Sunday, July 4, 2010

TOHMAHAN KETIGA:(Bahagian 2)

TOHMAHAN KETIGA:(Bahagian 2)


Kedua: Kenapakah Gerakan Dakwah Tersebut Dimomok-Momokkan Sebagai Wahabi?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, jika pegangan Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab itu benar, maka kenapakah ada usaha untuk memomok-momokkan gerakan dakwah beliau dengan gelaran Wahabiyyah itu? Jawapannya:

Pertama:

Wahabi atau Wahabiyyah adalah gelaran yang diberikan oleh musuh-musuh Sunnah ke atas Ahli Sunnah dengan tujuan untuk memomok-momokkan usaha mereka menegakkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Gelaran ini pada mulanya dicetuskan oleh para pendukung khurafat dari kalangan orang Islam sendiri yang tidak bersetuju dengan pegangan Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab itu.

Akan tetapi kesempatan ini diambil oleh pihak penjajah Inggeris untuk memburuk-burukkan gerakan dakwah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, kerana mereka bimbang gerakan itu akan mencetuskan kebangkitan dan kesedaran dunia Islam untuk menentang mereka. Buktinya, pihak Inggeris pernah menggunakan istilah Wahabi ke atas para ulama Deoband (pendukung Sunnah) yang menentang penjajahan mereka di India[15]. Sedangkan para ulama berkenaan tidak ada hubungan langsung dengan Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, melainkan hubungan secara kebetulan dalam bentuk kesatuan manhaj kerana mereka berpijak di atas landasan Sunnah yang sama. Ini bermakna gelaran itu sengaja dipopularkan oleh pihak kolonialis barat untuk memburuk-burukkan sebarang gerakan yang mengancam mereka.

Dalam konteks negara kita, definisi yang diberikan oleh individu-individu tertentu terhadap istilah wahabiyyah itu sendiri menggambarkan kefahaman dan persepsi mereka yang bercanggah, bercampur aduk dan bersimpang siur. Ada yang mendefinisikan Wahabiyyah sebagai kumpulan yang menolak Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tawassul, syafaat dan lain-lain[16]. Ada yang mentakrifkan fahaman Wahabi itu sebagai amalan yang menyifatkan kebanyakan amalan sunat golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan orang Islam di Malaysia tidak perlu[17], dan ada yang mentakrifkannya sebagai satu gerakan yang bertujuan untuk memurnikan perilaku umat Islam yang telah menyimpang daripada tuntutan agama yang sebenar[18]].

Kepelbagaian definisi ini jelas menggambarkan percanggahan persepsi disebabkan perbezaan sumber dan tahap maklumat yang diperolehi. Bandingkanlah definisi-definisi ini dengan petikan kata-kata Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab di atas, seperti katanya yang bermaksud:

“…dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku berpegang dengan pegangan firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk...Aku beriman dengan (adanya) syafaat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bahawa dialah yang pertama memberi syafaat dan yang dibenarkan memberi syafaat, tidak ingkar (kewujudan) syafaat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini melainkan ahli bidah dan golongan sesat”.

Dengan kenyataan seperti ini, maka dapat disimpulkan bahawa faktor di sebalik pendefinisian Wahabiyyah sebagai kumpulan yang menolak Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, syafaat dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah semata-mata kejahilan dan pengkhianatan.

Kedua:

Kembali kepada persoalan di atas, kenapa pula ada usaha dari pihak orang Islam sendiri untuk memomok-momokkan gerakan dakwah islah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab? Jawapannya, persepsi negatif sesetengah pihak terhadap gerakan tersebut berlaku hanya disebabkan oleh dua faktor:

I. Kejahilan mereka tentang pegangan Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab yang sebenar, sedangkan pegangannya itu adalah juga pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dengan perkataan lain pihak yang memburuk-burukkan itu bukan sahaja tidak tahu pegangan sebenar Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, bahkan pada masa yang sama mereka juga tidak tahu apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah..

II. Sebahagian amalan yang dilihat sebagai bidah dan khurafat oleh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab, tidak dianggap sedemikian oleh pihak-pihak yang memusuhinya.

Sebagai contoh bagi faktor kedua di atas, amalan memohon hajat di perkuburan yang dianggap memiliki keramat dilihat oleh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab sebagai perkara khurafat dan kesyirikan yang mirip kepada penyembahan berhala, sedangkan amalan itu tidak dianggap sedemikian oleh sesetengah pihak yang memusuhinya. Dalam konteks ini, seorang ‘tokoh ulama melayu’ semasa berkata:

Perbuatan melawat makam mereka yang utama dan menghadiahkan pahala amalan juga perbuatan yang mulia di sisi Ahli Sunnah, dan berdoa di makam orang itu, dengan barakahnya, maka doa itu boleh dikabulkan dengan segera[19].

Kata-kata ini jelas menunjukkan kepercayaan si penuturnya terhadap kekeramatan makam orang yang dianggap shalih, sehingga dia menganggapnya sebagai wasilah (perantara) untuk dikabulkan doa atau dengan perkataan lain dia ‘bertawassul’ dengan kubur tersebut. Orang yang mengungkapkan kata-kata seumpama ini atau yang telah biasa mengamalkan amalan seumpama itu sudah tentu tidak boleh menerima pendapat Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dalam hal berkenaan. Dalam konteks ini, Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab berkata:

فإن كنتم تزعمون أن هذا ليس هو عبادة الأصنام والأوثان المذكورة في القرآن فهذا من العجب، فإني لا أعلم أحدا من أهل العلم يختلف في ذلك، اللهم إلا أن يكون أحد وقع فيما وقع فيه اليهود من إيمانهم بالجبت والطاغوت...كيف وبعض الذين أنكروا علي هذا الأمر وادعوا أنهم من أهل العلم ملتبسون بالشرك الأكبر ويدعون إليه، ولو يسمعون إنسانا يجرد التوحيد لرموه بالكفر والفسوق، ولكن نعوذ بالله من رضى الناس بسخط الله.

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu sangka bahawa ini bukanlah suatu (bentuk) penyembahan berhala yang disebut dalam Al-Quran, maka ia adalah pelik kerana sesungguhnya aku tidak mengetahui seorang pun dari kalangan ahli ilmu yang berbeza pendapat dalam hal itu. Kecuali, jika berlaku ke atas seseorang itu apa yang telah berlaku ke atas golongan Yahudi dari segi keimanan mereka kepada Al-Jibt Wa At-Taghut (Syaitan)… Kenapa tidak, sedangkan sebahagian daripada mereka yang mengingkari ke atasku perkara ini dan yang mendakwa diri mereka sebagai ahli ilmu, mereka (turut) bergelumang dengan kesyirikan yang paling besar, bahkan mereka menyeru kepadanya. Sekiranya mereka dengar ada seorang insan yang mentajridkan (menunggalkan) tauhid, nescaya mereka melemparkan ke atasnya (tuduhan) kekufuran dan kefasikan, tetapi kami minta berlindung dengan Allah daripada (mendapat) keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah”[20]].

Oleh kerana para pendukung khurafat tiada hujah sahih untuk membuktikan kebenaran amalan bertawassul dengan kubur, selain hujah ‘dengar cakap’ kononnya ia adalah amalan mulia di sisi Ahli Sunnah, mereka tiada pilihan melainkan mengambil pendekatan ‘pertahanan hadapan’ dengan memburuk-burukkan imej Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab supaya masyarakat Islam awal-awal lagi tidak mengambil tahu dalil dan hujah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dalam persoalan itu.

Persoalannya, pendapat siapakah yang benar? Pendapat tokoh yang mendakwa amalan tersebut sebagai mulia di sisi Ahli Sunnah atau pendapat Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab yang mendakwa kesepakatan para ulama tentang kesyirikan amalan berkenaan?

Dalam sebuah risalah berkenaan ajaran sesat yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terdapat kenyataan yang berbunyi:

“Di antara bentuk-bentuk amalan khurafat yang berlaku di kalangan orang Islam di negara ini ialah: (a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat dan sebagainya”[21].

Orang yang ada sedikit kecerdikan sekali pun boleh memahami bahawa kenyataan ini adalah menepati pendapat Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dan menyalahi pendapat tokoh ulama melayu itu. Justeru apakah boleh dikatakan bahawa para penyusun risalah terbitan JAKIM itu terdiri daripada para pengikut fahaman Wahabi, kerana mereka mengeluarkan kenyataan yang menyamai pegangan Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab itu, atau sebaliknya kenyataan itu mengesahkan status ‘tokoh ulama melayu’ berkenaan sebagai pendukung khurafat dan bidah? Jika terbukti bahawa pendapat tokoh ulama melayu itu salah, maka bagaimana dengan dakwaan beliau bahawa pendapatnya itu adalah pendapat Ahli Sunnah? Bukankah ini membuktikan bahawa dakwaan itu merupakan suatu pembohongan dan pengkhianatan ke atas Ahli Sunnah dan seterusnya merupakan pengkhianatan terhadap ajaran agama?

Ketiga: Dari Manakah Asal Usul Gelaran Wahabi?

Jika dilihat dari sudut bahasa, perkataan Wahabiyyah itu sangat quddus (suci) kerana ia berasal daripada perkataan Wahhab yang merupakan salah satu daripada nama Allah Subhanahu wa Ta’ala (Al-Wahhab). Perkataan Wahhab itu juga sinonim dengan nama ayahnya Abd Al-Wahhab, manakala namanya yang sebenar (Muhammad) menyamai nama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika dilihat dari segi kesesuaian nama, sepatutnya gerakan itu digelar Muhammadi dan bukannya Wahabi, kerana orang yang dianggap sebagai pengasas gerakan itu bernama Muhammad dan bukannya Wahhab.

Persoalannya, kenapakah suatu gerakan yang dianggap sesat itu digelar dan dinisbahkan kepada nama Allah yang Maha Quddus, dan juga kenapakah ia dinisbahkan kepada nama ayah dan bukan kepada nama sebenar tokoh berkenaan? Sebenarnya, penulis sendiri sejak sekian lama tertanya-tanya berkenaan hal ini, sehinggalah seorang sahabat mengisyaratkan kepada kewujudan sebuah risalah yang membahaskan persoalan tersebut.

Risalah itu mencatatkan bahawa istilah Wahabiyyah itu pada asalnya adalah gelaran bagi puak-puak Khawarij yang muncul di kawasan Utara Afrika dan Maghribi. Ia dinisbahkan kepada pimpinan puak Khawarij kerajaan Ar-Rustumiyyah bernama Abd Al-Wahhab Ar-Rustumi dan juga pimpinan puak Khawarij Al-Haruriyyah yang bernama Abd Allah Ibn Wahab Al-Wasibi. Kedua-dua puak Khawarij ini muncul lama sebelum kemunculan gerakan dakwah islah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab[22].

Oleh kerana ada persamaan pada nama mereka dari segi kewujudan perkataan wahhab itu, maka persamaan itu, yang lebih merupakan satu “kebetulan”, diambil kesempatan oleh para pendukung bidah untuk mengaitkan gerakan islah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab dengan puak berkenaan. Dengan memberinya gelaran puak Khawarij, maka mereka telah berjaya memburukkan imej gerakan islah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab pada kaca mata sebahagian besar umat Islam yang jahil. Akibatnya, usaha baik yang dilancarkan untuk memurnikan tauhid, membetulkan aqidah dan menghidupkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah disalah anggap sebagai gerakan Khawarij yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Imej gerakan dakwah islah Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab itu menjadi lebih buruk apabila para pendukung bidah dengan niat yang jahat sengaja mengaitkannya dengan faktor kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah Turki (akan dijelaskan dalam perbincangan Tohmahan 7, insyaAllah). Manakala pada hari ini, terutamanya selepas peristiwa 11 September, istilah wahabiyyah digunakan secara negatif pula oleh media-media barat bagi menggambarkan para pendukung Sunnah yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai fundamentalis, ekstrimis, pengganas dan militan agama. Apa yang menyedihkan persepsi negatif barat ini diterima pakai oleh umat Islam sendiri sehingga mereka turut memerhatikan saudara seislam mereka melalui kaca mata barat. Wala Haula Wala Quwwata Illa Billah.

[15] Muhammad Ibn Manzur An-Nu’mani, Di’ayat Mukaththafah Did Syeikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Majalah Al-Muqtataf, vol: 27, Hal: 295, Dalam: ‘Abd Al-’Aziz Ibn Muhammad Ibn ‘Ali Al-’Abd Al-Latif, Da’awa Al-Munawi’in Li Dawah Asy-Syeikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab ‘Ard Wa Naqd, Dar Taibah, Riyadh, Arab Saudi, 1989, Hal: 240.

[16] Uthman Al-Muhammadi, Fahaman Wahhabi Menular, Utusan Malaysia, 26 Nov. 2005.

[17] Mustafa Abdul Rahman, Wahhabi Jejaskan Perpaduan Umat Islam, Utusan Malaysia, 27 Nov. 2005.

[18] Mohd. Shauki Abd Majid, Siapa Wahhabi Sebenar?, Utusan Malaysia, 4 Dis. 2005.

[19] Muhammad Uthman Al-Muhammadi, Tauhid Menentang Syirik Dalam Fahaman Dan Amalan, Himpunan Kertas Kerja Isu Dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2002, Hal: 215.

[20] Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 47.

[21] Haji Mustafa Abdul Rahman, Haji Abdul Hamid Yunus, Haji Zaaba Yusof, Abdul Aziz Jusoh dan Abdul Roni Tahir, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, 2000, Hal: 9-10.

[22] Muhammad ibn Sa’ad Ash-Shuwai’ir, Tashih Khata’ Tarikhi Haula Al-Wahhabiyyah, 1413H, Hal: 4, Dalam Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 36.

No comments:

Post a Comment