Friday, August 13, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 11

PENILAIAN SEMULA NO: 11

Pendapat Ibn Hajar al-‘Asqalani tentang al-Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat.

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 27:

Al-Imam Ibn Hajr al-Asqalani menceritakan di dalam kitab “Fath al-Bari” (ms. 432, jid. 13) bermaksud:

“Sesiapa yang mengambil lafaz secara zahirnya akan membawa kepada tajsim. Seterusnya sesiapa yang tidak mengambil lafaz yang zahir, sedangkan dia mengetahui sesungguhnya Maha suci Allah daripada yang dikehendaki dengan zahir itu, maka baginya sama ada ia mengingkari pemindahan kalam (yang tidak sahih) itu atau mentakwilkannya.”[1]

Pada sudut yang lain pula “al-Fath al-Bari”, (ms. 225, jid. 1) berbunyi: “dan ayat-ayat mutasyabih itu tidak sepatutnya disebut-sebut kepada orang awam, kerana kaedah yang demikian ini (mengambil dengan zahir) dapat menguatkan lagi bid'ah, kerana makna asalnya tidak dimaksudkan dengan yang zahir. Oleh yang demikian, amatlah dituntut bagi orang-orang yang takut berlakunya tasybih tidak mengambil makna secara zahir.”[2]

Penilaian semula:

Kata-kata Ibn Hajar: “Sesiapa yang mengambil lafaz secara zahirnya akan membawa kepada tajsim (menjisimkan Tuhan) ……” yang akhirnya akan membawa kepada tasybih (penyerupaan dengan makhluk) dan bid‘ah ditujukan kepada Ahl Zahir al-Musyabbihah dan al-Mujassimah iaitu segolongan manusia yang berpendapat Tuhan itu menyerupai makhluknya dan berjisim. Telahpun diterangkan sebelum ini (awal Bab A) bahawa generasi al-Salaf dan para Salafiyyah bukanlah terdiri daripada golongan al-Musyabbihah dan al-Mujassimah. Kata-kata Ibn Hajar juga ditujukan kepada orang awam bahawa mereka tidak boleh memahami nas-nas al-Sifat secara zahir dari sudut istilah dan kaifiatnya.

Ibn Hajar mencenderungi kaedah al-Takwil di atas kaedah Ahl al-Sunnah. Ini adalah sesuatu yang diijtihadkan oleh beliau memandangkan banyaknya orang-orang awam di zamannya yang terkeliru dengan memahami nas-nas al-Sifat secara zahir.[3] Walaubagaimanapun yang lebih utama dan lebih benar adalah tidak mentakwilkan nas-nas al-Sifat atas dasar-dasar yang telah dikemukakan di bahagian awal Bab A. Adapun terhadap kekeliruan orang awam maka yang utama adalah menjelaskan kepada mereka dengan sebaik-baiknya tanpa beralih kepada kaedah al-Takwil sepertimana yang dilakukan oleh al-Ghazali (lihat Penilaian Semula no: 5).


[1] Rujukan seperti di atas, syarah bagi hadis no: 7444 (Kitab Tauhid, Bab Firman Allah: Wajah-wajah pada hari itu berseri-seri (al-Qiyamah 75:01) ). Hanya sahaja penulis berpendapat terjemahan yang lebih tepat di bahagian akhir adalah: “......maka baginya sama ada dia mendustakan nukilan itu (yakni riwayat hadis tersebut) atau dia mentakwilkannya.” Teks Arabnya seperti berikut:

"......اما ان يكذب نقلتها واما ان يؤولها".

[2] Rujukan seperti di atas namun dinukil secara berpisah-pisah lalu dicantumkan bersama menjadi satu perenggan. Ini adalah satu tindakan yang sangat tidak berdisiplin. Lihat syarah kepada hadis no: 127 (Kitab Ilmu, Bab Orang yang dikhaskan dengan ilmu...........).

Kedua-dua nukilan dari kitab al-Fath asalnya dikemukakan oleh al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 148 akan tetapi beliau telah meletakkan tanda (.......) di antara ayat sebagai petunjuk bahawa dia menukilnya secara berpisah-pisah. Namun hal ini tidak dilakukan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah.

[3] Sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini di bahagian pengenalan BAB A, tindakan Ibn Hajar al-‘Asqalani mentakwilkan nas-nas al-Sifat tidak boleh dijadikan hujah bahawa beliau terkeluar daripada ‘aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Malah sebagaimana yang dikupas oleh Muhammad ‘Abd al-Rahman dalam bukunya Fath al-Manan bi Muqaddimah Lisan al-Mizan (Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 11, ms. 80-82, adalah Ibn Hajar al-‘Asqalani berada dalam ‘aqidah generasi al-Salaf. Ini adalah kerana subjek ‘aqidah di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah meliputi pelbagai asas dan jurusan dan ia tidak terhad kepada masalah nas-nas al-Sifat sahaja. Penilaian beliau terhadap pegangan Ibn Hajar al-Asqalani merangkumi semua pegangan beliau dalam bab ‘aqidah tanpa terhad kepada masalah mentakwil atau tidak nas-nas al-Sifat.

Inilah juga merupakan pendapat Nasr al-Din al-Albani, lihat penjelasan beliau yang amat baik tentang persoalan ini dalam Fatawa al-Shaikh al-Albani wa Muqaranatuha bi Fatawa al-‘Ulama’ (dihimpun oleh Ukasyah ‘Abd al-Manan al-Thaibi; Maktabah al-Turath al-Islami, Kaherah 2002), ms. 297-305. Buku ini telah diterjemahkan atas judul Fatwa-fatwa Syaikh Albani (terj: Amiruddin Abdul Djalil; Pustaka Azzam, Jakarta 2003), lihat ms. 213-223.

No comments:

Post a Comment