Mesir, 1957, Hal: 445. Kata-kata Qatadah ini diriwayatkan oleh At-Tabari, Muhammad Ibn Jarir, Jami’ Al-Bayan ‘An Ta’wil Ayi Al-Quran, Dar Al-Fikr, Beirut, Lubnan, 1984, 6: 147.
[10] ‘Abd Ar-Rahman Ibn Hasan Ali Ash-Sheikh, Fath Al-Majid Syarh Kitab At-Tauhid, Tahqiq: Muhammad Hamid Al-Fiqi, Maktabah As-Sunnah Al-Muhammadiyyah, Kaherah, Mesir, 1957, Hal: 446.
[11] Al-Qurtubi, Muhammad Ibn Ahmad Al-Ansari, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Dar Asy-Syam Li At-Turath, Beirut, Lubnan, t.th, 7: 338-339 dan Isma’il Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, Lubnan, 1988, 2: 287.
[12] Isma’il Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, Lubnan, 1988, 2: 287.
[13] Hadith mauquf ialah hadith yang mana penisbahannya sampai setakat Sahabat sahaja, tanpa mengira sama ada sanadnya sahih atau tidak.
[14] Isma’il Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, Lubnan, 1988, 2: 286.
[15] Maklumat yang diperolehi daripada Ahli Kitab.
[16] Isma’il Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, Lubnan, 1988, 2: 287.
[17] Isma’il Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, Lubnan, 1988, 2: 287.
[18] Sulaiman Ibn ‘Abd Allah, At-Taudih ‘An Tauhid Al-Khallaq Fi Jawab Ahli Al-’Iraq Wa Tazkirah Uli Al-Albab Fi Tariq Ash-Sheikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Dar At-Taibah, Riyadh, 1984, Hal: 341
No comments:
Post a Comment