Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KEENAM: Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab Mentafsirkan Kalimah Syahadah Dengan Tafsiran Yang Menyalahi Ijma’.

TOHMAHAN KEENAM:

Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab Mentafsirkan Kalimah Syahadah Dengan Tafsiran Yang Menyalahi Ijma.

Al-Ghari menuduh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab mentafsirkan kalimah Syahadah dengan tafsiran yang menyalahi Ijma (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 7-9). Beliau cuba membuktikan tuduhan ini dengan memetik kata-kata sheikh berkenaan yang diterjemahkannya dengan maksud:

Antaranya (dalil-dalil berkenaan syahadah) adalah sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa yang mengucapkan Tiada Tuhan melainkan Allah dan kufur ia (tidak mengiktiraf) terhadap apa yang disembah selain Allah maka haramlah hartanya dan darahnya dan perkiraannya tertakluk kepada Allah. Ini adalah sebesar-besar perkara yang menerangkan maksud Tiada Tuhan selain Allah. Ia tidak menjadikan berlafaz (sahaja dengan la ilah illalah) itu menyelamatkan darah dan hartanya. Bahkan tidak juga (menyelamatkannya) dengan mengetahui makna beserta lafaznya. Bahkan tidak juga (menyelamatkannya) dengan berikrar. Bahkan tidak juga (menyelamatkannya) dengan ia tidak menyeru melainkan kepada Allah yang maha Esa yang tidak ada sekutu bagiNya. Bahkan tidaklah haram harta dan darahnya sehingga ia menambah kepada hal itu (empat perkara disebutkan di atas) kufur ia terhadap apa yang disembah selain Allah: jika dia syak atau tawaqquf maka tidak haram hartanya dan darahnya. Maka alangkah hebat dan betapa agungnya permasalahan ini. Alangkah ia menerangkan dan menjelaskan (kepada kita) dengan sebaik-baiknya. Dan alangkah ia memutuskan pertikaian (dengan penjelasan yang begitu nyata)”[1].

PENJELASAN:

Pertama : Kata-Kata Sebenar Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab.

Kedua: Dalil-Dalil Di Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn ‘Abd Wahhab.

Ketiga: Kekeliruan Al-Ghari Terhadap Hadith Usamah.

Keempat: Dalil Lain Di Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn ‘Abd Wahhab.

Pertama : Kata-Kata Sebenar Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab.

Terjemahan Al-Ghari secara umumnya betul, tetapi secara terperincinya masih ada yang tidak tepat, dan antara yang tidak tepat ialah ungkapan beliau: “Ini adalah sebesar-besar perkara yang menerangkan maksud Tiada Tuhan selain Allah”. Terjemahan ini dilihat sebagai tidak tepat kerana teks asalnya berbunyi:

وهذا من أعظم ما يبين معنى لا إله إلا الله.

Teks ini seharusnya diterjemahkan dengan maksud: “Ini antara sebesar-besar perkara yang menerangkan makna tiada tuhan selain Allah”. Perbezaan maksud terjemahan ini dengan maksud terjemahan Al-Ghari amat jelas, kerana terjemahan yang sebenar ini menunjukkan bahawa apa yang disebut oleh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab rahimahullah hanyalah sebahagian daripada pengertian sebenar kalimah La Ilaha Illallah, manakala sebahagian yang lain beliau sebut di tempat yang lain.

Sebenarnya penjelasan mengenai makna La Ilaha Illallah ini telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dari awal kitabnya hinggalah ke halaman 115[2]. Oleh kerana setiap huraian itu berkait rapat antara satu sama lain, maka untuk mengelakkan kekeliruan, kesemua huraian tersebut mestilah difahami secara komprehensif dan kolektif. Akan tetapi malangnya Al-Ghari tidak melakukan sedemikian, lalu menyebabkan dia terjebak dalam kekeliruannya. Sesungguhnya petikan yang diterjemahkan oleh Al-Ghari hanyalah perenggan terakhir daripada sekian banyak huraian yang telah dibuat oleh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dalam bab berkenaan. Bayangkanlah, betapa licik pengkhianatan yang dilakukan.

Kedua: Dalil-Dalil Di Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab.

Keseluruhan huraian yang dibuat oleh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab rahimahullah berkenaan makna La Ilaha Illallah adalah berdasarkan nas-nas sahih daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Petikan kata-kata yang didakwa oleh Al-Ghari sebagai menyeleweng itu juga adalah sebahagian daripada huraian Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab yang dibuat berdasarkan hadith riwayat Abu Malik Sad Ibn Tariq Al-Asyjaie radhiallahu 'anh, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

من قال: لا إله إلا الله وكفر بما يعبد من دون الله حرم ماله ودمه وحسابه على الله.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan La Ilaha Illallah serta dia kufur (tidak beriman) dengan segala apa yang disembah selain Allah, maka haramlah hartanya dan darahnya, manakala perkiraannya pula tertakluk kepada Allah”[3].

Muslim rahimahullah meletakkan hadith ini di bawah bab yang berjudul:

باب: الأمر بقتال الناس حتى يقولوا لا إله إلا الله محمد رسول الله ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة ويؤمنوا بجميع ما جاء به النبي صلى الله عليه وسلم وأن من فعل ذلك عصم نفسه وماله إلا بحقها ووكلت سريرته إلى الله تعالى وقتال من منع الزكاة أو غيرها من حقوق الإسلام واهتمام الإمام بشعائر الإسلام.

Maksudnya: Bab: Perintah supaya memerangi manusia sehingga mereka mengucap La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat dan beriman dengan semua perkara yang dibawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bahawa sesiapa melakukan yang demikian itu terselamatlah nyawa dan hartanya melainkan dengan haknya, dan terserahlah rahsia (isi hati)nya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan (perintah supaya) memerangi golongan yang ingkar kewajipan zakat atau hak-hak Islam yang lain, dan (perintah supaya) Imam (Ketua Pemerintah) mengambil berat terhadap syiar-syiar Islam[4].

Di bawah judul bab ini, Muslim meriwayatkan beberapa buah hadith, antaranya hadith di atas (riwayat Abu Malik Al-Asyjaie) dan hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu ‘anh dengan matan berbunyi:

لما توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم واستخلف أبو بكر رضي الله عنه وكفر من كفر من العرب، قال عمر رضي الله عنه: يا أبا بكر كيف تقاتل الناس وقد قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا لا إله إلا الله فمن قالها فقد عصم مني ماله ونفسه إلا بحقه وحسابه على الله، فقال: لأقاتلن من فرق بين الصلاة والزكاة فإن الزكاة حق المال والله لو منعوني عناقا كانوا يؤدونها على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم لقاتلتهم على منعها، فوالله ما هو إلا قد شرح الله صدر أبي بكر رضي الله عنه للقتال فعرفت أنه الحق.

Maksudnya: Tatkala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, manakala Abu Bakar radhiallahu ‘anh pula dilantik menjadi Khalifah, sebahagian daripada orang Arab telah (kembali) kufur (lalu mereka diperangi oleh Abu Bakr).

Umar radhiallahu ‘anh berkata: “Wahai Abu Bakr! Kenapa kamu memerangi orang sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka mengucap La Ilaha Illallah, maka sesiapa yang mengucapkannya terselamatlah nyawa dan hartanya melainkan dengan haknya, manakala perkiraannya pula tertakluk kepada Allah.’

(Mendengar teguran Umar itu) Dia (Abu Bakr) berkata: “Sesungguhnya aku akan (tetap) memerangi orang yang membezakan antara (kewajipan) Solat dan Zakat, kerana sesungguhnya Zakat itu adalah hak harta. Demi Allah! Sekiranya mereka menegah aku (mengambil zakat) sekadar inaq (seekor anak kambing betina) yang pernah mereka tunaikannya pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, nescaya aku akan memerangi mereka disebabkan tegahan itu.”

(Umar berkata) “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melapangkan dada Abu Bakr untuk tindakan itu, sehingga aku tahu bahawa sesungguhnya ia (tindakan itu) adalah benar”[5].

Hadith ini mengisahkan peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Abu Bakr radhiallahu ‘anh, ketika beliau memerangi sekumpulan orang Arab yang enggan membayar zakat sedangkan mereka telah membayarnya pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Pada mulanya Umar kurang bersetuju dengan tindakan Abu Bakr kerana berpegang dengan zahir hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa dengan ucapan syahadah semata-mata telah memadai untuk menyelamatkan nyawa dan harta. Akan tetapi setelah Allah Subhanahu wa Ta’ala membuka pintu hatinya, barulah beliau akur dengan kebenaran tindakan Abu Bakr.

Dalam menjelaskan maksud hadith ini, An-Nawawi rahimahullah memetik kata-kata Al-Khattabi rahimahullah:

وكان هذا من عمر رضي الله عنه تعلقا بظاهر الكلام قبل أن ينظر في آخره ويتأمل شرائطه...

Maksudnya: “(Teguran) daripada Umar radhiallahu ‘anh ini kerana (dia) bergantung kepada zahir sabda (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) sebelum dia melihat penghujungnya dan (sebelum dia) memerhatikan syarat-syaratnya.”[6].

Kemudian An-Nawawi berkata:

ولا بد مع هذا من الإيمان بجميع ما جاء به الرسول صلى الله عليه وسلم كما جاء في الرواية الأخرى لأبي هريرة.

Maksudnya: “Tidak dapat tidak, bersama (ucapan syahadah) ini mesti beriman dengan semua perkara yang dibawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana ia datang dalam riwayat yang lain oleh Abu Hurairah”[7].

Apa yang dapat difahami daripada hadith riwayat Abu Malik Al-Asyjaie, Abu Hurairah, kata-kata Abu Bakr dan para ulama di atas ialah, bahawa ucapan syahadah itu hanya boleh menjamin keselamatan nyawa dan harta sekiranya tidak dilakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya. Sebaliknya, jika dilakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah itu, maka tiada lagi jaminan keselamatan nyawa dan harta. Tafsiran ini dapat difahami dengan jelas melalui sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

فقد عصم مني ماله ونفسه إلا بحقه.

Maksudnya: “Maka terselamatlah nyawa dan hartanya melainkan dengan haknya[8].

Tafsiran para ulama ini dilihat sama dengan pegangan Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab. Maka jika pegangan beliau itu dilihat sebagai menyeleweng oleh Al-Ghari, maka kenapa ia tidak dinisbahkan kepada generasi ulama terdahulu seperti Abu Bakr radhiallahu ‘anh, Muslim, Al-Khattabi dan An-Nawawi rahimahumullah? Jika Al-Ghari berpendapat bahawa tafsiran Abu Bakr yang telah diperakukan oleh Umar dan para ulama sebagai menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka siapakah sebenarnya Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beliau maksudkan?

Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab tidak pernah mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah selagi dia tidak melakukan perkara yang membatalkannya dan selagi tidak ditegakkan hujah syara’ ke atasnya. Dalam konteks ini beliau berkata:

ولا أكفّر أحدا من المسلمين بذنب ولا أخرجه من دائرة الإسلام.

Maksudnya: “Dan aku tidak mengkafirkan seorangpun dari kalangan orang Islam dengan sebab dosa dan aku juga tidak mengeluarkannya dari daerah (agama) Islam”[9].

Di tempat yang lain, beliau juga berkata:

ولا نكفر من عبد الصنم الذي على قبر عبد االقادر والصنم الذي على قبر أحمد البدوي لأجل جهلهم وعدم من ينبههم.

Maksudnya: “Dan kita tidak mengkafirkan sesiapa yang menyembah batu yang terdapat di atas kubur Abd Al-Qadir Al-Jilani (di Iraq) atau yang terdapat di atas kubur Ahmad Al-Badawi (di Mesir), kerana kejahilan mereka dan kerana tiada orang yang mengingatkan mereka”[10].

Berdasarkan petikan kata-kata di atas, maka dapat disimpulkan bahawa tafsiran Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab rahimahullah terhadap kalimah La Ilaha Illallah menepati tafsiran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.

Ketiga: Kekeliruan Al-Ghari Terhadap Hadith Usamah.

Dalam sebuah hadith sahih, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur Usamah Ibn Zaid radhiallahu 'anh kerana membunuh tentera musuh (bukan Islam) yang mengucap dua kalimah syahadah[11]. Al-Ghari berhujah dengan hadith ini bagi membuktikan bahawa dengan semata-mata ucapan syahadah itu sudah cukup untuk menjamin keselamatan harta dan nyawa. Kekeliruan Al-Ghari dalam berhujah dengan hadith ini disebabkan kefahaman 'tototnya' terhadap zahir hadith tersebut, sedangkan hadith yang beliau jadikan hujah itu sebenarnya menjadi hujah ke atas dirinya sendiri.

Kekeliruan pasti dapat dielakkan sekiranya beliau memahami maksud hadith ini secara kolektif dan komprehensif, dengan mengambil kira maksud hadith-hadith lain seperti maksud hadith riwayat Abu Malik Al-Asyjaie dan juga hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma seperti yang tersebut di atas. Akan tetapi malangnya beliau tidak melaksanakan tanggungjawab ilmiah ini, lalu terjebak dalam kancah kekeliruan sebagaimana yang berlaku ke atas beliau berulangkali sebelum ini.

Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur tindakan Usamah kerana sewaktu beliau melakukan tindakan pembunuhan itu, belum terbukti lagi sama ada lelaki tersebut telah melakukan perkara yang membatalkan syahadah atau tidak. Dengan perkataan lain, belum terbukti lagi sama ada lelaki tersebut telah melakukan perkara yang membawa kepada kemurtadan atau tidak. Seandainya tindakan Usamah dilakukan selepas terbukti bahawa lelaki itu telah melakukan perkara yang membatalkan syahadah, seperti mengingkari kewajipan solat, menyembah selain dari Allah dan sebagainya, nescaya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan menegurnya.

Keempat: Dalil Lain Di Sebalik Kata-Kata Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab.

Undang-undang Jenayah Hudud Islam telah menetapkan hukuman bunuh ke atas orang yang melakukan jenayah seperti zina (bagi yang berkahwin), membunuh dan murtad. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

لا يحل دم امرئ مسلم إلا بإحدى ثلاث: الثيب الزاني والنفس بالنفس والتارك لدينه المفارق للجماعة .

Maksudnya: “Tidak halal darah seseorang muslim kecuali disebabkan satu daripada tiga perkara: Janda yang berzina, nyawa dibalas nyawa (qisas) dan yang meninggalkan agamanya (murtad) yang keluar dari jamaah (kaum muslimin)”[12].

Kemurtadan (keluar dari Islam) boleh berlaku sama ada dengan sebab iktiqad yang mengkafirkan seperti mengingkari kewajipan mana-mana rukun Islam, menghalalkan yang haram, memaki Allah dan Rasul-Nya dan menghina Al-Quran[13]. Seorang muslim yang muhsan (berkahwin) tetapi melakukan jenayah zina, maka nyawanya tidak lagi terselamat kerana dia telah melakukan perkara yang boleh menghalalkan darahnya. Jika diandaikan bahawa ucapan syahadah sudah memadai untuk memelihara darah dan harta seperti yang difahami oleh Al-Ghari, maka bagaimanakah hendak diselaraskan fahaman ini dengan hukum-hukum hudud berkenaan?

Demikian juga seseorang yang menyembah selain Allah secara terang-terangan, maka nyawanya juga tidak lagi terselamat kerana dia telah melakukan perkara yang membawa kepada kemurtadan. Sekiranya penyembahan itu dilakukan oleh kelompok yang ramai dan yang mempunyai pengaruh dan kekuatan tersendiri, maka wajib ke atas pemerintah Islam memerangi atau memusnahkan penempatan mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu Darul Iman ke atas perkampungan ‘Kerajaan Langit’ di Daerah Besut tidak lama dulu. Persoalannya, apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional Negeri Terengganu itu dilihat oleh Al-Ghari dan mereka yang sejahatnya sebagai pendekatan Wahabi, dan apakah semua pegawai majlis agama yang terlibat dalam membuat keputusan dan tindakan itu pula dianggap sebagai pengikut ajaran Wahabi? Sudah tentu tidak.

[1] Petikan ini adalah sebagaimana yang diterjemah dan ditulis oleh Al-Ghari dalam kertas kerjanya, tanpa diubah oleh penulis sedikitpun.

[2] Nombor halaman ini berdasarkan kitab Fath Al-Majid Syarh Kitab At-Tauhid karangan Abd Ar-Rahman Ibn Hasan Ali Ash-Sheikh, Tahqiq: Muhammad Hamid Al-Fiqi, Maktabah As-Sunnah Al-Muhammadiyyah, Kaherah, Mesir, 1957.

[3] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Tahqiq: Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Ihya' At-Turath Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 1: 53, No: 23.

[4] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Tahqiq: Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Ihya' At-Turath Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 1: 51.

[5] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, 2: 507, No: 1335 dan 6: 2538, 2657, No: 6526 dan 6855.

[6] An-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Minhaj Fi Syarh Sahih Muslim Ibn Al-Hajjaj, Dar Ihya' At-Turath Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 1: 207.

[7] An-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Minhaj Fi Syarh Sahih Muslim Ibn Al-Hajjaj, Dar Ihya' At-Turath Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 1: 203.

[8] Ini adalah sebahagian daripada matan hadith riwayat Abu Hurairah radhiallahu ‘anh di atas.

[9] Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Muallafat Sheikh Al-Imam Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Tahqiq: Abd Al-Aziz Zaid Ar-Rumi, Muhammad Baltaji, Sayyid Hijab, Jamiah Al-Imam Ibn Saud, Riyadh, Arab Saudi, t.th, 5: 8.

[10] Ahmad Ibn Abd Al-Karim Najib, Fasl Al-Khitab Fi Bayan Aqidah Asy-Syeikh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, Cetakan Waqaf, 1994, Hal: 57-58.

[11] Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Tahqiq: Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Ihya' At-Turath Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 1: 96, No:96.

[12] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, 6: 2521, No: 6484.

[13] Mustafa Abdul Rahman, Hadith 40 (Terjemahan Dan Syarahnya), Dewan Pustaka Fajar, 2001, Hal: 201.

No comments:

Post a Comment