Monday, July 5, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 1


PENILAIAN SEMULA NO: 1

Aliran al-Khalaf bermula selepas tahun 300 atau 500 hijrah.

Dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 9, disebut bahawa:

Penghidupan mereka bermula daripada 500 hijrah mengikut pendapat yang kukuh. Ada pendapat lain yang mengatakan ia bermula daripada 300 tahun selepas hijrah. Ringkasnya, para ulama’ berselisih pendapat mengenainya.

Keterangan ini diulangi oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 15. Kenyataan di atas meletakkan tarikh pembeza antara al-Salaf dan al-Khalaf kepada tahun 500 hijrah. Tarikh pembeza ini dianggap yang terkukuh sekalipun diakui adanya pendapat lain yang mengatakan ianya terletak pada tahun 300 hijrah. Ringkasnya dalam bab ini terdapat perselisihan pendapat di mana yang terkukuh antara dua pendapat ini adalah yang pertama, demikian diisyaratkan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah.

Penilaian semula:

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menggariskan kaedah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan perselisihan pendapat:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisaa’ 4:59]

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa apabila timbul perselisihan pendapat terhadap sesuatu perkara, hendaklah diakhiri perselisihan tersebut dengan merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Kaedah ini menjadi antara manhaj umat Islam yang paling asas dan manhaj inilah juga yang akan digunakan untuk menilai buku Salafiyah Wahabiyah secara keseluruhannya.

Justeru bagi menangani perselisihan pendapat antara tahun 300 dan 500 hijrah, kita merujuk kepada hadis yang sebelum ini telah juga dikemukakan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 2, iaitu sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

خَيْرُكُمْ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.

Sebaik-baik kalian adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada kurun yang mengikutinya.[1]

Dengan merujuk dan membandingkan dengan beberapa hadis yang lain, perkataan “kurun” dalam hadis di atas secara tepatnya merujuk kepada generasi umat. Kurun pertama adalah generasi sahabat, kurun yang mengikutinya adalah generasi tabi‘in dan kurun yang mengikutinya adalah generasi yang menyusul generasi tabi‘in, yang juga dikenali sebagai Atba’ al-Tabi‘in.[2] Berkata Ibrahim al-Baijuri (1277H):

Al-Salaf ialah orang-orang yang terdahulu yang terdiri daripada al-Anbiya’ (khasnya Rasulullah), para sahabat, tabi‘in dan mereka yang mengikuti mereka, khasnya para imam mujtahid yang empat”.[3]

Secara umumnya 3 generasi di atas mewakili 300 tahun yang pertama. Maka apabila disebut generasi al-Salaf sebagai sebaik-baik ikutan, yang dimaksudkan adalah mereka yang hidup pada tahun 300 hijrah yang pertama.

Jika hendak dikatakan tahun 500 hijrah sebagai pembeza antara al-Salaf dan al-Khalaf, timbul persoalan: Apakah dalil yang dijadikan sandaran bagi pembezaan ini ? Penyusun Salafiyah Wahabiyah tidak mengemukakan dalilnya. Jika tidak ada dalil, maka apakah yang akan menghalang seseorang itu untuk mendakwa bahawa tarikh pembeza antara al-Salaf dan al-Khalaf adalah tahun 700 atau 900 atau 1000 hijrah ? Malah boleh juga dikatakan tarikh pembeza itu adalah pada tahun 1500 hijrah yang akan datang sehingga menjadilah umat Islam semuanya sekarang ini sebagai generasi al-Salaf. Hal ini pasti tidak benar.


[1] Sahih: Sebahagian hadis daripada Imran bin Husain radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas adalah dengan lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 3650. (Kitab Fadhilat Sahabat).

[2] Lihat penjelasan Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari (tahqiq: ‘Abd al-Aziz bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut 2000), jld. 7, ms. 351-353, syarah bagi hadis no: 3650.

[3] Tuhfat al-Murid ‘ala Jauharah al-Tauhid oleh Ibrahim al-Baijuri (tahqiq: ‘Abd Allah Muhammad Khalil; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 2001), ms. 231 (Bab Yang terbaik adalah mengikut dan.......). Juga dikemukakan dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 10-11.

No comments:

Post a Comment