Friday, August 13, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 10

PENILAIAN SEMULA NO: 10

Dakwaan al-Takwil terhadap perkataan Tangan dalam ayat 47 surah al-Zaariyat.

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 25 dan diulangi secara ringkas dalam ms. 35:

Disamping takwilan ini, terdapat juga takwilan lain yang sahih daripada beliau. Contohnya di dalam surah al-Zaariyat ayat 47, perkataan ( يد ) iaitu Tangan ditakwil oleh Ibn Abbas kepada makna ( القوة ) iaitu “kekuasaan”.

Takwilan beliau ini diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Tabari didalam tafsirnya (m.s. 27, jld. 7). Selain Ibn Abbas; Mujahid, Said Ibn Jubair, Qatadah, Abu Zaid dan lain-lain juga turut mentakwil. Inilah serba sedikit penjelasan tentang al-Takwil yang disaring daripada para ulama’ al-Salaf al-Soleh.[1]

Penilaian semula:

Ayat yang dimaksudkan ialah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Dan langit itu Kami dirikan dengan Tangan. Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga. [al-Dzaariyat 51:47]

Perkataan yang menjadi perbincangan adalah Yad ( يد )di mana didakwa bahawa generasi al-Salaf telah mentakwilkannya daripada Tangan kepada “kuasa”. Sebenarnya sesiapa yang menguasai perbendaharaan kata Arab yang paling asas sekalipun akan mengetahui bahawa perkataan Yad memiliki beberapa erti, dua antaranya ialah Tangan kepada kuasa. Hal ini boleh juga dirujuk di dalam mana-mana kamus bahasa Arab.

Apabila generasi al-Salaf mentakwilkan perkataan Yad ( يد ) kepada pengertian kuasa ia bukanlah takwil pengalihan lafaz tetapi adalah takwil penafsiran maksud. Oleh kerana perkataan Yad memiliki beberapa erti, generasi al-Salaf menjelaskan bahawa ertinya dalam konteks ayat 47 surah al-Dzaariyat adalah kekuasaan dalam membina dan mendirikan langit.

Takwilan generasi al-Salaf dalam ayat di atas tidak melibatkan sifat Allah Tabaraka wa Ta’ala. Lebih dari itu sekalipun perkataan Yad ( يد ) ditafsir kepada pengertiannya yang paling lazim iaitu Tangan, ayat di atas tidak menyebut Tangan Allah atau Tangan-Nya.



[1] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam al-Tandid, ms. 46; Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 155-156, no: 03-B dan Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 11-12, no: 03-B.

No comments:

Post a Comment