Friday, July 9, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 3

PENILAIAN SEMULA NO: 3

Dakwaan Fahaman al-Salaf berasal daripada Hisyam al-Jawaliqi.

Dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 15-16, disebut bahawa:

Imam Qurtubi di dalam kitab tafsirnya “al-Jamii’ li al-Ahkam al-Qur’an” menjelaskan kepada kita tentang orang yang mula-mula mempelopori fahaman al-Salaf ialah Hisyam al-Jawaliki dan golongan al-Mujassimah.[1] Namun mazhab yang diperkenalkan oleh Hisyam dan golongan al-Mujassimah mendapat tentangan yang hebat oleh para ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Akhirnya fahaman al-Salafi ini tersingkir begitu sahaja. Namun, fahaman yang disandarkan al-Salafi ini muncul kembali pada kurun ke-7 H.

Penilaian semula:

Penyusun Salafiyah Wahabiyah tidak mengemukakan rujukan jilid dan mukasurat bagi dakwaan di atas. Telah disemak kitab al-Jamii’ li Ahkam al-Qur’an karya al-Qurtubi (671H) dan tidak ditemui beliau mengemukakan nama Hisyam al-Jawaliqi ( هشام الجوالقي ) kecuali sekali, iaitu ketika membahas tafsir bagi ayat 35 surah al-Nur (surah ke 24)[2]:

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Ketika membahas erti kalimah Nur (cahaya), al-Qurtubi telah mengemukakan beberapa pendapat termasuk pendapat Hisyam al-Jawaliqi dan golongan al-Mujassimah yang membahasnya dari sudut pengertian jisim. Setelah mengemukakan pendapat mereka al-Qurtubi menolaknya sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Dalam keseluruhan perbahasan al-Qurtubi terhadap ayat ini bersama pendapat Hisyam al-Jawaliqi dan golongan al-Mujassimah, tidak disebut langsung tentang al-Salaf atau al-Khalaf. Kitab al-Jamii’ li Ahkam al-Qur’an adalah sebuah kitab tafsir yang masyhur dan para pembaca boleh menelitinya di mana-mana perpustakaan.

Maka penisbatan penyusun Salafiyah Wahabiyah ke atas al-Qurtubi dalam hal ini sebenarnya adalah satu pendustaan semata-mata.


[1] Al-Mujassimah ialah fahaman orang-orang yang berpendapat Tuhan berjisim dan berjasmani sepertimana lain-lain benda dan makhluk. Hal ini pasti mustahil dan tidak benar bagi Allah ‘Azza wa Jalla.

[2] al-Jamii’ li Ahkam al-Qur’an (tahqiq: Sadiqi al-Athar; Dar al-Fikir, Beirut 1999), jld. 6, ms. 195-197. Pencarian juga telah diusahakan menggunakan edisi cdrom (www.muhaddith.com) namun hasilnya adalah sama.

No comments:

Post a Comment