Sunday, September 12, 2010

Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘ari dan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah

Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘ari

dan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah

Pengenalan.

‘Ali bin Ismail bin Ishaq, Abu al-Hasan al-Asya‘ari adalah seorang tokoh besar dunia Islam pada kurun ke 4 Hijrah. Lahir di Basrah pada tahun 260H, beliau pada awalnya mengikuti fahaman al-Mu’tazilah akan tetapi akhirnya telah kembali ke fahaman al-Salaf yang asli. Hal ini terbukti sendiri dalam karangan Abu al-Hasan al-Asya‘ari yang terakhir yang berjudul al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah dan juga berdasarkan kajian para sejarahwan. Abu al-Hasan al-Asya‘ari meninggal dunia di Baghdad pada tahun 324H.[1]

Banyak orang masa kini mendefinisikan kumpulan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah sebagai apa yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Asya‘ari. Hal ini adalah jelas tidak benar kerana Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah seseorang yang berada di atas jalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat, tabi‘in sehinggalah ke para imam mujtahid yang empat radiallahu ‘anhum. Mereka inilah yang menjadi asas Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Abu al-Hasan al-Asya‘ari termasuk dalam kumpulan ini dan beliau bukanlah pengasasnya. Apa yang dilakukan oleh al-Asya‘ari adalah menyenaraikan asas-asas Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan mempertahankannya daripada pelbagai aliran lain yang wujud di zaman beliau.[2]

Yang lebih buruk adalah apabila banyak orang mendakwa diri mereka sebagai pengikut Abu al-Hasan al-Asya‘ari (Mazhab Al-Asya‘irah) tetapi mereka tidak mengenali ajaran dan pegangan Abu al-Hasan al-Asya‘ari. Sebahagian lain menjurus kepada kesilapan yang lebih berat dengan mendakwa kitab al-Ibanah bukanlah merupakan karangan beliau yang sebenar.

Penyusun Salafiyah Wahabiyah adalah antara orang yang menolak kembalinya Abu al-Hasan al-Asya‘ari kepada fahaman al-Salaf dan menganggap bahawa kitab al-Ibanah bukanlah merupakan karangan aslinya. Beliau telah mengemukakan sejumlah hujah untuk membenar dan menyokong dakwaannya.[3] Berikut dikemukakan secara ringkas nota-nota penting yang beliau kemukakan dan penilaian semula terhadapnya.


[1] Lebih lanjut tentang biografi Abu al-Hasan al-Asya‘ari, lihat:

1. Ibn ‘Asakir – Tabyin Kazbu al-Muftari fi Ma Nusiba ila Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari (tahqiq: Zahid al-Kauthari; Dar al-Fikir al-Mu‘asir, Beirut 1347H & 1399H.

2. Ibn al-Jauzi – al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Imam (tahqiq: Muhammad & Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.), jld. 14, ms. 29-30, biografi no: 2459.

3. Ibn al-Solah – Tabaqat al-Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah (tahqiq: Muhyi al-Din ‘Ali Najib; Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, Beirut 1996), jld. 2, ms. 204-206, biografi no: 235.

4. al-Dzahabi – Tarikh al-Islami (tahqiq: ‘Umar ‘Abd al-Salam; Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut 1994), jld. 24, ms. 154-158, biografi no: 183.

5. al-Subki - Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra (tahqiq: Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah 1999), jld. 2, ms. 251-314, biografi no: 223.

Dari sumber terjemahan, lihat:

1. The Exposure of The Calumniator’s Lying Concerning What Has Been Imputed to The Imam Abu’L-Hasan al-Ash‘ari, terjemahan ringkas kitab Tabyin Kazbu al-Muftari fi Ma Nusiba ila Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari oleh Richard J. McCarthy, dimuatkan dalam buku The Theology of Al-Ash‘ari (Imprimerie Catholique, Beirut 1953), ms. 145-207.

2. Rasul Dahri – ‘Aqidah Ahli as-Sunnah wal Jamaah mengikut Manhaj al-Salaf as-Soleh (Jahabersa 2001), ms. 251-264.

3. Nuh Ha Min Keller – Reliance of the Traveller (Amana Publications, Maryland 1994), ms. 1030 (Biographical notes).

[2] Demikian penjelasan al-Baihaqi sebagai nukil Ibn ‘Asakir dalam Tabyin Kazbu al-Muftari fi Ma Nusiba ila Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari, ms. 103-104. Lihat juga mukasurat 113 dan 117.

Orang-orang yang mendakwa Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Asya‘ari tidak menyedari kemudaratan yang terbawa bersama dakwaan tersebut, di mana ia membawa erti Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah satu mazhab yang baru (bid‘ah) yang hanya lahir mulai tahun 300 Hijrah sementara Mazhab Syi‘ah Rafidhah adalah mazhab yang asal lagi pertama.

[3] Hujah-hujah ini asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam ulasan beliau ke atas kitab karya al-Dzahabi – al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar (Dar Imam al-Nawawi; Amman 1998), ms. 511, notakaki 1044.

No comments:

Post a Comment