Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KESEBELAS

TOHMAHAN KESEBELAS:

Para Pendukung Sunnah Malaysia Menolak Ijma’ Dan Merupakan Pembuat Bid’ah Yang Sebenar.

Apabila membicara tentang kesyariatan azan Jumaat dua kali, Al-Ghari berkata (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 17-18):

“Kesimpulannya, azan tadi disyariatkan melalui dua cara. Pertama melalui ijmak para Sahabat. Para ulamak Feqah dan Ushul telah menaskan bahawa pendapat sahabat yang tersebar dan didapati tiada yang menentang, maka jadilah ia ijma dan dikira sebagai hujjah. Sesiapa yang menolak ijmak maka dia jatuh kafir. Na’uzubillah. Kedua, walaupun azan pertama ini disyariatkan pada zaman Sayyidina Uthman r.a namun ia tetap diakui sebagai syariat yang diakui oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabdanya bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan Sunnah para Khalifah al-Rasyidin selepasku. Gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu (berpegang teguh)”. Oleh itu, barangsiapa yang mengatakan bahawa sayyidina Uthman dan pengikut kepada ijtihad beliau telah melakukan bid’ah maka sesungguhnya dia telah melakukan satu kesilapan yang besar tanpa apa-apa hujjah. Bahkan mereka yang mendakwa sedemikian sebenarnya pembuat bid’ah yang terkutuk kerana jelas menentang ketentuan Sunnah. Hanya kepada Allah sahaja kita memohon petunjuk”.

PENJELASAN:

Kata-kata Al-Ghari di atas dapat kita jelaskan seperti berikut:

Pertama:

Telah jelas kepada kita sebelum ini (berdasarkan hadith riwayat As-Sa’ib Ibn Yazid dalam perbincangan sebelum ini) bahawa pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakr danUmar radhiallahu ‘anhuma hanya ada satu azan, iaitu setelah imam duduk di atas mimbar. Al-Qurtubi rahimahullah juga ada menyatakan bahawa ketika Ali Ibn Abi Talib radhiallahu ‘anh berada di Kufah, beliau tidak ikut cara Uthman, sebaliknya beliau mengikut cara Nabi, Abu Bakr danUmar dengan hanya satu azan sahaja[1].

Justeru dengan adanya amalan pada zaman Abu Bakr, Umar danAli Ibn Abi Talib radhiallahu 'anhum yang menyalahi amalan pada zaman Uthman, maka ia sudah cukup untuk membuktikan tiada ijma di kalangan para Sahabat dalam permasalahan ini. Satu persoalan untuk Al-Ghari, jika orang yang menolak ijma hukumnya kafir, maka apa hukumnya orang yang memalsukan dakwaan ijma itu, lebih-lebih lagi orang yang membuat dakwaan palsu itu sendiri pernah menolak ijma para ulama berkenaan keadilan para sahabat?

Kedua:

Sebagaimana yang disebut dalam hadith riwayat As-Sa’ib Ibn Yazid, bahawa azan pertama pada zaman Uthman dilakukan di atas Az-Zaura’ (rumah kedai) kerana pertambahan bilangan penduduk Madinah pada ketika itu menyebabkan jarak penempatan rumah semakin jauh[2]. Melihat keadaan itu, beliau merasa perlu untuk mengadakan azan pertama sebagai pemberitahuan kepada orang ramai bahawa waktu solat telah hampir dan mereka boleh bersiap sedia untuk ke masjid. Berdasarkan alasan ini, maka azan Jumaat dua kali pada zaman Uthman dilihat menepati kaedah: Ma La Yatim Al-Wajib Illa Bihi Fahuwa Wajib yang bermaksud: “Perkara yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia juga adalah wajib”[3].

Oleh kerana azan pada zaman Uthman menepati kaedah syara’, maka ia tidak lagi termasuk dalam istilah bidah. Justeru tidak ada seorangpun dari kalangan para pendukung Sunnah yang membidahkan azan pada zaman Uthman itu.

Apa yang para pendukung Sunnah Malaysia pertikaikan ialah azan Jumaat dua kali pada zaman ini yang dilihat tidak lagi menepati kaedah Ma La Yatim Al-Wajib Illa Bihi Fahuwa Wajib. Ini kerana semua kesulitan yang berlaku pada zaman Uthman sudah terhapus, iaitu dengan terciptanya pelbagai teknologi dan kemudahan baru seperti alat pembesar suara, jam, talipon bimbit, siaran radio dan media massa lain yang boleh memberitahu hampirnya waktu solat dengan cepat dan mudah.

Dalam konteks sebuah negara Islam yang makmur seperti negara kita, bilangan masjid semakin bertambah dengan pesat seiring dengan pertambahan projek pembangunan hartanah dan penempatan. Hampir setiap taman perumahan yang didiami ramai penganut Islam ada sebuah masjid dan kadangkala jaraknya amat dekat antara satu masjid dengan satu masjid yang lain. Justeru kebimbangan tentang kemungkinan tidak diketahui masuknya waktu solat Jumaat tidak timbul dan apabila tiada sebab maka tiadalah musabbabnya.

Jika diandaikan masih ada kewajaran untuk dilaungkan azan dua kali pada hari ini, maka biarlah cara pelaksanaannya itu benar-benar menepati cara yang dilakukan pada zaman Uthman radhiallahu ‘anh, iaitu:

I. Hendaklah azan pertama dilaungkan di luar masjid, iaitu di kawasan pasar, penempatan atau perindustrian yang jauh daripada masjid.

II. Hendaklah azan pertama dilaungkan lebih awal, iaitu lebih kurang satu atau setengah jam sebelum masuknya waktu solat Jumaat yang sebenar.

Akan tetapi apa yang diamalkan sekarang jelas tidak menepati kedua-dua cara di atas, dimana azan pertama dilaungkan di dalam masjid[4], setelah masuknya waktu solat Jumaat. Manakala azan kedua pula dilaungkan setelah imam duduk di atas mimbar. Ini bermakna apa yang diamalkan sekarang bukan sahaja tidak mengikut Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan juga tidak mengikut cara Uthman yang sebenar.

Ketiga:

Ketika Ash-Shafiei rahimahullah mengulas hadith riwayat As-Sa’ib Ibn Yazid radhiallahu ‘anh, beliau berkata:

وقد كان عطاء ينكر أن يكون عثمان أحدثه، ويقول: أحدثه معاوية والله أعلم.

Maksudnya: “Sesungguhnya Ata’ (Ibn Abi Rabah) mengingkari hakikat Uthman yang mula-mula mengadakannya (azan dua kali), bahkan dia berpendapat Muawiyah Ibn Abi Sufyan yang memulakannya, wallahualam[5].

Kemudian Ash-Shafiei berkata:

وأيهما كان فالأمر الذي على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم أحب إلي.

Maksudnya: “Walau siapa pun antara keduanya (yang memulakan), tetapi aku lebih suka amalan pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam[6].

Berdasarkan kata-kata ini, jelas kepada kita bahawa Ash-Shafiei lebih cenderung kepada mengikut cara Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu dengan hanya satu azan sedangkan pada zaman beliau belum ada kemudahan seperti yang ada pada zaman kita sekarang. Justeru dapat disimpulkan di sini bahawa amalan melaungkan azan Jumaat dua kali pada masa kini tidak menepati apa-apa hujah ilmiah, sama ada Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, amalan Sahabat, pendapat Imam mazhab dan juga pengkaedahan ilmiah.

[1] Al-Qurtubi, Muhammad Ibn Ahmad Al-Ansari, Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Dar Asy- Syam Li At-Turath, Beirut, Lubnan, t.th, 18: 100 (tafsir ayat 9, surah Al-Jumuah).

[2] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (Bersama Fath Al-Bari), Tahqiq dan Tarqim: Muhib Ad-din Al-Khatib dan Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Al-Matbaah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2:457, No: 912.

[3] Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr, Damsyik, Syria, 1986, 2: 67-71.

[4] Ash-Shatibi menyatakan bahawa orang yang mula-mula sekali memindahkan azan pertama ke dalam masjid ialah Khalifah Bani Umayyah Hisyam Ibn Abd Al-Malik, kemudian diikuti oleh para khalifah selepasnya sehinggalah ke zaman ini. Lihat: Ash-Shatibi, Al-Itisam, 2: 146-147, dipetik daripada: Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Al-Ajwibah An-Nafiah An As’ilah Lujnah Masjid Al-Jamiah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 2000, Hal: 29.

[5] Ash-Shafiei, Muhammad Ibn Idris, Al-Umm, Dar Al-Marifah, Beirut, Lubnan, 1393H, 1: 195.

[6] Ash-Shafiei, Muhammad Ibn Idris, Al-Umm, Dar Al-Marifah, Beirut, Lubnan, 1393H, 1: 195.

No comments:

Post a Comment