Friday, August 13, 2010

Bab B: dakwaan Generasi Al-Salaf mentakwilkan nas-nas al-Sifat (pengenalan)

Bab B: dakwaan Generasi Al-Salaf mentakwilkan nas-nas al-Sifat

Pengenalan.

Penyusun Salafiyah Wahabiyah dari ms. 20-24, telah menjelaskan secara panjang lebar lagi terperinci mengenai pengertian istilah al-Takwil dari sudut bahasa dan kaedah pemakaiannya.[1] Ringkasnya istilah al-Takwil digunakan untuk 2 maksud:

[1] Penafsiran: iaitu menjelaskan atau mengkhususkan maksud sesuatu ayat atau perkataan.

[2] Pengalihan: iaitu mengalihkan lafaz (atau istilah) zahir sesuatu ayat atau perkataan kepada lafaz lain.

Ingin ditambah bahawa bagi generasi al-Salaf, kata-kata al-Takwil lazimnya dikenali sebagai al-Tafsir (penafsiran) sehingga dikatakan bahawa istilah al-Takwil dan al-Tafsir mewakili maksud yang sama kepada mereka. Berbeza dengan generasi terkemudian, kata-kata al-Takwil lazimnya diertikan sebagai pengalihan lafaz manakala al-Tafsir adalah penjelasan maksud.[2] Namun di sini perbezaan hanyalah pada penggunaan istilah, yang penting adalah maksudnya.

Kedua-dua maksud al-Takwil sepertimana yang diterangkan di atas diterima dan dipraktikkan oleh seluruh generasi al-Salaf. Hanya sahaja bagi takwil pengalihan lafaz, generasi al-Salaf hanya akan mempraktikkannya apabila terdapat lain-lain petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih yang mengarahkan pengalihan lafaz tersebut. Inilah yang disebut dalam kaedah usul bahawa setiap nas wajib difahami secara zahirnya melainkan wujud petunjuk lain yang mengarahkannya untuk difahami dalam bentuk yang lain.

Maka terhadap nas-nas al-Sifat, generasi al-Salaf tidak mengalihkan lafaznya kerana tidak terdapat apa-apa dalil yang mengarahkan pengalihannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Qur’an tidak menerangkan bahawa nas-nas al-Sifat adalah sesuatu yang perlu dialihkan lafaznya. Demikian juga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai seorang penjelas al-Qur’an (surah al-Nahl 16:44) tidak pernah menerangkan bahawa nas-nas al-Sifat perlu ditakwilkan.

Di sini ingin diminta para pembaca untuk bertindak cemerlang bagi membezakan ciri-ciri takwil pengalihan lafaz di sisi generasi al-Salaf, bahawa mereka menerima dan mengamalkannya terhadap umum ayat-ayat dan hadis-hadis kecuali terhadap ayat dan hadis yang menerangkan sifat-sifat Allah.

Jika para pembaca dapat membezakan hal ini umpama siang dan malam, maka mudahlah untuk menangkap dan memahami bahawa hampir semua contoh takwilan generasi al-Salaf yang dijadikan hujah dalam buku Salafiyah Wahabiyah sebenarnya tidak melibatkan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika ada sekalipun, ia tidak melibatkan takwil pengalihan lafaz tetapi adalah takwil penafsiran maksud. [3]

Hal ini akan dapat dilihat dalam penilaian-penilaian yang akan datang. Sebelum itu kita mulai dengan penilaian terhadap doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu.


[1] Sebahagian adalah merupakan kajian penyusun sendiri manakala sebahagian lain dinukilnya daripada buku Hasan ‘Ali al-Saqqaf: Sahih Syarah al-’Aqidah al-Thahawiyyah au al-Minhaj al-Sahih fi fahmi ‘Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ma‘a al-Tanqih (Dar Imam al-Nawawi, Amman 1995), ms. 148. Buku ini seterusnya akan dikemukakan dengan singkatan Sahih al-’Aqidah al-Thahawiyyah.

[2] Lebih lanjut lihat: Muhammad Husain al-Dzahabi – al-Tafsir wa al-Mufassirun (Dar al-Yusuf, Beirut 2000), jld. 1, ms. 19-21 dan Muhammad Ahmad Lauh – Jinayat al-Takwil al-Fasid ‘ala al-’Aqidah al-Islamiyyah (Dar Ibn Affan, Saudi 1997), ms. 8-12. Shams al-Salafi al-Afghani dalam tesisnya ‘Adau al-Maturudiyyah li al-’Aqidah al-Salafiyyah, jld. 2, ms. 199-210 telah membuktikan bahawa istilah Al-Takwil di sisi ahli lughah (ahli bahasa) yang awal hanyalah terhad kepada makna penafsiran dan pengkhususan.

[3] Perbezaan antara takwil pengalihan lafaz dan takwil penafsiran maksud adalah, yang pertama bertindak memaling, menukar dan merubah sesuatu lafaz yang telah ditetapkan oleh Allah dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, manakala yang kedua hanya bertindak menjelaskan maksud sebenar sesuatu lafaz seandainya ia memiliki lebih dari satu erti dengan tetap memelihara lafaz yang asal.

No comments:

Post a Comment