Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN PERTAMA: (bahagian 1) Ibn Taimiyyah Dan Ibn al-Qayyim Pencetus Fahaman Tajsim Dan Tashbih.

TOHMAHAN PERTAMA: (bahagian 1)

Ibn Taimiyyah Dan Ibn al-Qayyim Pencetus Fahaman Tajsim Dan Tashbih.

Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 3-4 (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 4-5) Al-Ghari mentohmah Ibn Taimiyyah[1] dan muridnya Ibn Al-Qayyim[2] sebagai pencetus fahaman tajsim (memvisualisasikan Tuhan) dan tashbih (menyerupakan Tuhan dengan makhluk). Beliau cuba membuktikan tohmahan itu berdasarkan kenyataan Ibn Taimiyyah yang dikatakan menolak takwilan terhadap ayat-ayat sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab Munazarah Aqidah Al-Wasitiyyah, manakala tuduhan ke atas Ibn Al-Qayyim pula didasarkan kepada kitab Mukhtasar As-Sawaiq Al-Mursalah.

Kemudian, dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 6, Al-Ghari menuduh Ibn Taimiyyah ada menyatakan dalam kitabnya At-Ta’sis Fi Ar-Radd Ala Asas At-Taqdis bahawa aqidah tajsim dan tasybih tidak dicela dalam Al-Quran dan tidak ada seorangpun dari kalangan ulama salaf yang mengkritik aqidah tersebut.

PENJELASAN:

Pertama:
Antara Ciri Golongan Ahli Sunnah Adalah Mereka Dituduh Berfahaman Tajsim Dan Tasybih Oleh Golongan Ahli Bid’ah.

Kedua:
Ibn Taimiyyah Sebenarnya Menolak Fahaman Tajsim Dan Tasybih.

Ketiga:
Lima Kaedah Dalam Berinteraksi Dengan Sifat-Sifat Allah.

Keempat:
Ibn al-Qayyim Juga Menolak Fahaman Tajsim Dan Tasybih.

Kelima:
Kata-Kata Sebenar Ibn Taimiyyah Dalam Kitab At-Ta’sis Fi Ar-Radd Ala Asas At-Taqdis.

Pertama: Antara Ciri Golongan Ahli Sunnah Adalah Mereka Dituduh Berfahaman Tajsim Dan Tasybih Oleh Golongan Ahli Bid’ah.

Tuduhan ke atas tokoh ulama Ahli Sunnah sebagai mujassimah dan musyabbihah bukanlah suatu yang baru kerana ia telah berlaku sejak dari dulu lagi ketika kemunculan aliran-aliran pemikiran yang sesat[3]. Dalam konteks ini, Abu Hatim Ar-Razi rahimahullah (227H) berkata (maksudnya):

“Tanda-tanda aliran Al-Jahmiyyah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai musyabbihah…”[4].

Al-Barbahari rahimahullah (329H) pula berkata (maksudnya):

“Bila kamu mendengar seseorang berkata (kepada Ahli Sunnah): “Si fulan adalah musyabbih (menyerupakan Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sifat makhluk) atau si fulan memperkatakan tentang tasybih, maka ketahuilah bahawa dia (orang yang berkata itu) ialah seorang Jahmiyyah [5].

Manakala Abu Uthman As-Sobuni rahimahullah (499H) pula berkata (maksudnya):

“Ciri-ciri ahli bidah adalah sangat jelas dan yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara terang-terang memusuhi dan menghina Ahli Sunnah dan Ahli Athar serta menuduh mereka dengan tuduhan yang buruk seperti Al-Hasyawiyyah (orang yang mementingkan perkara remeh-temeh), Al-Jahalah (orang yang jahil) dan Al-Musyabbihah (orang yang menyerupakan Sifat Allah dengan sifat makhluk)”[6].

Justeru segala tuduhan yang dilemparkan oleh Al-Ghari ke atas Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim mestilah dinilai dan dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, kerana seseorang yang sanggup berbohong ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tergamak mengecam para Sahabat radhiallahu 'anhum akan lebih tergamak untuk berbohong dan mengecam para ulama selain mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui keadaan sebenarnya, lalu kamu menyesal di atas perbuatanmu itu”[7].

Kedua: Ibn Taimiyyah Sebenarnya Menolak Fahaman Tajsim Dan Tasybih.

Judul sebenar kitab yang dinisbahkan oleh Al-Ghari kepada Ibn Taimiyyah ialah Al-Aqidah Al-Wasitiyyah Wa Majlis Al-Munazarah Fiha Baina Syeikh Islam Ibn Taimiyyah Wa Ulama Asrih. Berdasarkan judul ini, dapat difahami secara mudah bahawa kitab itu sebenarnya bukan karya Ibn Taimiyyah, tetapi karya ulasan oleh ulama terkemudian. Karya Ibn Taimiyyah yang sebenar ialah Al-Aqidah Al-Wasitiyyah.

Demikian juga bagi kitab Mukhtasar As-Sawaiq Al-Mursalah, ia adalah ringkasan daripada karya asal Ibn Al-Qayyim yang berjudul As-Sawaiq Al-Mursalah Fi Ar-Rad Ala Al-Jahmiyyah Wa Al-Muattilah.

Bila dirujuk kepada kitab Al-Aqidah Al-Wasitiyyah dari awal sehingga akhir, maka didapati Ibn Taimiyyah langsung tidak menyebut ungkapan yang menunjukkan bahawa beliau berpegang dengan fahaman tajsim atau tasybih, sebaliknya keseluruhan kenyataan beliau berkenaan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala menjurus kepada penolakan terhadap dua jenis fahaman sesat, iaitu tajsim (menjisimkan Allah Subhanahu wa Ta’ala atau tasybih) dan tatil (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan, Ibn Taimiyyah sebenarnya langsung tidak menyebut perkataan takwil dalam kitabnya Al-Aqidah Al-Wasitiyyah seperti yang didakwa oleh Al-Ghari itu. Kata Ibn Taimiyyah:

فهذا اعتقاد الفرقة الناجية المنصورة إلى قيام الساعة، أهل السنة والجماعة وهو الإيمان بالله...ومن الإيمان بالله الإيمان بما وصف به نفسه في كتابه وبما وصفه به رسوله محمد صلى الله عليه وسلم من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا ثمثيل بل يوءمنون بأن الله سبحانه ليس كمثله شيء وهو السميع البصير فلا ينفون عنه ما وصف به نفسه ولا يحرّفون الكلم عن مواضعه ولا يلحدون في أسماء الله وآياته ولا يكيّفون ولا يمثّلون صفاته بصفات خلقه لأنه سبحانه لا سميّ له ولا كفو له ولا ند له ولا يقاس بخلقه سبحانه وتعالى...

Maksudnya: “Maka ini adalah itiqad firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan dengan apa yang telah RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna)[8], tanpa tatil (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).

Bahkan, mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat[9]. Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya, tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Taala…”[10].

Di halaman yang lain, Ibn Taimiyyah berkata:

فإن الفرقة الناجية أهل السنة والجماعة يؤمنون بذلك كما يؤمنون بما أخبر الله به في كتابه من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا تمثيل بل هم الوسط في فرقة الأمة كما أن الأمة هي الوسط في الأمم فهم وسط في باب صفات الله سبحانه وتعالى بين أهل التعطيل الجهمية وأهل التمثيل المشبهة...

Maksudnya: “Maka sesungguhnya firqah najiah Ahli Sunnah Wal Jamaah beriman dengan yang demikian itu (nas-nas hadith berkenaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala), sebagaimana mereka beriman dengan apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam kitabNya, tanpa tahrif, tanpa tatil, tanpa takyif dan tanpa tamthil. Bahkan merekalah yang sederhana di kalangan puak umat ini sebagaimana umat ini juga yang sederhana di kalangan umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara ahli Tatil Al-Jahmiyyah dan ahli Tamthil Al-Musyabbihah[11].

Berdasarkan kata-kata di atas, ternyata bahawa Ibn Taimiyyah berpegang dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memahami nas-nas Sifat, iaitu tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa tatil (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu). Ini jauh berbeza dengan golongan Al-Mujassimah dan Al-Musyabbihah yang berpegang dengan fahaman tajsim dan tasybih kerana mereka menyamakan kaifiyyat (bentuk dan ciri) sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan makhluknya. Dalam kata-katanya itu, Ibn Taimiyyah cuba menjelaskan kesederhanaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada antara dua jenis fahaman sesat yang melampau, iaitu fahaman tajsim (atau tasybih) dan fahaman ta’til[12].

Dalam kitabnya yang lain Ibn Taimiyyah berkata:

فلا بد من إثبات ما أثبته الله لنفسه ونفي مماثلته لخلقه، فمن قال: ليس لله علم ولا قوة ولا رحمة ولا كلام ولا يحب ولا يرضى ولا نادى ولا ناجى ولا استوى كان معطّلا جاحدا ممثّلا لله بالمعدومات والجمادات، ومن قال: له علم كعلمي أو قوة كقوتي أو حب كحبي أو رضا كرضاي أو يدان كيديّ أو استواء كاستوائي كان مشبّها ممثّلا لله بالحيوانات، بل لا بد من إثبات بلا تمثيل وتنـزيه بلا تعطيل.

Maksudnya: “Maka tidak dapat tidak, mesti menetapkan apa yang telah Allah tetapkan bagi diriNya dan menafikan penyerupaanNya dengan makhlukNya. Sesiapa yang kata Allah tidak ada ilmu, tidak ada kekuatan, tidak ada kasihan belas, tidak ada percakapan, tidak ada kasih sayang, tidak ada keredaan, tidak memanggil, tidak menyeru dan tidak meninggi, maka dia adalah seorang pembatal yang ingkar (terhadap sifat Allah) dan yang menyamakan Allah dengan benda yang tiada atau benda yang kaku.

Manakala sesiapa yang kata ilmuNya seperti ilmuku, kekuatanNya seperti kekuatanku, kasih sayangNya seperti kasih sayangku, keredaanNya seperti keredaanku, tanganNya seperti tanganku dan meninggiNya seperti meninggiku, maka dia adalah seorang musyabbih yang menyamakan Allah dengan haiwan (makhluk). Justeru, tidak dapat tidak, mesti mengithbatkan (menetapkan) tanpa penyamaan dan mesti mensucikan tanpa pengingkaran[13].

Penjelasan Ibn Taimiyyah ini sudah tentu dilihat sebagai akuan dan penetapan beliau terhadap kebenaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sederhana itu, dan bukan sebagai akuan terhadap fahaman tajsim. Adalah sangat tidak munasabah jika seorang tokoh ulama yang telah menjelaskan kesesatan fahaman tajsim tiba-tiba dituduh berpegang dengan fahaman tersebut.

BAHAGIAN 2

[1] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd Al-Halim Al-Harrani, meninggal pada tahun 728H.

[2] Muhammad Ibn Abi Bakr Ayyub Az-Zar’i, meninggal pada tahun 751H.

[3] Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 33.

[4] Muhammad Ibn Idris Ibn Al-Munzir Ar-Razi, Asl As-Sunnah Wa I’tiqad Ad-Din, Dalam: Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 34.

[5] Hasan Ibn ‘Ali Ibn Khalaf Al-Barbahari, Syarh As-Sunnah, Tahqiq: Muhammad Sa’id Salim Al-Qahtani, Dar Ibn Al-Qayyim, Dammam, Arab Saudi, 1408H, Hal: 52.

[6] Ismail Ibn ‘Abd Ar-Rahman Ibn Ahmad, ‘Aqidah As-Salaf Wa Ashab Al-Hadith, Dalam: Hafiz Firdaus Abdullah, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2003, Hal: 35.

[7] Al-Hujurat, 49: 6.

[8] Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1995, tafsiran ayat 46, surah An-Nisa’, Hal: 196.

[9] Asy-Syura 42: 11.

[10] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd Al-Halim Al-Harrani, Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Tahqiq: Muhammad Ibn ‘Abd Al-’Aziz Ibn Mani’, Ar-Riasah Al-’Ammah Li Al-Ifta’, Riyadh, Arab Saudi, 1412H, Hal: 5-7.

[11] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd Al-Halim Al-Harrani, Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Tahqiq: Muhammad Ibn ‘Abd Al-’Aziz Ibn Mani’, Ar-Riasah Al-’Ammah Li Al-Ifta’, Riyadh, Arab Saudi, 1412H, Hal: 23-24.

[12] Disebabkan kesederhanaan pegangan Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah itu, maka beliau judulkan kitabnya dengan judul Al-Wasitiyah yang bermaksud ‘sederhana’.

[13] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn ‘Abd Al-Halim Al-Harrani, Ar-Risalah at-Tadmuriyyah, Hal: 30. Dipetik daripada Sa’id Ibn ‘Ali al-Qahtani 1411H, Syarh Asma’ Allah al-Husna Fi Dau’ al-Kitab Wa as-Sunnah, Wazarah al-I’lam, Riyadh, Arab Saudi, Hal: 64

No comments:

Post a Comment