Friday, August 13, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 9

PENILAIAN SEMULA NO: 9

Dakwaan al-Takwil terhadap perkataan Betis dalam ayat 42 surah al-Qalam.

Dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 24 disebut bahawa:

Apabila kita membaca kitab-kitab tafsir, kita akan menemui beberapa takwilan Ibn Abbas terutamanya yang berkaitan dengan masalah sifat Allah melalui sanad-sanad yang sahih. Contohnya, firman Allah Ta’ala:

“Pada hari betis disingkapkan …” (Surah al-Qalam 68:42)

lbn Abbas berkata: Yang dimaksudkan dengan betis ialah keadaan orang-orang yang berada dalam ketakutan yang ingin lari kerana hebatnya huru-hara qiamat. Hasilnya Ibn Abbas telah mentakwilkan ( الساق ) iaitu betis kepada perkataan( الشدة ) iaitu terlalu takut.[1]

Penilaian semula:

Seandainya sahih takwilan Ibn ‘Abbas di atas, ia adalah satu takwilan yang tidak melibatkan salah satu sifat Allah. Mari kita perhatikan semula ayat tersebut:

(Ingatkanlah) akan masa didedahkan betis dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat. [al-Qalam 68:42-43]

Ayat di atas menyebut betis secara umum tanpa menyandarkannya kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Ayat tersebut tidak menyebut: Betis Allah atau Betis-Nya. Oleh itu ayat di atas dan takwilan yang didakwa dilakukan oleh Ibn ‘Abbas sebenarnya tidak melibatkan sifat Allah Ta’ala.[2]


[1] Asalnya dikemukakan oleh Hasan bin ‘Ali al-Saqqaf dalam:

1. al-Tandid biman ‘Addada al-Tauhid (Dar Imam al-Nawawi, Amman 1992), ms. 46. Rujukan ini seterusnya akan dikemukakan dengan singkatan al-Tandid.

2. Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 149, contoh no: 03-A.

3. Daf’u Syubhat al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih (Dar Imam al-Nawawi, Amman 2000), ms. 11-12, contoh no: 03-A. Rujukan ini seterusnya akan dikemukakan dengan singkatan Daf’u Syubhat al-Tasybih.

Nota: Apabila penulis menyandarkan kitab Daf’u Syubhat Tasybih kepada Hasan al-Saqqaf, ia bererti penulis merujuk kepada pelbagai penjelasan tambahan dan lampiran yang ditulis oleh al-Saqqaf. Apabila disandarkan kitab Daf’u Syubhat al-Tasybih kepada Ibn al-Jauzi, ia bererti penulis merujuk kepada kata-kata Ibn al-Jauzi sendiri yang hanya merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan kitab tersebut.

[2] Dalam bab ini ada perbincangan lanjut, sila lihat:

1. Ibn Taimiyyah: Majmu al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 6, ms. 394-395.

2. Ibn Qayyim: al-Sawa‘iq al-Mursalah (tahqiq: ‘Ali bin Muhammad; Dar al-‘Asomiyah, Riyadh 1998) , jld. 1, ms. 252-253.

No comments:

Post a Comment