Wednesday, July 21, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 6

PENILAIAN SEMULA NO: 6

Asal usul Mazhab al-Salaf.

Dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 18, disebut bahawa:

Dari sudut pandangan sejarah, mazhab-mazhab Islami yang dibangunkan oleh para Imam Mujtahid Mutlak, kita tidak dapati wujudnya mazhab al-Salaf ataupun al-Khalaf. Para sejarahwan pula tidak mencatatkan dalam rekod mereka bahawa al-Salaf dan al-Khalaf itu sebagai satu mazhab. Cumanya mazhab-mazhab Islamiyah fiqhiyah sahaja yang dapat kita tatapi dalam lipatan sejarah. Mazhab-mazhab itu seperti mazhab Hanafi (90-150 H), mazhab Maliki (93-179 H), mazhab Syafi‘ie (150-204 H) dan diikuti dengan mazhab Hanbali (164-241 H).

Hal ini diulangi pada ms. 19:

Hasil daripada perbincangan kita tentang kedudukan mazhab-mazhab dalam Islam ini, jelas kepada kita bahawa tidak ada satupun kenyataan yang menunjukkan al-Salaf ataupun al-Khalaf itu direkodkan sebagai mazhab. Bahkan tidak seorangpun yang diiktiraf sebagai pengasas atau pemimpin mazhab al-Salaf secara sah mengikut dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Penilaian semula:

Di sini penyusun Salafiyah Wahabiyah hanya bermain-main dengan istilah dan cuba mengelirukan para pembaca dengan perbezaan istilah. Padahal diketahui oleh orang-orang yang mengetahui bahawa yang terpenting dalam istilah adalah maksud dan kandungan yang dimilikinya. Perkataan mazhab dari sudut bahasa bererti jalan atau the way of. Dari sudut istilah mazhab bererti jalan fikiran, fahaman, pendapat dan pembawaan seseorang atau sekumpulan orang dalam sesuatu perkara.

Maka apabila dikatakan mengikut Mazhab al-Salaf, ia bererti mengikut jalan fikiran, fahaman, pendapat dan pembawaan generasi al-Salaf. Generasi al-Salaf mengikut takrifan Ibrahim al-Baijuri adalah:

Al-Salaf ialah orang-orang yang terdahulu yang terdiri daripada al-Anbiya’ (khasnya Rasulullah), para sahabat, tabi‘in dan mereka yang mengikuti mereka, khasnya para imam mujtahid yang empat”.[1]

Sangatlah aneh apabila penyusun Salafiyah Wahabiyah mendakwa bahawa al-Salaf dan al-Khalaf tidak direkod sebagai satu mazhab. Jika yang dimaksudkan adalah rekod di sisi Pendaftar Pertubuhan maka hal ini memanglah benar. Akan tetapi jika yang dimaksudkan adalah catatan dalam kitab-kitab tafsir, hadis dan fiqh sepanjang sejarah Islam, maka ia adalah satu dusta yang besar.

Marilah kita mengkaji sedikit secara statistik kenyataan ini. Berikut akan dikemukakan beberapa kitab Islam yang masyhur sepanjang zaman dalam kategori tafsir, hadis dan fiqh. Akan kita lihat sama ada pengarang masing-masing ada merujuk atau tidak kepada pendapat, yakni Mazhab al-Salaf.

Pertama:

Dalam ilmu tafsir:

1.Jamii’ al-Bayan an al-Takwil ay al-Qur’an (Tafsir al-Tabari)oleh Ibn Jarir al-Tabari (310H)[2]. Rujukan kepada pendapat generasi al-Salaf adalah sebanyak 27 kali. Namun rujukan kepada beberapa orang tertentu daripada generasi al-Salaf, sama ada para sahabat atau tabi‘in berlaku beratus kali kerana kitab Tafsir al-Tabari adalah sebuah kitab yang menafsirkan ayat-ayat al-Qur’an berdasarkan riwayat generasi al-Salaf.

2.al-Jamii’ li al-Ahkam al-Qur’an (Tafsir al-Qurtubi) oleh Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi (671H). Rujukan kepada pendapat generasi al-Salaf adalah sebanyak 102 kali.

3.Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim (Tafsir Ibn Katsir) oleh Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir (774H)[3]. Rujukan kepada pendapat al-Salaf berulang sebanyak 274 kali.

Kedua:

Dalam ilmu hadis:

Untuk ilmu hadis, kita akan mengkaji dalam kitab-kitab syarahannya. Kita tidak akan mengkaji dalam kitab-kitab hadis kerana pada umumnya keseluruhan kitab hadis itu berasal daripada generasi al-Salaf.

1.Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi (676H)[4]. Rujukan kepada pendapat al-Salaf berulang sebanyak 225 kali.

2.Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H)[5]. Rujukan kepada pendapat al-Salaf berulang sebanyak 328 kali.

Ketiga:

Dalam ilmu fiqh:

Dalam kategori ini rujukan kepada pendapat al-Salaf berulang dengan tersangat banyak sehingga agak mustahil untuk diperincikan. Penulis menggunakan perisian Encyclopedia of Islamic Jurisprudence (www.harf.com). Perisian ini menghimpunkan 100 judul kitab-kitab fiqh daripada 6 mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i, Hanbali, Zahiri dan Jaafari. Apabila dirujuk kepada istilah al-Salaf, didapati ianya berulang sebanyak 7309 kali ! Dalam jumlah ini tidak termasuk kitab Majmu al-Fatawa Ibn Taimiyyah.

Dalam kajian statistik di atas, rujukan kepada pendapat al-Salaf dikemukakan dalam beberapa bentuk dan cara, seperti: mengikut mazhab al-Salaf, jumhur al-Salaf, sebahagian al-Salaf, di sisi al-Salaf, di kalangan al-Salaf, menurut salah satu pendapat al-Salaf, mengikut tafsiran al-Salaf, menjadi pegangan (i’tiqad) al-Salaf, tidak pernah berasal daripada al-Salaf, tidak pernah disebut oleh al-Salaf, dibantah oleh al-Salaf, ditolak oleh al-Salaf, didiamkan oleh al-Salaf dan berbagai lagi. Sekalipun berbeza-beza, semuanya menunjukkan rujukan kepada jalan fikiran, fahaman, pendapat dan pembawaan generasi al-Salaf.

Selain itu kajian statistik di atas tidak mengambil kira rujukan kepada generasi al-Salaf secara individu. Contohnya dalam kitab Majmu Syarah al-Muhazzab karya al-Nawawi, beliau lazimnya akan menukil pendapat para sahabat dan tokoh tabi‘in dalam bab yang sedang dibahasnya.

Di sini penulis merasa hairan bagaimana penyusun Salafiyah Wahabiyah dapat berkata bahawa istilah Mazhab al-Salaf tidak pernah direkod. Bukankah sebelum ini penyusun Salafiyah Wahabiyah sendiri telah menukil kata-kata al-Ghazali dari risalahnya Iljam al-Awam al-Ilm al-Kalam yang di dalamnya terdapat istilah Mazhab al-Salaf ? Berikut penulis kemukakan kembali nukilan kata-kata al-Ghazali sebagaimana yang tercatit dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 10:

“Ketahuilah bahawa kebenaran yang jelas dilakukan oleh Ahl Ilmu ialah Mazhab al-Salaf – golongan yang aku maksudkan ialah apa yang dipegangi oleh para sahabat dan para tabi‘ie…”



[1] Tuhfat al-Murid ‘ala Jauharah al-Tauhid oleh Ibrahim al-Baijuri (tahqiq: ‘Abd Allah Muhammad Khalil; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 2001), ms. 231 (Bab Yang terbaik adalah mengikut dan.......). Juga dikemukakan dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 10-11.

[2] Beliau ialah Muhammad bin Jarir bin Yazid, seorang ahli tafsir dan ahli hadis yang dilahirkan di Tabaristan pada tahun 224H. Karya beliau yang termasyhur ialah kitab tafsir di atas di mana beliau telah menghimpun semua hadis dan athar para tokoh bagi tafsiran terhadap sesuatu ayat. Meninggal dunia pada tahun 310H.

[3] Beliau ialah Abu al-Fida’ Ismail bin ‘Umar bin Kathir, sangat terkenal dengan kitab tafsirnya yang telah diterjemahkan ke berbagai bahasa. Beliau lahir di Damaskus pada tahun 701H dan meninggal dunia pada tahun 774H. Antara karya beliau yang lain ialah kitab sejarah Islam al-Bidayah wa al-Nihayah dan kitab hadis Jamii’ al-Masanid wa al-Sunan setebal 36 jilid.

[4] Beliau ialah Abu Zakariyya Muyhi al-Din al-Nawawi, seorang mujtahid yang masyhur dalam Mazhab Shafi‘i. Antara karya beliau yang masyhur yang telah diterjemahkan ialah kitab Hadis 40, al-Adzkar dan Riyadh al-Salihin. Kitab Sahih Syarah Muslim sedang dalam proses terjemahan, sehingga kini siap jilid pertama (terj: Wawan Djunaedi; Mustaqim, Jakarta 2002). Al-Nawawi meninggal dunia pada tahun 676H dalam umur yang masih muda: 45 tahun.

[5] Beliau ialah Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad al-Kinani, lahir di Kaherah pada tahun 773H. Seorang Mujtahid yang terkenal dalam Mazhab Shafi‘i, paling terkenal dengan kitabnya Fath al-Bari yang merupakan syarah kepada kitab Sahih al-Bukhari. Kitab ini sedang dalam proses terjemahan dan sehingga kini telah siap 2 jilid yang pertama. Meninggal dunia pada tahun 852H.

No comments:

Post a Comment