Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KELAPAN: (Bahagian 1)

TOHMAHAN KELAPAN: (Bahagian 1)

Al-Albani Banyak Membuat Kesilapan Dan Percanggahan Dalam Penilaian Darjat Hadis.

Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 9, Al-Ghari menuduh Al-Albani membuat penilaian yang salah terhadap hadith berkenaan kelebihan membaca Surah Al-Kahf pada malam Jumaat. Al-Ghari melihat penilaian Al-Albani itu sebagai tidak betul kerana hadith tersebut telah diriwayatkan oleh para ulama hadith muktabar seperti Al-Hakim, An-Nasai, Al-Baihaqi dan At-Tabrani.

Manakala dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 10 pula, Al-Ghari menuduh Al-Albani sebagai tokoh kontradik dalam kajian hadith kerana kononnya beliau banyak mensahihkan hadith dhaif dan mendhaifkan hadith sahih.

PENJELASAN:

Pertama: Pengenalan Ringkas Kepada Al-Albani.

Kedua: Hadith Fadilat Membaca Surah al-Khaf Yang Dikritik Oleh Al-Ghari.

Ketiga: Kekeliruan Al-Ghari Dalam Mengkritik Darjat Hadith Fadilat Membaca Surah al-Kahf.

Keempat: Benarkah Penilaian Al-Albani Sering Saling Bercanggah?

Pertama: Pengenalan Ringkas Kepada Al-Albani.

Al-Albani rahimahullah merupakan seorang tokoh ulama hadith yang berwibawa sehingga ada yang menggelarnya sebagai ‘muhaddith kurun kedua puluh masehi’. Bahkan ada yang menyifatkannya sebagai setaraf dengan al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah yang dikatakan ‘jarang dilahirkan oleh rahim wanita’. Berkat kegigihan dan kesabarannya mengkaji hadith, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 224 buah karya ilmiah, sama ada dalam bentuk karya asli, tahqiq, taliq (ulasan), takhrij (mencari, menganalisa dan menilai status hadith) atau talkhis (ringkasan)[1]. Di antara karya beliau ada yang saiznya mencecah puluhan jilid, seperti Mujam Al-Hadith An-Nabawi (40 jilid) dan Silsilah Al-Hadith Ad-Daifah Wa Al-Maudu’ah (15 jilid).

Telah menjadi tradisi ilmu, bahawa sebarang karya ilmiah yang dihasilkan oleh seseorang tokoh berwibawa pasti mendapat maklum balas daripada pembacanya, sama ada dalam bentuk kritikan positif atau pun negatif. Jika tokoh sehebat Al-Bukhari At-Tarmizi dan Al-Ghazali pun masih tetap dikritik oleh para ulama seperti Ad-Daraqutni, Ibn Hazm dan Al-‘Iraqi, maka tidak hairanlah jika Al-Albani juga menerima kritikan daripada para ilmuan yang lain.

Berdasarkan keseluruhan karyanya, Al-Albani dilihat telah menelusuri metod standard ulama hadith dalam kajiannya terhadap hadith. Semua rujukan dan pengkaedahan yang diaplikasikan oleh beliau adalah menepati rujukan dan pengkaedahan yang muktabar. Namun, bak kata pepatah ‘bumi mana yang tidak ditimpa hujan’ dan ‘lautan mana yang tidak bergelora’, maka demikianlah juga dengan Al-Albani. Sebab itulah beliau sangat mengalu-alukan sebarang kritikan daripada para pembaca kitab-kitabnya, sekiranya kritikan itu lahir daripada kajian yang benar dan jujur.

Kedua: Hadith Fadilat Membaca Surah al-Khaf Yang Dikritik Oleh Al-Ghari.

Dalam konteks kritikan Al-Ghari, ia dilihat tidak lahir daripada kajian yang benar dan jujur, kerana terdapat unsur-unsur pengkhianatan yang jelas dalam kritikan tersebut. Matan (lafaz) hadith berkenaan fadilat membaca surah Al-Kahf (lazim juga disebut sebagai surah al-Kahfi) pada hari atau malam Jumaat yang terdapat dalam kitab-kitab sumber hadith adalah berbeza-beza antara sesebuah kitab dengan sebuah kitab yang lain. Sebahagian dari matan itu dinilai sebagai palsu oleh para ulama, manakala sebahagian yang lain dinilai sebagai sahih, bergantung kepada perbezaan yang terdapat pada setiap matan tersebut. Antara matan yang dinilai sebagai palsu berbunyi:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أعطي نورا من حيث قرأها إلى مكة وغفر له إلى يوم الجمعة الأخرى وفضل ثلاثة أيام (وصلى عليه سبعون ألف ملك حتى يصبح وعوفي من الداء والدبيلة وذات الجنب والبرص والجذام والجنون وفتنة الدجال).

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat akan diberi cahaya dari tempat dia baca sehingga ke Makkah dan diampunkan bagi (dosa)nya sehingga hari Jumaat yang lain beserta tambahan tiga hari, (akan bersalawat ke atasnya tujuh puluh ribu para malaikat sehingga subuh dan dia akan diselamatkan daripada penyakit, malapetaka, sakit rusuk, (penyakit) sopak, (penyakit) kusta, kegilaan dan fitnah Dajjal)”.

Matan ini dinilai sebagai palsu oleh ulama pentahqiq hadith seperti As-Suyuti (911H)[2], Ibn Arraq (963H)[3], Muhammad Tahir Al-Fatni (986H)[4], Asy-Syaukani (1250H)[5] dan Al-Jubri Al-Misri[6]. Setakat kajian yang dibuat, tidak dijumpai penilaian Al-Albani terhadap hadith berkenaan sebagai palsu, yang ada ialah penilaian beliau setakat dhaif jiddan sahaja. Matan yang dinilai oleh Al-Albani sebagai dhaif jiddan ini adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف يوم الجمعة فهو معصوم إلى ثمانية أيام من كل فتنة تكون فإن خرج الدجال عصم منه.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat, maka dia akan terselamat selama lapan hari daripada setiap fitnah yang berlaku dan jika keluar Dajjal dia akan terselamat daripada (fitnah)nya”[7].

Al-Albani menilai dhaif jiddan matan hadith ini kerana dua faktor:

I. Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Ibrahim Ibn Abd Allah Ibn Ayyub Al-Mukharrami yang distatuskan oleh Ad-Daraqutni sebagai tidak thiqah selain dia juga banyak meriwayatkan hadith batil (palsu) melalui perawi-perawi thiqah.

II. Matan ini dilihat bercanggah dengan matan lain yang diriwayatkan melalui sanad yang sahih. Dalam konteks ini Al-Albani berkata (maksudnya): “Dan sesungguhnya telah sahih hadith ini melalui jalan sanad lain daripada Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anh, tanpa menyebut bilangan lapan hari”[8].

Selain daripada matan ini, Al-Albani juga telah menilai dhaif satu lagi riwayat dengan matan seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة سطع له نور من تحت قدمه إلى عنان السماء يضيء له يوم القيامة وغفر له ما بين الجمعتين.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada hari Jumaat, dipancarkan baginya cahaya dari bawah tapak kakinya sehingga ke puncak langit, ia meneranginya pada hari Kiamat serta diampunkan dosanya antara dua Jumaat”[9].

Riwayat ini dinilai dhaif oleh beliau kerana dua sebab juga:

I. Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid Ibn Said Ibn Abi Maryam yang berstatus majhul al-Hal ( tidak diketahui status keadilannya).

II. Ia dilihat bercanggah dengan matan sahih riwayat Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anhum.

Riwayat sahih daripada Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anhum itu telah dikemukakan oleh Al-Albani dalam kitabnya Silsilah As-Sahihah dengan matan seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف كما أنزلت كانت له نورا يوم القيامة من مقامه إلى مكة ومن قرأ عشر آيات من آخرها ثم خرج الدجال لم يضره...

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf sebagaimana ia diturunkan, (nescaya) baginya cahaya pada hari Kiamat dari tempatnya sehingga ke Makkah, dan sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhirnya kemudian keluar Dajjal, (nescaya) dia tidak akan memudaratkannya…”[10].

Ketiga: Kekeliruan Al-Ghari Dalam Mengkritik Darjat Hadith Fadilat Membaca Surah al-Kahf.

Setelah dirujuk kepada kitab-kitab sumber hadith yang disebut oleh Al-Ghari, maka di dapati hadith tersebut terdapat dalam Mustadrak Al-Hakim adalah dengan matan seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور ما بين الجمعتين.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya antara (tempoh) dua Jumaat” [11].

Dalam Sunan Al-Baihaqi pula matannya adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور ما بينه وبين البيت العتيق.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya antara (tempat)nya dan Bait Al-Atiq (Kaabah)”[12].

Dalam Al-Mu’jam Al-Ausat matannya adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور إلى يوم القيامة من مقامه إلى مكة.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam Jumaat dia akan disinari cahaya sehingga hari Kiamat dari tempatnya hingga ke Makkah”[13].

Manakala dalam Sunan An-Nasai Al-Kubra pula matannya adalah seperti berikut:

من قرأ سورة الكهف كما أنزل ثم أدركه الدجال لم يسلط عليه أو لم يكن له عليه سبيل ومن قرأ سورة الكهف كان له نورا من حيث قرأها ما بينه وبين مكة.

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahf sebagaimana ia diturunkan, kemudian dia sempat (hidup pada zaman) Dajjal (nescaya) dia tidak akan dapat menguasainya atau tidak ada jalan untuk dia menguasainya. Dan sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi dia akan mendapat cahaya dari tempat dia baca antara dia dan Makkah”[14].

Kesemua sanad hadith riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi, At-Tabrani dan An-Nasai bertemu pada perawi bernama Abu Hashim Ar-Rajai yang menerima riwayat daripada Abu Mijlaz, daripada Qais Ibn Abbad, daripada Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anh secara marfu, dan ia adalah sanad yang sahih. Justeru, Al-Albani sendiri telah menilai matan riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi sebagai sahih dalam kitabnya Irwa’ Al-Ghalil[15] dan Sahih At-Targhib Wa Tarhib[16].

Berdasarkan paparan ini, maka dapatlah disimpulkan perkara berikut:

I. Riwayat An-Nasai sebenarnya terdapat dalam kitab beliau As-Sunan Al-Kubra yang kurang popular dan bukannya dalam kitab Sunan An-Nasai As-Sughra yang dikenali sebagai Al-Mujtaba, yang termasuk dalam kumpulan Kutub As-Sittah. Justeru cara Al-Ghari menyebut kitab itu dengan berpada setakat nama Sunan An-Nasai dilihat sebagai mengelirukan kerana orang akan menyangka ia adalah kitab Sunan An-Nasai As-Sughra yang popular dan bukannya As-Sunan Al-Kubra. Hal ini pun sudah cukup untuk menggambarkan kecuaian dan kecetekan ilmu beliau dalam berinteraksi dengan kitab-kitab sumber hadith.

II. Al-Albani menilai hadith tersebut setakat dhaif atau daif jiddan sahaja dan beliau tidak pernah menilainya sebagai palsu. Perbezaan antara istilah-istilah itu boleh difahami dengan mudah oleh sesiapa saja yang mempelajari sedikit sebanyak istilah-istilah ilmu hadith. Maka tuduhan Al-Ghari bahawa Al-Albani menilainya sebagai palsu membuktikan pembohongan dan pengkhianatan Al-Ghari, sekali gus juga membuktikan kejahilan ultranya dalam bidang ilmu hadith.

III. Jika dibandingkan matan dan sanad yang dinilai dhaif oleh Al-Albani dengan matan dan sanad yang dinilai sahih oleh beliau, maka didapati memang ada perbezaan pada kedua-duanya. Ini bermakna riwayat yang dinilai dhaif oleh Al-Albani adalah berlainan dengan riwayat yang dinilai sahih oleh beliau dan yang terdapat dalam kitab An-Nasai, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan At-Tabrani. Justeru di manakah letaknya kejujuran Al-Ghari dalam menuduh penilaian Al-Albani sebagai tidak betul, sedangkan penilaian itu dibuat berdasarkan sanad dan matan yang berbeza? Jika diandaikan berlaku kesilapan pada Al-Albani dalam penilaiannya, maka kenapa kesilapan itu diletakkan pada beliau seorang sahaja sedangkan penilaian yang lebih berat telah dibuat oleh ramai pentahqiq hadith sebelum beliau seperti As-Suyuti, Asy-Syaukani dan Ibn Arraq?

[1] Azwira Abdul Aziz, Al-Albani Dan Metodologi Pemahaman Hadith Hukum, Tesis Phd, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, 2005, Hal: 96-111.

[2] As-Suyuti, Abd Ar-Rahman Ibn Abi Bakr, Zail Al-Lali’ Al-Masnuah Fi Al-Ahadith Al-Mauduah, Tahqiq: As-Sayyid Muhammad Masyu Qalie, Al-Matba Al-Alawi, India, 1303H, Hal: 27.

[3] Al-Kinani, Ali Ibn Muhammad Ibn Ali, Tanzih Asy-Syariah Al-Marfuah An Al-Akhbar Asy-Syaniah Al-Mauduah, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, Tahqiq: Abd Al-Wahhab Abd Al-Latif dan Abd Allah Muhammad Siddiq Al-Ghumari, t.th, 1: 301-302.

[4] Muhammad Tahir Ibn Ali Al-Fatni, Tazkirah Al-Mauduat, CD Al-Alfiah, Markaz At-Turath, Amman, Jordan, Hal: 78.

[5] Muhammad Ibn Ali, Al-Fawaid Al-Majmuah Fi Al-Ahadith Al-Mauduah, Tahqiq: Abd Ar-Rahman Ibn Yahya Al-Muallimi, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1407H, 1: 974.

[6] Al-Jubri, Abd Al-Mutaal Muhammad, Al-Musytahar Min Al-Hadith Al-Maudu Wa Ad-Daif Wa Al-Badil, Maktabah Wahbah, Kaherah, Mesir, 1407H, Hal: 27.

[7] Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith Ad-Daifah Wa Al-Mauduah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1996, 5: 26, No: 2013.

[8] Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith Ad-Daifah Wa Al-Mauduah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1996, 5: 27.

[9] Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Tamam Al-Minnah Fi At-Taliq Ala Fiqh As-Sunnah, Dar Ar-Rayah, Riyadh, Arab Saudi, 1409H, Hal: 324.

[10] Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 1996, 6: 312, No: 2751.

[11] Al-Hakim, Muhammad Ibn Abd Allah, Al-Mustadrak Ala As-Sahihain, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1990, 2: 399, No: 3392. Al-Hakim menilai sanad hadith ini sebagai memenuhi syarat Al-Bukhari dan Muslim.

[12] Al-Baihaqi, Ahmad Ibn Al-Husain, As-Sunan Al-Kubra, Maktabah Dar Al-Baz, Makkah, Arab Saudi, 1994, 3: 249, No: 5792.

[13] At-Tabrani, Sulaiman Ibn Ahmad, Al-Mujam Al-Ausat, Tahqiq: Tariq Ibn Audh Allah dan Abd Al-Muhsin Ibrahim, Dar Al-Haramain, Kaherah, Mesir, 1415, 2:123, No: 1455.

[14] An-Nasai, Ahmad Ibn Syuaib, As-Sunan Al-Kubra, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, Lubnan, 1991, 6: 236, No: 10788-10790, secara umum tanpa dikaitkan dengan hari atau malam Jumaat.

[15] Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Irwa’ Al-Ghalil Fi Takhrij Ahadith Manar As-Sabil, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1985, 3: 93, No: 626.

[16] Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

No comments:

Post a Comment