Friday, August 13, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 13

PENILAIAN SEMULA NO: 13

Dakwaan al-Takwil terhadap hadis “Aku sakit…”

Dalam sebuah hadis Qudsi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: يَا اِبْنَ آدَمَ مَرِضْتُ فَلَمْ تَعُدْنِي. قَالَ: يَا رَبِّ كَيْفَ أَعُودُكَ ؟ وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ.

قَالَ: أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ عَبْدِي فُلاَناً مَرِضَ فَلَمْ تَعُدْهُ. أَمَا عَلِمْتَ أَنَّكَ لَوْ عُدْتَهُ لَوَجَدْتَنِي عِنْدَهُ ؟

Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berfirman di Hari Kiamat: “Wahai Anak Adam, Aku sakit akan tetapi kamu tidak menziarahi Aku.” Berkata (anak Adam): “Wahai Tuhan bagaimana mungkin aku menziarahi Engkau padahal

Engkau adalah Tuhan sekalian alam ?”

Allah berfirman: “Apakah kamu tidak ketahui bahawa seorang hamba-Ku si-fulan telah sakit tetapi engkau tidak menziarahinya. Apakah engkau tidak mengetahui bahawa jika engkau menziarahinya akan engkau dapati Aku di sisinya ?”[1]

Terhadap hadis ini berkata penyusun Salafiyah Wahabiyah ms. 29:

Berdasarkan kepada hadith ini, timbul beberapa persoalan kepada kita. Adakah kita boleh mengatakan bahawa sifat sakit itu adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah?. Haruskah sifat ini disandarkan kepada Allah S.W.T. dengan mengatakan bahawa sakit-Nya itu tidak sama seperti sakit kita?, ataupun sakitnya itu layak dengan kebesaran-Nya? Apakah dibolehkan bagi seseorang hamba itu beri’tiqad dengan berkata “Apabila seseorang hamba itu sakit, maka Allah juga turut sakit?.

Jawapannya ... sudah tentu tidak. Ini kerana, sakit hanyalah sifat yang ada pada makhluk yang menunjukkan kekurangan dan kelemahan. Sifat lemah dan kekurangan ini tentunya mustahil bagi Allah Ta’ala iaitu pada zat dan sifat serta perbuatan-Nya, kerana wujud sifat tersebut menafikan hak Allah Ta’ala yang bersifat kesempurnaan. Oleh itu, adalah terlalu mustahil untuk kita mempraktikkan nas di atas secara zahirnya. Penggunaan kaedah zahir disini membawa kepada tasybih (penyerupaan) Allah dengan makhluk. Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluk.

Tegasnya, sesiapa yang mempraktikkan nas secara zahirnya itu adalah terdiri daripada orang-orang yang “sakit” yang layak dengan kejahilannya.[2]

Penilaian semula:

Bersemangat sungguh penyusun Salafiyah Wahabiyah untuk membuktikan kejahilan dan penyakit kronik yang sedang dihadapinya sendiri.

Sebenarnya hadis di atas tidaklah menetapkan satu sifat bagi Allah ‘Azza wa Jalla. Ketahuilah penetapan sesuatu sifat bagi Allah hendaklah berdasarkan kepada sesuatu nas yang sahih sanadnya dan jelas matannya. Hadis di atas memang sahih sanadnya tetapi matannya tidak bersifat menetapkan (ithbat) tetapi hanya kepada membawa satu perumpamaan.

“Sakit” bukanlah merupakan salah satu sifat Allah. Ia tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana tokoh atau kitab yang khas dalam membicarakan al-Asma’ wa al-Sifat. Penulis pertama kali mendengar dakwaan “sakit” sebagai salah satu sifat Allah yang perlu ditakwilkan ketika membaca buku Salafiyah Wahabiyah ini. Penyusun Salafiyah Wahabiyah telah melakukan satu kesilapan yang amat besar lagi bahaya di sini.

Seandainya “sakit” adalah merupakan salah satu daripada sifat Tuhan pasti hadis Qudsi di atas akan menekankan keutamaan menziarahi Tuhan yang sedang sakit dan bukannya manusia walau sekronik mana sekalipun sakitnya. Sudah pasti antara Tuhan yang sakit dan manusia yang sakit, adalah lebih utama lagi afdal untuk melawat Tuhan yang sakit.

Oleh itu sekali lagi diulangi, sifat sakit yang ditakwilkan dalam hadis Qudsi di atas bukanlah merupakan salah satu daripada sifat Allah ‘Azza wa Jalla.



[1] Sahih: Sebahagian hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad), Muslim, Ibn Hibban, al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman) dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2569 (Kitab al-Birr, Bab Keutamaan melawat orang sakit).

[2] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 151, no: 02 dan Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 10, no: 02.

No comments:

Post a Comment