Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KESEMBILAN: (Bahagian 1)

TOHMAHAN KESEMBILAN: (Bahagian 1)

Pendukung Sunnah Di Malaysia Tidak Faham Konsep Bidah.

Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 8-23 (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 9-17) Al-Ghari menuduh para pendukung Sunnah yang ingin menegakkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai tidak memahami konsep bidah[1].

Beliau cuba membuktikan tuduhan itu dengan membawa beberapa contoh permasalahan khilafiyyah seperti solat sunat qabliyyah Jumaat (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 10-16), azan solat Jumaat dua kali (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 16-18), Kenduri Arwah (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 18-23), menyapu muka selepas solat, membaca qunut subuh, talqin, tahlil, maulid rasul, salawat/zikir beramai-ramai dan membaca surah Yasin/Al-kahfi pada malam Jumaat.

PENJELASAN:

Pertama: Memerangi Bidah Adalah Salah Satu Daripada Isu Pokok Agama Islam.
Kedua: Dua Bentuk Amalan Bidah.
Ketiga: Maksud Istilah Bidah Hasanah.
Keempat: Syarat-Syarat Untuk Menggelar Sesuatu Amalan Baru Sebagai Bid’ah Hasanah.

Pertama: Memerangi Bidah Adalah Salah Satu Daripada Isu Pokok Agama Islam.

Amalan bidah ialah amalan rekaan dalam urusan agama yang bercanggah dengan jalan pemikiran, pendekatan, perbuatan, perkataan, pembawaan dan pegangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan perkataan lain, ia bermaksud amalan dan pegangan yang bercanggah dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beribadat dan beragama. Suruhan supaya menjauhi perkara bidah terkandung dalam banyak nas syara’, antaranya sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة.

Maksudnya: “…Dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bidah sedangkan setiap bidah itu sesat.”[2].

Dari sudut bahasa, ungkapan وإياكم yang bermaksud “hendaklah kamu jauhi” juga diistilahkan sebagai ism fil amar (katanama suruhan) yang membawa konsekuensi hukum wajib, sama seperti ungkapan فعليكم yang dijelaskan sebelum ini di bahagian Pendahuluan. Justeru suruhan supaya menjauhi perkara bidah juga mesti dilihat sebagai suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, sama seperti suruhan supaya berpegang dengan Sunnah Baginda. Dengan perkataan lain, jika berpegang dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu hukumnya wajib, maka menjauhi perkara bidah itu juga mesti dilihat sebagai wajib.

Gejala bidah adalah antara perkara yang diberi perhatian serius oleh Islam. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah banyak memberi peringatan tegas kepada umatnya supaya menjauhi semua perkara tersebut, dan peringatan Baginda itu tentulah mengandungi hikmah-hikmah yang tidak boleh dipandang remeh begitu sahaja. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

أنا على حوضي أنتظر من يرد علي فيؤخذ بناس من دوني حتى إذا أهويت لأناولهم اختلجوا دوني، فأقول: أي رب! أمتي، فيقول: ما تدري ما أحدثوا بعدك.

Maksudnya: “Sedang aku menunggu orang datang menemuiku di kolamku (di Syurga), tiba-tiba dibawa datang sekumpulan manusia di bawahku sehingga aku tunduk untuk mencapai mereka tetapi mereka berjatuhan di bawahku, lalu aku mengeluh: “Wahai Tuhanku! (mereka adalah) umatku”. Dia (Allah) berfirman: “Kamu tidak tahu apa yang telah mereka ada-adakan (perkara bidah) selepasmu”[3].

Hadith ini menunjukkan bahawa amalan bid’ah yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menghalang mereka daripada mendapat keselamatan pada Hari Akhirat kelak. Menjelaskan hikmah di sebalik peringatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini, Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah berkata:

Maksudnya: “Dan sebab (bagi) peringatan ini ialah (kerana) sesungguhnya (orang) yang mengadakan bidah itu kadang-kala mengambil mudah dengannya kerana keremehan perkara itu pada peringkat awalnya, sedangkan dia tidak perasan kerosakan yang akan berlaku akibatnya…”[4].

Dalam konteks ini juga, Al-Barbahari rahimahullah berkata:

“Dan awasilah perkara-perkara bidah kecil kerana ia akan berulang sehingga menjadi besar. Demikianlah setiap (amalan) bidah yang diada-adakan di kalangan umat ini, pada mulanya adalah kecil dan mirip kepada kebenaran sehingga orang yang memasukinya (melakukannya) tertipu dengannya. Kemudian dia tidak dapat keluar lagi darinya lalu ia membesar dan menjadi satu agama yang dianuti sehingga menyalahi jalan yang lurus dan akhirnya terkeluar dari ajaran Islam”[5].

Berdasarkan hakikat ini, maka usaha menghidupkan Sunnah dan mematikan Bidah perlu dilihat sebagai usaha terpuji, malah ia termasuk dalam kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi mungkar yang paling utama. Menyedari kepentingan dan kewajipan menjauhi perkara bidah, maka para Sahabat tidak memandang ringan terhadap sebarang bid’ah meskipun perkara itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang kecil. Bahkan kerana bimbang akan terlanjur melakukan perkara haram mereka mengambil langkah berwaspada dengan meninggalkan sebahagian daripada perkara harus dan shubuhat.

Dalam sebuah athar[6] sahih riwayat Ad-Darimi, Abu Musa Al-Asyari radhiallahu ‘anh memberitahu Ibn Masud radhiallahu ‘anh bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga para Sahabat radhiallahu ‘anhum. Mendengar yang demikian, Ibn Masud menuju ke tempat halaqah zikir itu lantas menegur mereka dengan katanya:

عَدُّوا سيِّئاتِكم فأنا ضامن أن لا يضيعَ من حسناتِكم شيء، ويْحَكم يا أمّة محمد! ما أسرع هلكتَكم، هؤلاء صحابة نبيكم صلى الله عليه وسلم متوافرون، وهذه ثيابه لم تبْلُ وآنيته لم تُكْسر، والذي نفسي بيده إنكم لعلى ملةٍ أهدى من ملة محمد أو مفتّحو باب ضلالة؟

Maksudnya: “Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam masih ramai, baju Baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di Tangan-Nya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?”

Mendengar kata-kata Ibn Masud ini, mereka menjawab:

والله يا أبا عبد الرحمن! ما أردْنا إلا الخير.

Maksudnya: “Demi Allah wahai Abu Abd Ar-Rahman[7]! Tujuan kami hanya untuk kebaikan”.

Mendengar jawapan mereka itu, Ibn Masud berkata:

وكم من مريدٍ للخير لن يصيبه إن رسول الله صلى الله عليه وسلم حدثنا ((أن قوما يقرأون القرآن لا يجاوز تراقيهم)) وأَيْم الله ما أدري لعل أكثرهم منكم.

Maksudnya: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak betul (caranya). Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka”[8]. Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”.

Kemudian Amr Ibn Salamah[9] berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-Nahrawan[10].

Peristiwa yang berlaku pada zaman Sahabat radhiallahu ‘anhum ini mengandungi banyak pengajaran yang harus dihayati oleh umat Islam. Antara pengajaran itu ialah:

· Pertama: Bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai dengan menggunakan biji-biji batu adalah suatu bidah yang menyalahi Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para Sahabat radhiallahu ‘anhum.

· Kedua: Kata-kata Ibn Masud radhiallahu ‘anh: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak betul (caranya)”, sebagai jawapan terhadap alasan yang mereka berikan, mengukuhkan lagi dasar penolakan Islam terhadap falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’.

· Ketiga: Kata-kata Amr Ibn Salamah bahawa beliau melihat semua lelaki yang mengadakan halaqah zikir itu menyertai puak Khawarij untuk memerangi para Sahabat radhiallahu ‘anhum, menunjukkan bahawa sikap mengambil mudah terhadap perkara bidah akhirnya mengheret pengamalnya ke arah bidah yang lebih bahaya dan lebih besar.

· Keempat: Orang yang menegur dan menjelaskan perkara bidah tidak sekali-kali akan terpengaruh dengan pemikiran puak Khawarij, sebaliknya orang yang mengamalkan bidah itulah sebenarnya yang akan terheret ke dalam pemikiran puak berkenaan.

· Kelima: Kepentingan menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat tidak harus dijadikan alasan untuk menangguhkan penjelasan terhadap sesuatu amalan bidah, asalkan penjelasan itu disampaikan melalui cara dan saluran yang betul.

· Keenam: Kekerdilan sesuatu perkara agama pada pandangan sesetengah pihak tidak harus dijadikan alasan untuk memandang remeh perkara tersebut.

Kedua: Dua Bentuk Amalan Bidah.

Amalan bidah dari segi asal usulnya terbahagi dua:

· Pertama: Bidah Asliyyah iaitu segala amalan baru dalam agama yang tidak pernah disunnahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti amalan tarikat tasauf, menyebut perkataan usalli sebelum takbiratul ihram dan membaca Al-Quran di atas kubur.

· Kedua: Bidah Idafiyyah iaitu segala amalan baru yang ditambah ke dalam amalan yang asalnya disunnahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti menambah lafaz zikir-zikir khusus melebihi apa yang diajarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebagai contoh, membaca zikir selepas solat fardu pada asalnya adalah Sunnah, tetapi menambah lafaz yang tidak pernah dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dilihat sebagai bidah idafiyyah.

Asas bagi larangan daripada membuat penambahan ini diambil daripada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إذا حدثتكم حديثا فلا تزيدن عليّ.

Maksudnya: “Bila aku sabda kepada kamu sebuah hadith, maka janganlah kamu tambah ke atas (sabda) ku.”[11].

Zahir hadith menunjukkan larangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas perawi hadith daripada menambah sesuka hati matan (lafaz) hadith yang diriwayatkan olehnya. Berdasarkan kaedah qias aulawi ia juga menunjukkan tegahan ke atas orang yang ingin beramal dengan kandungan hadith daripada membuat sebarang penambahan dalam amalannya. Dengan perkataan lain, jika seseorang perawi dilarang daripada menambah sesuka hati matan hadith yang diriwayatkan olehnya, maka orang yang ingin beramal dengan kandungan hadith yang diriwayatkan oleh perawi berkenaan lebih wajar dilarang daripada membuat penambahan terhadap amalannya. Ini kerana apa yang disabdakan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah suatu ilmu yang menjadi wasilah (jalan) untuk sampai kepada ghayah (matlamat) ibadat. Maka, jika membuat penambahan ke atas wasilah dilihat sebagai tidak harus, maka ketidakharusan membuat penambahan ke atas ghayah dilihat sebagai lebih utama.

Larangan yang terkandung dalam hadith ini diperkuatkan lagi oleh amalan para Sahabat radhiallahu ‘anhum yang tidak membenarkan sebarang penambahan dibuat ke atas Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam konteks ini, Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma pernah melarang seorang lelaki daripada menambah ucapan salawat اللهم صل على محمد ketika bertahmid (membaca الحمد لله) selepas bersin[12]. Sejajar dengan itu, As-Suyuti rahimahullah telah menegaskan bahawa penambahan ucapan salawat ketika bertahmid selepas bersin itu adalah bidah mazmumah (tercela)[13]. Dengan perkataan lain, beliau melihat penambahan ucapan salawat dalam ucapan tahmid selepas bersin sebagai bidah idafiyyah yang tidak harus dilakukan walau dengan apa alasan sekalipun. Jika larangan penambahan itu perlu diaplikasikan dalam zikir tahmid selepas bersin, maka demikianlah dengan amalan–amalan zikir yang lain, seperti zikir selepas solat fardu, juga perlu dipastikan tidak ada sebarang penambahan di dalamnya.

Dalam sebuah hadith lain, Baginda aginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengajar zikir sebelum tidur kepada para Sahabat radhiallahu ‘anhum dengan lafaz:

أللهم أسْلَمْتُ نفسي إليك وفَوَّضْتُ أمري إليك ووجَّهْتُ وجهي إليك وألْجَأْتُ ظَهْرِي إليك، رَغْبَةً ورَهْبـَةً إليك لا مَلْجَأَ ولا مَنْجَا منك إلا إليك، آمَنْتُ بكتابك الذي أنْزَلْتَ وبِنـَبِـيِّك الذي أرْسَلْتَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku menyerahkan urusanku kepada-Mu, aku menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku menyandarkan belakangku kepada-Mu, kerana rasa suka dan takut kepada-Mu. Tiada tempat perlindungan dan penyelamat daripada (ancaman-Mu) kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan Kitab yang telah Engkau turunkan dan juga dengan Nabi Engkau yang telah Engkau utuskan”[14].

Lafaz zikir ini telah dihafaz dan dibaca oleh Al-Bara’ Ibn Azib radhiallahu ‘anh sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kecuali perkataan وبنبيك(dan juga dengan Nabi Engkau) dia tukarkan dengan perkataan وبرسولك (dan juga dengan Rasul Engkau). Mendengarkan bacaan Al-Bara’ itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pantas menegur serta melarang beliau daripada menukar perkataan tersebut[15].

Jika difikirkan secara logik, apa yang dilakukan oleh Al-Bara’ itu adalah perkara hasanah (baik), memandangkan makna perkataan rasul lebih mulia dan lebih terhormat berbanding perkataan nabi kerana setiap yang menjadi rasul adalah nabi, sedangkan bukan semua yang menjadi nabi adalah rasul. Jika teguran seperti yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dihalakan kepada para pendukung bidah hari ini, nescaya mereka akan mentertawa dan mengejek-ngejek si penegur itu serta mentohmahnya sebagai tidak memahami konsep bidah.

Akan tetapi bagi orang yang benar-benar memahami konsep Sunnah dan bidah seperti Al-Bara’ radhiallahu ‘anh, beliau tetap akur dengan teguran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia langsung tidak berdalih dengan sebarang alasan, kerana dia tahu bahawa teguran daripada menukar perkataan tersebut menunjukkan kepentingan mengekalkan perkataan asal yang disunnahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka sekiranya dalam hal penukaran satu kalimah zikir pun Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak membenarkannya, maka dalam hal-hal penambahan, penukaran dan penciptaan zikir-zikir yang tidak pernah baginda ajarkan tentulah lebih wajar untuk tidak dibenarkan.

Umat Islam sepatutnya merasa cukup dan berpada dengan apa yang di bawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana apa yang sampaikan oleh Baginda adalah ajaran Islam yang telah lengkap selengkap-lengkapnya sehingga diberi pengiktirafan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Maksudnya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agamamu dan aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan telah Ku redhai Islam sebagai agamamu”[16].

Ayat ini jelas menunjukkan kesempurnaan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai agama yang diredai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dengan kesempurnaan ini, maka tidak ada sebab untuk kita mengurang atau menambah cara ibadat kita melebihi apa yang diajarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan apa yang diajarkan oleh Baginda itu sudah lebih dari cukup sehingga mencabar kemampuan kebanyakan manusia biasa.

Seorang yahudi pernah berkata kepada Umar Ibn Al-Khattab radhiallahu ‘anh bahawa jika ada ayat seperti ayat itu diturunkan kepada kaum mereka, nescaya mereka akan menjadikan hari tersebut sebagai hari perayaan besar-besaran, sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat kesempurnaan agama[17]. Amat malang sekali, jika golongan yahudi yang tidak mendapat nikmat kesempurnaan agama lebih tahu menilai nikmat kesempurnaan itu, sedangkan umat Islam yang mendapat anugerah tersebut tidak tahu pula menilainya.

Orang yang suka menokok tambah amalan bidah dalam agama sebenarnya terdiri daripada golongan yang tidak faham konsep ikutan terhadap Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Disebabkan kejahilan itu, mereka merasakan amal ibadat mereka masih banyak kekurangan lalu mereka cuba menampung kekurangan itu dengan bebanan amalan yang mereka cipta sendiri. Sedangkan jika mereka belajar, nescaya mereka akan tahu bahawa amalan Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah terlalu banyak dan mereka akan merasa cukup dengan Sunnah-Sunnah tersebut. Alangkah baiknya jika mereka menghabiskan semua amalan Sunnah terlebih dahulu. Akan tetapi ketika masih banyak lagi amalan Sunnah yang mereka tak tahu dan tidak amalkan, maka di manakah kewajaran untuk mereka bersusah payah beramal dengan amalan bidah yang mereka ciptakan itu? Bahkan jika mereka bersikap cerdik lalu berpada dengan amalan wajib sahaja tanpa melakukan sebarang amalan sunat yang lain pun dikira lebih baik daripada mereka menokoh nambah amalan bidah itu.

Seorang lelaki dari qabilah Najd pernah menegaskan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa jika beliau memeluk Islam beliau hanya ingin melaksanakan rukun Islam sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Dengan perkataan lain, lelaki itu hanya ingin melakukan amalan wajib sahaja tanpa menambahnya dengan sebarang amalan sunat walau sedikitpun. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memperakukan keinginan lelaki itu dengan sabdanya yang bermaksud: “Telah berjayalah orang itu jika dia bercakap benar”[18]. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini menunjukkan bahawa jika lelaki itu ingin berpada dengan amalan wajib sahaja tanpa melaksanakan sebarang amalan lain, maka ia sudah memadai baginya untuk mendapat balasan syurga (jika cukup syarat-syaratnya). Oleh itu, jika berpada dengan amalan wajib pun dikira sudah memadai, maka apakah gunanya lagi menokok tambah amalan bidah sehingga melebihi bukan setakat amalan wajib sahaja, bahkan juga melebihi segala amalan sunat yang telah disunnahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam?

BAHAGIAN 2

[1] Al-Ghari sering menuduh orang lain tidak memahami sesuatu konsep ilmu, seolah-olah dialah yang serba tahu dan amat mendalam daya kefahamannya, sehingga dia menjadi manusia pertama di dunia yang mampu mengaitkan istilah dermatologi (ilmu berkaitan penyakit kulit) dengan istilah takwil (Lihat: Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 4).

[2] Abu Daud, Sulaiman Ibn Al-Asy-‘Ath, Sunan Abi Daud, Dar Al-Hadith, Beirut, 1974, No:4607 At-Tirmizi, Muhammad Ibn Isa, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, 1987, No: 2510 dan Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyyah, Kaherah, t.th, No: 4036. Hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah As-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif, Riyadh, 1996, 6: 526, No: 2735.

[3] Al-Asqalani, Ahmad Ibn Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Marifah, Beirut, 1379H, 13: 3, No: 7048, 7049.

[4] Al-Asqalani, Ahmad Ibn Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Marifah, Beirut, 1379H, 13: 302.

[5] Hasan ibnAli Ibn Khalaf Al-Barbahari (329H), Sharh As-Sunnah, dalam Ali Ibn Hasan Ibn Ali Ibn Abd Al-Hamid Al-Halabi, Ilm Usul Al-Bida, Dar Ar-Rayah, Riyadh/Jeddah, 1417H, Hal: 247. Lihat juga edisi terjemahan oleh Zainal Abidin LC, Dar El-Hujjah, Jakarta, Indonesia, 2002, Hal: 39.

[6] Riwayat berkenaan amalan para Sahabat radhiallahu ‘anhum.

[7] Abu Abd Ar-Rahman ialah kuniyah bagi Ibn Masud radhiallahu ‘anh.

[8] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, No: 3166, 3415, 4094, 4770, 4771, 6531, 6532, 6995 dan 7123. Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabiyy, Beirut, 1991, No: 1063, 1064 dan 1066.

[9] Seorang tabien thiqah dan juga murid kepada Ibn Masud yang meriwayatkan athar tersebut.

[10] Ad-Darimi, Abd Allah Ibn Abd Ar-Rahman, Sunan Ad-Darimi, Dar Al-Kitab Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1407, 1: 79, No: 204. Sanad hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani dalam kitabnya Islah As-Sajid (Hal: 11). Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[11] Ahmad Ibn Hanbal, Al-Musnad, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, Lubnan, 1993, No: 20068. At-Tayalisi, Sulaiman Ibn Daud, Al-Musnad, Matbaah An-Nazzamiyyah, Haydar Abad, India, 1321H, No: 899. Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh Muslim Ibn Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabi, Beirut, 1991, No: 2137 dan Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-Arabiyyah, Beirut, t.th, No: 3811, tetapi dengan matan yang berbeza.

[12] Al-Hakim, Muhammad Ibn Abd Allah, Al-Mustadrak, Dar Al-Marifah, Beirut, t.th, 4: 265.

[13] As-Suyuti, Abd Ar-Rahman Ibn Abi Bakr, Al-Hawi Li Al-Fatawa, Dar Al-Fikr, Beirut, t.th, 1: 254-255.

[14] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, 1379H, Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Marifah, Beirut, 1: 357, No: 247.

[15] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, 1379H, Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Marifah, Beirut, 1: 357, No: 247.

[16] Al-Maidah, 5: 3.

[17] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Marifah, Beirut, t.th, No: 4606.

[18] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Marifah, Beirut, t.th, 1: 106, No: 46.

No comments:

Post a Comment