Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 14

PENILAIAN SEMULA NO: 14

Dakwaan al-Takwil terhadap perkataan Lupa dalam ayat 67 surah al-Taubah dan ayat 14 surah al-Sajdah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Mereka telah melupakan Allah dan Allah juga melupakan mereka. [al-Taubah 9:67]

Maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun melupakan kamu.

[al-Sajdah 32:14]

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 32 berkenaan dua ayat di atas:

Kedua-dua ayat ini secara zahirnya menunjukkan kepada kita bahawa Allah S.W.T. bersifat dengan sifat ( نسيان ) iaitu lupa. Lupa ialah salah satu daripada sifat-sifat kekurangan yang terdapat pada makhluk. Justeru itu dalam soal ini kita tidak boleh menetapkan sifat ini pada Allah S.W.T. dengan berkata...“kita menetapkan sifat ini bagi Allah, tetapi lupa Allah tidak sama dengan lupa makhluk”. Kaedah ini adalah salah lagi bertentangan dan membawa kepada tasybih (penyerupaan). Ini kerana Allah S.W.T. telahpun menafikan sifat ini tidak layak dengan kebesaran-Nya di dalam ayat yang lain pada surah Maryam yang berbunyi firman Allah S.W.T.:

Maksudnya: “Dan tiadalah Tuhan-Mu itu lupa”. (Surah Maryam 19:64)[1]

Penilaian semula:

Apabila membicarakan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala, para ilmuan telah membahagikannya kepada dua jenis:

Pertama: Sifat Dzatiyah.

Ini adalah sifat-sifat yang Allah menyifati diri-Nya dengannya, seperti Hidup, Wajah, Tangan, Ilmu dan sebagainya.

Semua sifat-sifat Dzatiyah Allah ini adalah layak bagi-Nya sahaja tanpa difikirkan bagaimana bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya atau diserupakan dengan mana-mana sifat makhluk.

Kedua: Sifat Fi‘iliyah.

Ini adalah sifat-sifat perbuatan Allah Subhanahu wa Ta’ala sesuai dengan kehendak dan kekuasaan-Nya. Firman Allah:

Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki. [al-Hajj 22:14]

Contoh sifat-sifat perbuatan Allah ialah Turun (al-Nuzul), Ketawa (al-Dhahik) dan Lupa (al-Nisyan). Semua sifat-sifat perbuatan Allah ini adalah layak bagi-Nya sahaja tanpa digambarkan bagaimana tatacaranya atau diumpamakan dengan mana-mana perbuatan makhluknya.

Kembali kepada ayat surah al-Taubah dan al-Sajdah di atas, Lupa boleh wujud dalam dua bentuk, yang pertama sebagai satu sifat seseorang yang tidak disengajakan manakala yang kedua sebagai satu perbuatan seseorang yang disengajakan. Sebagai contoh, jika dikatakan Ahmad seorang “pelupa” maka ia bererti sifat Lupa wujud pada diri Ahmad tanpa disengajainya. Namun apabila dikatakan Jamal “melupakan” bererti Jamal bukanlah bersifat “pelupa” tetapi dia sengaja bertindak Lupa.

Maka dalam ayat surah al-Taubah dan al-Sajdah di atas, Lupa yang dimaksudkan bukanlah merupakan satu sifat Dzatiyah kerana telah jelas dalam ayat 64 surah Maryam bahawa Allah telah menafikan sifat Lupa daripada diri-Nya. Lupa yang dimaksudkan ialah sifat Fi‘iliyah, bererti Allah bertindak untuk Melupakan.



[1] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 149, no: 01 dan Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 8-9, no: 01.

No comments:

Post a Comment