Friday, August 13, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 8

PENILAIAN SEMULA NO: 8

Doa Rasulullah s.a.w. kepada Ibn ‘Abbas: “Dan ajarkanlah dia al-Takwil”.

Dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 24 disebut bahawa:

Kebanyakan para sahabat telah mentakwilkan banyak ayat-ayat (yang menunjukkan makna zahir) kepada makna lain yang terdapat dalam bentuk majaz di dalam bahasa arab. Rasulullah s.a.w. mendoakan kepada Sayidina Ibn Abbas dengan lafaz:

اللهم فقهه فى الدين وعلمه التأويل

Maksudnya: “Ya Allah, ajarkanlah Ibn Abbas ini dalam urusan agama. Dan ajarkanlah dia Takwil.”

(Dalam notakaki no 2: Hadith riwayat al-Bukhari. Sila lihat “Fath al-Bari” ms. 169, jld. 1)

Penilaian semula:

Kenyataan di atas akan dinilai dalam dua sudut iaitu sandaran hadis dan maksudnya.

Pertama:

Penilaian sandaran hadis.

Penyusun Salafiyah Wahabiyah telah menyandarkan hadis ini kepada al-Bukhari dengan kata-kata beliau: “Hadith riwayat al-Bukhari” padahal hadis ini tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya. Yang ada hanyalah bahagian awal hadis, iaitu:

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ.

“Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama.”

Lafaz inilah yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 143 (Kitab Wudhu’, Bab Menyediakan air untuk wudhu’ ).[1]

Sandaran kepada kitab Fath al-Bari juga adalah tidak benar. Dengan merujuk kepada edisi yang sama dengan penyusun Salafiyah Wahabiyah, iaitu edisi Dar al-Ma’rifah, Beirut; jld. 1, ms. 169, (Kitab al-Iman, Bab Perkataan Nabi: “Ya Allah ajarkanlah dia al-Kitab”) akan didapati bahawa Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H) sebenarnya telah membincangkan hadis ini dan beliau sendiri menegaskan (ms. 170) dengan menukil kata-kata al-Humaidi bahawa tambahan akhir doa (“dan ajarkanlah dia al-Takwil”) tidak terdapat dalam dua kitab sahih. Malah kemudiannya Ibn Hajar menerangkan bahawa tambahan lafaz tersebut sebenarnya dikeluarkan oleh Ahmad bin Hanbal, al-Thabarani, al-Baghawi, Ibn Majah dan lain-lain.

Hal ini diulangi oleh Ibn Hajar dalam bahagian lain kitab Fath al-Bari, jld. 7, ms. 100 (Kitab Keutamaan Sahabat, Manaqib al-Muhajirin, Bab Tentang Ibn ‘Abbas). Nampaknya penyusun Salafiyah Wahabiyah telah berbuat dusta apabila beliau menyandarkan hadis di atas kepada al-Bukhari dan kitab Fath al-Bari.

Sebenarnya hadis di atas tetap memiliki sanad yang sahih. Ia dikeluarkan oleh Ahmad bin Hanbal, al-Hakim, al-Thabarani (Mu’jam al-Kabir, al-Ausath & Saghier), Ibn Hibban dan lain-lainnya dengan lafaz:

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ.

Ya Allah, berilah kepadanya kefahaman dalam agama dan ajarkanlah dia al-Takwil.[2]

Kedua:

Penilaian maksud hadis.

Penyusun Salafiyah Wahabiyah telah menerangkan bahawa kebanyakan para sahabat telah mentakwilkan banyak ayat-ayat (yang menunjukkan makna zahir) kepada makna lain dan perbuatan ini beliau isyaratkan dalilnya kepada doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu: Ya Allah, berilah kepadanya kefahaman dalam agama dan ajarkanlah dia al-Takwil.

Kenyataan di atas tidak dimungkiri hanya sahaja perlu ditegaskan bahawa para sahabat tidak melakukan al-Takwil dengan erti takwil pengalihan lafaz kepada apa yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla. Hal ini akan dibuktikan apabila menilai contoh-contoh seterusnya yang dikemukakan tentang takwilan para sahabat. Adapun sandaran kepada doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai kebolehan untuk mentakwil, ia adalah al-Takwil dalam maksud keseluruhannya dan tidak semestinya bererti takwil pengalihan lafaz terhadap zahir nas-nas al-Sifat.

Malah dalam hal ini diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas pernah berkata:

Tafsir (al-Qur’an) adalah dengan empat bentuk: (1) apa yang diketahui oleh orang Arab sahaja dari perkataannya, (2) tafsir yang tak seorangpun yang tidak mengetahuinya, (3) tafsir yang hanya diketahui oleh para ulama’ dan (4) tafsir yang tidak diketahui langsung kecuali oleh Allah.[3]

Kata-kata Ibn ‘Abbas di atas memang benar kerana al-Takwil atau tafsir terhadap al-Qur’an sebahagiannya memang diketahui oleh orang ramai, sebahagiannya hanya diketahui oleh mereka yang pakar dalam bahasa Arab, sebahagian lagi hanya diketahui oleh para ahli tafsir manakala sebahagian lagi tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala. Diyakini bahawa 3 bentuk tafsir yang pertama dikuasai oleh Ibn ‘Abbas manakala ciri yang terakhir tidak dikuasainya dan ia adalah yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla. Kerana itu kita tidak dapati satu bukti sahih bahawa Ibn ‘Abbas ada melakukan takwil pengalihan lafaz ke atas mana-mana sifat Allah ‘Azza wa Jalla.



[1] Lafaz inilah yang juga dikemukakan oleh al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 153 dan kata beliau dalam notakaki no: 91: Riwayat al-Bukhari (al-Fath 1/169). Malangnya penyusun Salafiyah Wahabiyah telah menyalin hadis di atas dan melakukan penambahan di atas teksnya tanpa mengubah rujukan notakaki. Di sini kita mempersoalkan sejauh mana fungsi mempamirkan sijil pengiktirafan untuk menukil hadis daripada kitab yang asal (lihat Muqaddimah Salafiyah Wahabiyah, ms. xiii-xv) padahal yang diberikan sijil bukan sahaja tidak tahu merujuk kepada kitab yang asal bahkan menokok tambah daripada kitab tuan gurunya sendiri.

[2] Sanad sahih: Hadis daripada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Hakim, al-Thabarani (Al-Kabir, al-Ausath & al-Sagheir), Ibn Hibban dan lain-lain, sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam Musnad Ahmad (Muassasah al-Risalah, Beirut 1995), jld. 5, ms. 215, no: 3102 (Musnad Ibn ‘Abbas, haddathana ‘Abd al-Samad.........).

[3] Sanad dha‘if: Athar dikeluarkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dalam Jamii’ al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999) – no: 061 dari jalan: haddathana Muhammad bin Basyir (al-Bandar), dia berkata: haddathana Mua’mal (bin Ismail al-Basri), dia berkata: haddathana Sufyan (bin ‘Uyaynah), ‘an Abi al-Zinad (‘Abd Allah bin Zakwan), dia berkata: berkata Ibn ‘Abbas.....seperti di atas. Abi al-Zinad tidak mendengar secara terus daripada Ibn ‘Abbas, maka sanad ini terputus. Dikemukakan hanya sebagai penjelas.

Juga terdapat riwayat yang seumpama daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dikeluarkan oleh al-Tabari dalam Jamii’ al-Bayan – no: 062 tetapi di dalam sanadnya terdapat al-Kalbi yang dituduh pendusta. Juga dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam Musnad al-Shamiyyin (tahqiq: Humaidi bin ‘Abd al-Majid; Muassasah al-Risalah, Beirut 1996) – no: 1385 dari jalan Abu al-Husain. Berkata Humaidi bin ‘Abd al-Malik, kemungkinan besar beliau (Abu al-Husain) ialah al-Kalbi juga.

No comments:

Post a Comment