Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KESEPULUH: (Bahagian 2)

TOHMAHAN KESEPULUH: (Bahagian 2)

Hujah Kelima:

Judul bab yang diletakkan oleh Al-Bukhari ke atas hadith riwayat Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma, iaitu:

باب: الصلاة بعد الجمعة وقبلها.

Maksudnya: “Bab: Solat (sunat) selepas Jumaat dan sebelumnya”[26].

Al-Ghari mendakwa (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 15) bahawa judul bab yang diletakkan oleh Al-Bukhari ini menunjukkan adanya solat sunat qabliyyah bagi solat fardu Jumaat. Beliau merujuk pendapat ini kepada kata-kata Ibn Al-Munayyir yang mengqiaskan (menyamakan hukum) solat sunat qabliyyah Jumaat dengan solat sunat qabliyyah Zohor. Justeru beliau mendakwa bahawa Al-Bukhari rahimahullah meletakkan judul bab ini kerana dia juga berpegang dengan kaedah Qias antara solat sunat qabliyyah Jumaat dengan solat sunat qabliyyah Zohor.

Analisa Dan Jawapan:

Para pendukung Sunnah Malaysia sememangnya menyedari kewujudan judul bab Al-Bukhari tersebut sebagaimana mereka juga tahu komentar Ibn Al-Munayyir rahimahullah terhadap judul bab tersebut. Namun mereka menolak pendapat yang mengandaikan bahawa judul bab menunjukkan adanya solat sunat qabliyyah Jumaat, bukan kerana mereka menolak Qias, seperti yang didakwa oleh Al-Ghari secara jahat dalam (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 15), tetapi mereka menolak andaian itu kerana beberapa alasan berikut:

· Kaedah fiqh telah menetapkan:

لا مساغ للاجتهاد في مورد النص.

Maksudnya: “Tidak boleh berijtihad dalam perkara yang ada nas”[27].

Para fuqaha’ memakai kaedah ini kerana dua alasan: Pertama, kerana sesuatu hukum syara’ itu terhasil dengan nas syara’, maka tidak perlu lagi berijtihad dalam perkara yang sudah terhasil dengan nas. Kedua, kerana sesuatu hukum yang terhasil melalui ijtihad bersifat zanni (tidak pasti), sedangkan hukum yang terhasil dengan nas pula bersifat yaqini (pasti), maka tidak wajar meninggalkan yang pasti untuk berpegang dengan yang tidak pasti.

Justeru oleh kerana Qias adalah satu daripada bentuk ijtihad, maka para ulama usul fiqh awal-awal lagi menetapkan ketiadaan nas sebagai satu daripada syarat utama untuk mengaplikasikan kaedah Qias ke atas sesuatu permasalahan furu (cabang)[28].

Berdasarkan ketetapan ini, maka mengaplikasikan kaedah Qias ke atas permasalahan solat sunat qabliyyah Jumaat bermakna mendakwa ketiadaan nas dalam perkara tersebut. Sedangkan telah terbukti sebelum ini kewujudan hadith riwayat As-Sa’ib Ibn Yazid radhiallahu ‘anh yang menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melakukan solat sunat berkenaan selepas azan Jumaat. Oleh kerana sudah ada nas yang jelas dalam hal ini, maka kaedah Qias tidak boleh dipakai lagi. Selain daripada itu, para ulama usul juga telah menetapkan satu lagi kaedah, iaitu:

لا يجوز القياس في شرعية الصلاة.

Maksudnya: “Tidak harus (menggunakan) Qias dalam (perkara) kesyariatan solat”[29].

Berdasarkan dua kaedah di atas, maka tindakan mengqiaskan solat sunat qabliyyah Jumaat dengan solat sunat qabliyyah Zohor dilihat menyalahi dua kaedah fiqh dan usul sekaligus.

· Jika Al-Ghari dan para pendukung bidah berkeras untuk mengenepikan ketetapan kedua-dua kaedah usul fiqh yang menolak pengaplikasian kaedah qias, maka judul bab Al-Bukhari tetap tidak menunjukkan adanya solat sunat qabliyyah Jumaat. Ini kerana ungkapan judul bab Al-Bukhari adalah umum, merangkumi solat sunat sebelum azan dan selepas azan. Justeru keumumannya tidak boleh dikhususkan kepada solat sunat qabliyyah Jumaat yang hanya khusus selepas azan.

· Jika di andaikan bahawa judul bab Al-Bukhari memang menjurus kepada solat sunat qabliyyah Jumaat secara khusus, maka ia juga masih tidak menunjukkan kesyariatan solat tersebut, bahkan sebaliknya menafikan kesyariatan itu. Ini kerana judul bab Al-Bukhari tersebut pada hakikatnya adalah uslub insya’i (gaya bahasa persoalan) dan bukannya uslub khabari (gaya bahasa pemberitahuan).

Dengan perkataan lain, judul bab tersebut sebenarnya merupakan suatu persoalan yang berbunyi: “Bab: Apakah ada solat sunat selepas Jumaat dan sebelumnya”? dan ia bukan suatu pemberitahuan untuk menetapkan kesyariatan solat berkenaan. Oleh yang demikian, apabila Al-Bukhari meriwayatkan di bawah judul bab itu hadith Ibn Umar yang bermaksud: “Adalah Baginda tidak bersolat (sunat) selepas Jumaat sehingga dia beredar, kemudian dia bersolat dua rakaat”[30], maka periwayatan itu merupakan jawapan Al-Bukhari terhadap persoalan yang beliau timbulkan daripada judul bab tersebut. Seolah-olah beliau berkata:

“Jawapannya, tidak ada solat sunat qabliyyah Jumaat tetapi yang ada hanyalah solat sunat badiyyah (selepas Jumaat) sahaja”.

Hakikat ini dibuktikan oleh pendekatan Al-Bukhari dalam julul bab yang lain, seperti:

باب: الصلاة قبل العيد وبعدها.

Maksudnya: “Bab: Solat (sunat) sebelum (solat) Hari Raya dan selepasnya”[31].

Judul bab Al-Bukhari ini seolah-olah menetapkan adanya solat sunat sebelum dan selepas solat Hari Raya, sedangkan para ulama telah bersepakat mengatakan tidak ada solat sunat qabliyyah dan badiyyah bagi solat Hari Raya. Ini membuktikan bahawa uslub insya’i yang digunakan oleh Al-Bukhari bagi mengungkapkan judul bab bukan bermaksud penetapan, sebaliknya adalah suatu persoalan sama ada wujud atau tidak jenis solat berkenaan. Justeru setelah mengemukakan persolan ini, beliau kemudiannya menjawab sendiri dengan membawa hadith riwayat Ibn Abbas radhiallahu ‘anh:

أن النبي صلى الله عليه وسلم خرج يوم الفطر فصلى ركعتين لم يصلِّ قبلها ولا بعدها، ومعه بلال.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah keluar pada Hari Raya Fitrah lalu Baginda bersolat dua rakaat, Baginda tidak bersolat (sunat) sebelum atau selepasnya, dan bersama-samanya ialah Bilal radhiallahu ‘anh[32].

Jika dibandingkan pendekatan Al-Bukhari dalam bab solat sunat sebelum dan selepas solat Hari Raya ini dengan pendekatannya dalam bab solat sunat sebelum dan selepas solat Jumaat, maka nyata ia adalah pendekatan yang sama. Dengan perkataan lain, Al-Bukhari meletakkan judul yang sedemikian bukan untuk menetapkan kesyariatan solat tersebut, tetapi sebaliknya beliau ingin menjelaskan ketidaksyariatannya berdasarkan hadith yang beliau riwayatkan.

Justeru berdasarkan hakikat ini, maka dakwaan Al-Ghari bahawa Al-Bukhari mengqiaskan (menyamakan) antara solat sunat qabliyyah Jumaat dengan solat sunat qabliyyah Zohor adalah dakwaan palsu semata-mata, yang sekadar mengesahkan lagi kejahilannya berkenaan manhaj (metodologi) para ulama hadith.

Al-Bukhari juga ada meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma dengan matan:

صليت مع النبي صلى الله عليه وسلم سجدتين قبل الظهر وسجدتين بعد الظهر وسجدتين بعد المغرب وسجدتين بعد العشاء وسجدتين بعد الجمعة.

Maksudnya: “Aku bersolat bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dua rakaat sebelum dan selepas Zohor, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isya’ dan dua rakaat selepas Jumaat”[33].

Al-Bukhari meletakkan hadith ini di bawah bab yang berjudul: “Solat sunat selepas solat fardu”. Matan hadith dan judul bab ini menunjukkan bahawa solat fardu Jumaat dan solat fardu Zohor adalah dua jenis solat fardu yang berlainan. Jika keduanya sama, maka tidak perlu lagi diulangi penyebutan solat sunat selepas Jumaat kerana telah disebut sebelum itu solat sunat selepas Zohor. Selain daripada itu, solat fardu Jumaat hanya menyamai solat fardu Zohor dari segi waktunya sahaja, tetapi ia berbeza dengannya dari semua aspek lain seperti wajib diadakan di masjid, bacaan nyaring, khutbah dan bilangan rakaat. Persoalannya, kenapa diambil kira aspek persamaan yang satu sahaja (dari segi waktu), sedangkan semua aspek perbezaannya yang lain tidak diambil kira? Justeru oleh kerana keduanya adalah dua jenis solat fardu yang berlainan, maka keduanya tidak boleh diqiaskan antara satu sama lain.

Hujah Keenam:

Al-Ghari seterusnya menggabungkan beberapa hujah:

I. Athar Ibn Masud radhiallahu ‘anh, bahawa beliau menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas Jumaat, dan beliau turut menyuruh para Sahabat supaya berbuat demikian.

II. Athar Sofiyyah bint Huyai radhiallahu ‘anha, bahawa beliau menunaikan solat sunat sebelum Jumaat sebanyak empat rakaat.

III. Judul bab At-Tarmizi dalam kitabnya As-Sunan yang bertajuk: “Solat sebelum Jumaat dan Selepasnya”.

Analisa Dan Jawapan:

I. Athar Ibn Masud radhiallahu ‘anh ini diriwayatkan oleh Abd Ar-Razzaq Ibn Hammam dan Ibn Abi Syaibah dalam kedua-dua Musannaf mereka, melalui sanad yang sahih[34]. Akan tetapi seperti semua dalil Al-Ghari yang lain, ia juga tidak menunjukkan adanya solat sunat qabliyyah Jumaat, kerana kata-kata Ibn Masud adalah ungkapan umum yang merangkumi solat sunat sebelum azan dan selepas azan. Keumuman itu dikhususkan oleh dalil-dalil lain, seperti hadith riwayat As-Sa’ib Ibn Yazid yang jelas meniadakan solat sunat qabliyyah Jumaat.

II. Athar Sofiyyah bint Huyai radhiallahu ‘anha diriwayatkan oleh Ibn Sad dengan matan:

صلت أربعا قبل خروج الإمام وصلت الجمعة مع الإمام ركعتين.

Maksudnya: “Dia (Sofiyyah) menunaikan solat (sunat) empat rakaat sebelum imam keluar (untuk membaca khutbah) dan kemudian dia menunaikan solat Jumaat dua rakaat bersama imam”[35].

Telah sedia diketahui bahawa mengikut amalan pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga para Sahabat radhiallahu ‘anhum, imam akan keluar ke tempat solat sebelum azan Jumaat dikumandangkan. Apabila imam masuk ke dalam masjid dan duduk di atas mimbar, barulah azan dikumandangkan. Justeru oleh kerana Sofiyyah menunaikan solat sunat tersebut sebelum imam keluar, bermakna dia menunaikan solat tersebut sebelum azan. Solat sunat yang ditunaikan sebelum azan tidak dinamakan solat sunat qabliyyah Jumaat tetapi solat sunat mutlak.

III. Judul bab yang diletakkan oleh At-Tarmizi rahimahullah (Bab: Solat sunat sebelum Jumaat dan selepasnya) tidak menunjukkan adanya solat sunat qabliyyah Jumaat kerana ia pada hakikatnya bukan ungkapan penetapan tetapi ungkapan persoalan, sama seperti judul bab Al-Bukhari yang telah dibincangkan sebelum ini. Antara qarinah (petunjuk ilmiah) yang membuktikan hakikat ini ialah:

Qarinah 1: At-Tarmizi merupakan salah seorang murid Al-Bukhari yang banyak meniru pendekatan Al-Bukhari dalam penyusunan kitabnya, terutama yang berkaitan dengan penjudulan bab. Hakikat ini telah dibuktikan dalam banyak kajian ilmiah, seperti kajian yang telah dilakukan oleh Nur Ad-Din Itr dalam kitabnya Al-Muwazanah. Beliau menyimpulkan hasil kajiannya itu dengan katanya antara lain:

إن الترمذي قد أخذ بطريقة البخاري حيث وضع كتابه على الأبواب ثم وضع التراجم على طرق ومسالك سبقه إليها البخاري. تأثر الترمذي بشيخه الإمام البخاري واستفاد منه في تراجم جامعه، ويتأكد ذلك ويظهر بما وجدنا من توافق في لفظ كثير من التراجم عندهما.

Maksudnya: “Sesungguhnya At-Tarmizi telah mengambil pendekatan Al-Bukhari dari segi penyusunan kitabnya mengikut bab, kemudian (dari segi) meletakkan judul-judulnya mengikut cara dan pendekatan yang telah didahului oleh Al-Bukhari. At-Tarmizi terpengaruh dengan gurunya Al-Bukhari dan beliau mengambil faedah daripadanya dalam judul-judul bab Jaminya.[36] Yang demikian itu tersokong dan terserlah melalui apa yang kita dapati daripada banyak persamaan pada lafaz judul-judul bab kedua-duanya”[37].

Qarinah 2: Di bawah bab tersebut, At-Tarmizi hanya meriwayatkan tiga buah hadith, dua daripadanya melalui riwayat Ibn Umar secara marfu (dinisbahkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) dan satu lagi melalui riwayat Abu Hurairah juga secara marfu. Kesemua matan bagi ketiga-tiga hadith itu hanya menceritakan berkenaan solat sunat yang Nabi lakukan selepas Jumaat dan tak ada satu pun riwayat yang menceritakan berkenaan solat sunat yang Nabi lakukan sebelum Jumaat[38]. Sedangkan judul bab At-Tarmizi turut menyebut berkenaan solat sunat sebelum Jumaat.

Berdasarkan dua qarinah ini, maka dapat disimpulkan bahawa judul bab At-Tarmizi itu juga pada hakikatnya adalah uslub insya’i (gaya bahasa persoalan), dan bukannya uslub khabari (gaya bahasa pemberitahuan). Dengan perkataan lain, judul bab itu sebenarnya suatu persoalan yang berbunyi: “Bab: Apakah ada solat sunat sebelum Jumaat dan selepasnya”? dan ia bukan suatu pemberitahuan untuk menetapkan solat berkenaan.

Oleh yang demikian, apabila At-Tarmizi meriwayatkan di bawah judul bab itu hadith-hadith berkenaan solat sunat yang Nabi lakukan selepas Jumaat sahaja, maka periwayatan itu menjadi jawapan beliau terhadap persoalan yang beliau timbulkan daripada judul bab tersebut. Seolah-olah beliau berkata: “Jawapannya, tidak ada solat sunat sebelum Jumaat, tetapi yang ada hanyalah solat sunat selepas Jumaat sahaja”.

Demikianlah analisa dan jawapan terhadap enam hujah yang dikemukakan oleh Al-Ghari berkenaan solat sunat qabliyyah Jumaat. Di samping analisa dan jawapan ini, sayugia diingatkan bahawa pendapat yang menafikan solat sunat qabliyyah Jumaat dilihat lebih menepati pendapat para imam mujtahid. Dalam konteks ini, Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:

...وهذا مذهب مالك والشافعي وأكثر أصحابه وهو المشهور في مذهب أحمد.

Maksudnya: “…Inilah pendapat Malik, Ash-Shafiei serta kebanyakan pengikutnya dan ia juga adalah yang masyhur dalam mazhab Ahmad”[39].

Manakala Al-Albani pula berkata:

ولذلك لم يرد لهذه السنة المزعومة ذكر في كتاب الأم للإمام الشافعي ولا في المسائل لأحمد ولا عند غيرهم من الأئمة المتقدمين فيما علمت، ولهذا فإني أقول: إن الذين يصلون هذه السنة لا الرسول صلى الله عليه وسلم اتبعوه ولا الأئمة قلدوا، بل قلدوا المتأخرين الذين هم مثلهم في كونهم مقلدين غير مجتهدين، فاعجب لمقلد يقلد مقلدا.

Maksudnya: “Oleh yang demikian, amalan yang disangkakan Sunnah tersebut tidak disebut dalam kitab Al-Umm karya Ash-Shafiei, juga (tidak disebut) dalam kitab Masail Imam Ahmad dan para ulama terdahulu yang lain setakat yang aku tahu… Oleh kerana itu aku berpendapat: Sesungguhnya orang yang menunaikan solat sunat ini, mereka tidak ikut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tidak juga bertaqlid kepada para Imam (terdahulu), sebaliknya mereka bertaqlid kepada generasi terkemudian yang bukan mujtahid seperti mereka. Maka alangkah anehnya pentaqlid bertaqlid kepada pentaqlid”[40].

Selepas mengemukakan keenam-enam hujahnya, Al-Ghari berkata (Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 16):

“Melalui penghujahan di atas, jelaslah kepada kita bahawa solat sunat sebelum Jumaat adalah sesuatu yang berasal daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat serta salaf al-Soleh. Para ulamak kita yang terkemudian pun turut mengakui hakikatnya. Oleh itu, barangsiapa yang cuba mengingkarinya dan menegah orang ramai dari mengerjakannya maka sesungguhnya mereka telah menentang Sunnah dengan semata-mata berpegang kepada pendapat yang syadz. Ringkasnya, pastikan salaf yang ori untuk diikuti bukannya Salafi al-Wahabi”.

Di sini penulis serahkan kepada kebijaksanaan para pembaca sekelian untuk menilai, hujah siapakah sebenarnya yang lebih teliti dan lebih dekat kepada pengkaedahan fiqh, usul fiqh dan pendapat para ulama.

[26] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (Bersama Fath Al-Bari), Tahqiq dan Tarqim: Muhib Ad-din Al-Khatib dan Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Al-Matbaah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2: 473, No: 930 dan 2: 493.

[27] Ahmad Ibn Muhammad Az-Zarqa’, Syarah Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dar Al-Qalam, Damsyik, Syria, 1998, Hal: 147.

[28] Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr, Damsyik, Syria, 1986, 2: 639-640.

[29] Badran Abu Al-Anain Badran, Usul Al-Fiqh Al-Islami, Hal: 193, dalam: Masyhur Hasan Salman, Al-Qaul Al-Mubin Fi Akhta’ Al-Musallin, Dar Ibn Al-Qayyim, Dammam, Arab Saudi, 1994, Hal: 358.

[30] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (Bersama Fath Al-Bari), Tahqiq dan Tarqim: Muhib Ad-din Al-Khatib dan Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Al-Matbaah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2: 473, No: 930 dan 2: 493, No: 937.

[31] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (Bersama Fath Al-Bari), Tahqiq dan Tarqim: Muhib Ad-din Al-Khatib dan Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Al-Matbaah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2: 552.

[32] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (Bersama Fath Al-Bari), Tahqiq dan Tarqim: Muhib Ad-din Al-Khatib dan Muhammad Fuad Abd Al-Baqi, Dar Al-Matbaah As-Salafiyyah, Kaherah, Mesir, 1407H, 2: 552, No: 989.

[33] Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Tahqiq: Mustafa Dib Al-Bugha, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, 1: 393, No: 1119.

[34] Abd Ar-Razzaq Ibn Hammam As-Sanani, Al-Musannaf, Tahqiq: Habib Ar-Rahman Al-Azami, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, 1403H, 3: 247, No: 5524, 5525 dan Abd Allah Ibn Muhammad Ibn Abi Syaibah, Musannaf, Tahqiq: Kamal Yusuf Al-Hut, Maktabah Ar-Rushd, Riyadh, Arab Saudi, 1409H, 1: 463, No: 5360.

[35] Muhammad Ibn Sad, At-Tabaqat Al-Kubra, Dar Sadir, Beirut, Lubnan, t.th, 8: 491.

[36] Nama sebenar bagi kitab Sunan At-Tirmizi.

[37] Nur Ad-Din Itr, Al-Imam At-Tarmizi Wa Al-Muwazanah Baina Jamiihi Wa Baina As-Sahihain, Muassasah Ar-Risalah, Beirut, Lubnan, 1988, Hal: 298.

[38] At-Tarmizi, Muhammad Ibn Isa, Sunan At-Tarmizi, Tahqiq: Ahmad Muhammad Syakir, Dar Al-Hadith, Kaherah, Mesir, t.th, 2: 399, hadith No: 521, 522 dan 523.

[39] Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd Al-Halim, Al-Fatawa Al-Kubra, Tahqiq: Hasanain Muhammad Makhluf Dar Al-Marifah, Beirut, 1386H, 1: 162.

[40] Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Al-Ajwibah An-Nafiah An As’ilah Lujnah Masjid Al-Jamiah, Maktabah Al-Maarif, Riyadh, Arab Saudi, 2000, Hal: 56.

No comments:

Post a Comment