Sunday, July 4, 2010

Pendahuluan (bahagian 3)


Tohmahan Terhadap Ulama

Seseorang yang tergamak mentohmah para Sahabat radhiallahu 'anhum dengan kemurtadan dan tergamak pula mentahrifkan maksud hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, pasti tidak akan kekok untuk mentohmah para ulama. Justeru sebahagian besar perbahasan buku Al-Ghari itu berkisar pada pembohongan dan pengkhianatan terhadap para ulama.

Antara ulama yang paling teruk dizalimi oleh beliau ialah Al-Imam Al-Allamah Sheikh Al-Islam Abu Al-Abbas Taqiyyuddin Ahmad Ibn Abd Al-Halim Ibn Taimiyyah rahimahullah. Dalam kitabnya itu, Al-Ghari telah menyenaraikan sebanyak 14 isu-isu aqidah yang kononnya menjadi pegangan Ibn Taimiyyah secara sesat, antaranya beliau menyatakan bahawa Ibn Taimiyyah beritiqad dengan Qidamul Alam dengan nau’. (alam itu sediakala dengan jenisnya)[37].

Al-Ghari menyertakan beberapa rujukan tentang isu tersebut, antaranya ialah Kitab Ibn Taimiyyah sendiri yang berjudul Minhaj As-Sunnah An-Nabawiyyah dan Muwafaqat Sahih Al-Manqul Li Sarih Al-Maqul (juga dikenali dengan judul Dar’u Taarud Al-Aql Bi An-Naql).

Setelah dirujuk kepada kedua-dua kitab Ibn Taimiyyah yang asal, didapati Ibn Taimiyyah tidak pernah berkata dan beritiqad sedemikian, sebaliknya beliau hanya menjelaskan pendapat dan hujjah akal golongan Falasifah dan Ad-Dahriyyin yang mengatakan alam ini qadim bi an-nau’, kemudian beliau menolak pendapat dan hujah-hujah tersebut dengan menggunakan hujah-hujah daripada lojik akal juga. Dalam kitab Dar’u Taarud Al-Aql Bi An-Naql, Ibn Taimiyyah berkata:

والفلاسفة تجوّز مثل ذلك في دوام النوع دون أشخاصه ولكن الدهرية منهم ظنوا أن حركات الأفلاك من هذا الباب وأنها قديمة النوع فاعتقدوا قدمها وليس لهم على ذلك دليل أصلا.

Maksudnya: “Dan golongan Falasifah mengharuskan yang demikian itu dalam kes keberkekalan jenis alam dan bukan bahan-bahannya, tetapi golongan Ad-Dahriyyah dari kalangan mereka (Falasifah) menganggap bahawa pergerakan falak-falak itu termasuk dalam bab ini dan bahawa ia (falak-falak itu) qadim dari segi jenisnya. Maka (disebabkan anggapan itu) mereka (Ad-Dahriyyah) beri’tiqad bahawa ia (falak-falak) itu qadim, dan mereka langsung tidak mempunyai dalil untuk dakwaan itu” [38].

Manakala dalam kitab Minhaj As-Sunnah pula ibaratnya lebih panjang, dimana Ibn Taimiyyah memulakannya dengan mengemukakan shubuhat dan hujah golongan Falasifah yang mengatakan alam itu qadim dengan jenisnya. Beliau berkata:

فإن قيل: ما ذكرتموه يدل على أنه يمتنع أن يكون العالم خاليا عن الحوادث ثم تحدث فيه، لكن نحن نقول: إنه لم يزل مشتملا على الحوادث مثل جنس حركات الأفلاك، فأما أشخاص الحوادث فإنها حادثة بالاتفاق...

Maksudnya: “Maka sekiranya dikatakan[39] (oleh Falasifah): “Apa yang kamu (Ahli Sunnah) sebutkan itu menunjukkan ternafinya bahawa alam itu sunyi daripada benda-benda baru kemudian barulah berlaku (benda-benda baru) di dalamnya, tetapi kami (Falasifah) berpendapat bahawa alam itu masih merangkumi benda-benda baru manakala yang qadim itu adalah asal-usul alam iaitu falaq-falaq dan jenis benda-benda baru seperti bentuk pergerakan falaq-falaq itu, adapun bahan-bahan yang baru maka ia memang baru tanpa khilaf (antara Falasifah dengan Ahli Sunnah)…”[40].

Setelah memaparkan shubuhat dan hujah puak Falasifah dalam bentuk kalam iftiradhi sebanyak dua halaman, maka barulah beliau menolaknya dengan jawapan yang ringkas lagi padat (Hal: 217), dengan katanya:

قيل: هذا قياس باطل وتشبيه فاسد...

Maksudnya: “(Sekiranya dikatakan sedemikian, maka) dikatakan[41] (kepada Falasifah) itu: “Ini adalah suatu qias yang batil (salah) dan suatu perbandingan yang fasid (rosak)...”[42].

Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa Ibn Taimiyyah tidak beritiqad (berpegang) dengan Qidamul Alam dengan nau’ seperti yang didakwa oleh Al-Ghari, tetapi beliau hanya memetik kata-kata segolongan Falasifah yang mengatakan sedemikian dan kemudian beliau menolaknya. Justeru, tuduhan yang dibuat oleh Al-Ghari ke atas Ibn Taimiyyah itu dilihat sebagai satu tohmahan dan pengkhianatan ke atas seorang tokoh ulama Islam. Sedangkan pengkhianatan terhadap ulama bermakna pengkhianatan terhadap ilmu, dan pengkhianatan terhadap ilmu bermakna pengkhianatan terhadap orang yang menyampaikan ilmu iaitu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, manakala pengkhianatan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bermakna pengkhianatan terhadap yang menurunkan ilmu, iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka, lalu bukankah ini satu daripada ciri-ciri ilhad (anti Islam)?

Demikianlah contoh dua tohmahan Al-Ghari, yang dilihat sangat berpotensi untuk mengheretnya ke lembah kekufuran dan ilhad. Pada mulanya penulis bercadang untuk mengkaji dan menjawab semua pengkhianatan yang terkandung dalam buku tersebut, tetapi kesempitan masa dan kelemahan logistik pada ketika itu telah menghalang penulis daripada meneruskan hasrat tersebut.

Namun, tanpa diduga, Allah Yang Maha Besar telah mewujudkan seorang insan yang gigih dan jujur (pada penilaian penulis) bernama Hafiz Firdaus Abdullah untuk menjawab sebahagian besar daripada kandungan buku Al-Ghari itu dalam sebuah buku beliau yang berjudul Pembongkaran Jenayah Ilmiyah Buku Salafiyyah Wahhabiyyah[43]. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa gembiranya hati para pendukung Sunnah dengan kemunculan buku yang mengandungi jawapan-jawapan ilmiah lagi konkrit itu. Penulis beranggapan sekiranya tiada harapan lagi untuk mengembalikan Al-Ghari ke pangkal jalan, maka sekurang-kurangnya buku jawapan itu sudah memadai bagi menyedarkan para pembaca yang mungkin terkeliru dengan tulisannya.

Penulis menjangkakan sebaik sahaja penjelasan yang terkandung dalam buku saudara Hafiz Firdaus ini sampai ke pengetahuan orang ramai atau pihak berkuasa agama, maka riwayat pengkhianatan Al-Ghari akan berakhir. Masa terus berlalu dan keadaan nampak seakan-akan reda, tetapi ternyata keadaan yang nampak reda itu rupa-rupanya bagaikan ‘api dalam sekam’.

Al-Ghari muncul lagi, tetapi kali ini dengan penampilan yang lebih berani setelah beliau dikatakan menjawat jawatan Penolong Pengarah di sebuah jabatan agama. Antara tugas terawal yang diberikan kepada beliau ialah menjelaskan bahaya pemikiran Wahabi di Malaysia melalui dua kertas kerjanya:

1. Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia[44].

2. Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah[45].

Sama seperti tulisan-tulisannya yang lain, kandungan kedua-dua kertas kerja itu juga sarat dengan tohmahan, pengkhianatan dan penyelewengan ilmiah. Pada mulanya penulis mengambil sikap tunggu dan lihat, dengan harapan ada di kalangan pihak berkuasa agama yang sedar tentang perkara ini lalu diusahakan jalan penyelesaian yang terbaik. Namun, penantian ini tidak menampakkan adanya tindakan yang boleh menenangkan jiwa orang beriman. Kalau adapun, ia mungkin sudah terlambat untuk menyekat penyebaran idea jahat Al-Ghari itu daripada sampai kepada masyarakat awam, lebih-lebih lagi bila ada pula pihak yang sealiran dengannya mula mencanangkan isu berkenaan dalam media tempatan.

Justeru, penulis mengambil keputusan untuk membuat sedikit penjelasan terhadap tohmahan-tohmahan yang dilontarkan oleh Al-Ghari. Usaha ini bukan untuk membela mana-mana pihak, tetapi untuk membela kesucian ilmu Islam daripada penyelewengan metodologi dan pengkhianatan ilmiah. Setelah meneliti semua fakta yang terkandung dalam kedua-dua kertas kerja itu, penulis menyedari bahawa semua hujah Al-Ghari itu meskipun nampak ilmiah, tetapi pada hakikatnya ia dibina di atas kebebalan minda dan kejahatan jiwa semata-mata (sebagaimana yang akan dibuktikan selepas ini).

Jika tidak kerana bimbangkan kekeliruan masyarakat yang jahil tentang pengkhianatan itu, maka menghabiskan masa untuk menjawab hujah-hujah tersebut adalah suatu tindakan yang kurang berbaloi. Banyak fakta yang beliau kemukakan tidak dinyatakan butiran sumber rujukannya secara lengkap, sedangkan pendekatan seperti itu menafikan ciri-ciri asas sebuah kajian ilmiah. Kemungkinan beliau sengaja ‘ghaibkan’ butiran sumber-sumber rujukan itu supaya orang sukar mengesan penyelewengannya atau kemungkinan juga beliau hanya memetik fakta-fakta itu daripada rujukan sekunder (tidak asli) tanpa merujuk kepada rujukan primer (asli). Namun begitu, penulis berjaya mengesan fakta-fakta yang disebut oleh Al-Ghari dan memetiknya daripada sumbernya yang asal untuk dinilai oleh para pembaca sekelian. Penulis berharap penjelasan ini dapat diikuti oleh para pembaca dengan semangat firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَبَشِّرْ عِبَاد الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُِ

Maksudnya: “Sampaikanlah berita gembira itu kepada hamba-hambaKu yang mendengar perkataan lalu dia mengikuti yang terbaik daripadanya”[46].

Akhir kata, penulis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para ikhwah yang telah memberikan sokongan moral untuk menyiapkan risalah ini. Dengan menyedari segala kekurangan yang ada, penulis mengharapkan pertolongan Yang Maha Kuasa, semoga penjelasan ini nanti dapat memulihkan semangat para pendukung Sunnah untuk meneruskan usaha mereka dalam menegakkan Sunnah, dan penulis juga berharap semoga tulisan ini akan menjadi hujah bagi penulis bila berada di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala pada Hari Akhirat kelak.

Azwira Abdul Aziz

Semenyih,

Selangor Darul Ehsan.

21 Feb 2006

[37] Buku baru As-Salafiyyah Al-Wahhabiyyah…Satu Penilaian, Hal: 101, manakala buku asal Kesahihan As-Salaf Dan Al-Khalaf, Hal: 137.

[38] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al-Harrani, Dar’u Taarud Al-Aql Bi An-Naql, Dar al-Kunuz Al-Arabiyyah, Beirut, Lubnan, 1391H, 2: 148.

[39] Dalam Bahasa Arab, ungkapan seperti ini diistilahkan sebagai Jumlah Syartiyyah yang perlu ada jawapannya.

[40] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al-Harrani, Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah, Maktabah Ibn Taimiyyah, Amman, Jordan, 1409H, 1: 215-217.

[41] Ini adalah jawapan bagi Jumlah Syartiyyah tersebut.

[42] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim Al-Harrani, Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah, Maktabah Ibn Taimiyyah, Amman, Jordan, 1409H, 1: 217.

[43] Terbitan Jahabersa, Johor Bahru, Johor, 2003. Sesiapa yang terbaca buku Al-Ghari, maka dia perlu juga membaca buku saudara Hafiz Firdaus ini supaya sebarang kekeliruan dapat dihindarkan.

[44] Kertas kerja ini dibentangkan oleh Al-Ghari dalam Seminar Penjelasan Ajaran Yang bertentangan Dengan Ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah, anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) pada bulan Oktober 2005. Al-Ghari juga memiliki sebuah buku kecil dengan judul yang sama tetapi dengan kandungan yang berbeza, diterbitkan oleh Syathariyah Niagajaya Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2002. Nampaknya Al-Ghari ketandusan idea untuk memberi judul kepada hasil-hasil karyanya. Apa pun, buku di tangan anda sekarang ini hanya memberi tumpuan kepada kertas kerja Al-Ghari dan bukan buku kecil tersebut.

[45] Kertas Kerja Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Meskipun judul dua kertas ini berlainan, tetapi isi kandungannya dilihat hampir sama.

[46] Az-Zumar, 39: 17-18.


No comments:

Post a Comment