Friday, August 13, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 12

PENILAIAN SEMULA NO: 12

Hadis “Serahkan kepada orang alim jika kamu tidak mengetahuinya”.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

إِنَّمَا هَلَكَ مِنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِهَذَا ضَرَبُوْا كِتَابَ اللهِ بَعْضَهُ بِبَعْضٍ وَإِنَّمَا نَزَلَ كِتَابَ اللهِ يُصَدِّقُ بَعْضُهُ بِعْضًا.

فَلاَ تُكَذِّبُوْا بَعْضَهُ بِبَعْضٍ. فَمَا عَلِمْتُمْ مِنْهُ فَقُوْلُوْا وَمَا جَهِلْتُمْ فَكِلُوْهُ إِلَى عَالِمْهِ.

Sesungguhnya telah binasa umat-umat sebelum kamu kerana mereka mencampurkan sesetengah kandungan Kitab Allah dengan sesetengah yang lain. Maka ucapkanlah tentang apa yang kamu ketahui tentangnya dan serahkanlah kepada orang-orang yang alim jika kamu tidak mengetahui tentangnya.[1]

Penyusun Salafiyah Wahabiyah mengemukakan hadis di atas dalam ms. 28 tanpa disertai sebarang penjelasan. Hasan al-Saqqaf mengemukakan hadis di atas dan menafsirkannya bahawa kononnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membenarkan kaedah al-Takwil dan al-Tafwidh terhadap nas-nas al-Sifat. Berkata al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 152:

Sabda Rasulullah: Maka ucapkanlah tentang apa yang kamu ketahui tentangnya adalah dalil ke atas Mazhab al-Takwil.

Sabda Rasulullah: Dan serahkanlah kepada orang-orang yang alim jika kamu tidak mengetahui tentangnya adalah dalil ke atas Mazhab al-Tafwidh.

Dengan tafsiran ini al-Saqqaf seterusnya mendakwa bahawa kaedah al-Takwil adalah merupakan kaedah yang benar di sisi generasi al-Salaf.

Penilaian semula:

Sungguh memusykilkan bagaimana dan berdasarkan apa al-Saqqaf membuat tafsiran di atas. Namun sekalipun benar ia tidak dinafikan kerana seperti yang telah diterangkan sebelum ini, generasi al-Salaf memang mangamalkan kaedah al-Takwil secara umum kecuali terhadap nas-nas al-Sifat: generasi al-Salaf tidak mengunakan kaedah al-Takwil dengan pengertian takwil pengalihan lafaz ke atasnya.

Terhadap nas-nas al-Sifat generasi al-Salaf beriman kepadanya dan menyerahkan kaifiatnya kepada Allah. Orang-orang alim

di kalangan generasi al-Salaf apabila ditanya tentang nas-nas al-Sifat akan menjawab sebagaimana firman Allah:

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”. [‘Ali Imran 3:07]

Ini adalah kerana orang yang alim setinggi mana sekalipun kealimannya tidak akan dapat memahami apakah yang tersurat dan tersirat di sebalik sifat-sifat Allah. Setinggi mana sekalipun ilmu orang yang alim ia tidak akan dapat menjangkaui Ilmu Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana firman-Nya:

Dia (Allah) mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka; sedang ilmu mereka tidak dapat meliputi Ilmu-Nya. [Taha 20:110]

Orang-orang alim ini adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat, tabi‘in dan para tokoh terdahulu seperti para imam yang empat, radiallahu ‘anhum. Kerana itu kita tidak mendapati Rasulullah dan generasi al-Salaf mentakwilkan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Tanpa terpengaruh dengan tafsiran al-Saqqaf, hadis di atas sebenarnya menerangkan kaedah yang harus dilalui apabila berinteraksi dengan al-Qur’an. Amalkanlah apa yang diketahui dan bertanyalah kepada orang yang pakar akan apa yang tidak diketahui.


[1] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq, Ahmad, al-Baghawi dan al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman) dengan sanad yang hasan namun memiliki penguat yang mensahihkannya daripada beberapa jalan yang lain dengan lafaz yang berbeza tetapi maksud yang sama. Lihat penilaian Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya terhadap Musnad Ahmad, jld. 11, ms. 354, no: 6741. Lihat juga Syarah al-‘Aqidah al-Thahawiyyah (tahqiq: Syu‘aib al-Arna’uth; Muassasah al-Risalah, Beirut 1991), jld. 1, ms. 230.

Hadis di atas asalnya dikemukakan oleh al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 67, 152 dan 167. Hanya sahaja beliau mengemukakan rujukan hadis sebagai berikut: ‘Abd al-Razzaq 11/216 (dan bukannya 1/216 sebagaimana yang tercatit dalam Salafiyah Wahabiyah), dan Ahmad 2/195 dan Ibn Majah 1/33 dan al-Baghawi 1/260 (dan bukannya 1/2603).

No comments:

Post a Comment