Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 28

PENILAIAN SEMULA NO: 28

Kesimpulan Manhaj al-Salaf tentang nas-nas al-Sifat.

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 60 sebagai kesimpulan perbahasan Bab Kedua tentang manhaj al-Salaf terhadap nas-nas al-Sifat:

Cukuplah 12 dalil keharusan mentakwil bagi membuktikan bahawa takwil itu sebagai satu kepastian yang tidak dapat disangsi lagi. Aliran al-Asya‘irah hanya meneruskan metodologi ulama’ al-Salaf al-Soleh ini. Tetapi kita sangsi, apakah al-Salafiyah al-Wahabiyah itu benar-benar mengikut al-Salafi al-Zamani atau label sahaja yang mereka hajati. Ini kerana mereka bukan sahaja menyerang takwilan al-Asya‘irah, malahan dasar takwilan yang benar daripada al-Salaf pun mereka berani menafikan. Jelasnya, mereka lebih suka mengikut pendapat Ibn Taimiyah daripada mengikut pendapat ulama’ Salafi yang asli.

Apa yang membimbangkan kita ialah keupayaan golongan al-Wahabiyah ini di dalam menggunakan “label” al-Salafi. Ternyata strategi ini mampu memperdaya dan mengelirukan orang ramai. Semoga dengan hujah kami dan sikap al-Wahabiyah itu sendiri mampu dinilai oleh para pembaca untuk mengeluarkan satu natijah bahawa al-Salafiyah al-Wahabiyah bukannya berasal daripada al-Salafi. la tidak lebih daripada dakwaan semata-mata. Ini kerana mereka itu secara terang-terangan menolak dasar al-Salafi. Kalaulah ia benar... buktikanlah wahai saudara seagamaku, ulama’ salafi yang manakah bermanhaj al-Salafiyah yang ada sekarang. Kaedah manakah yang digunakan oleh al-Salafiyah menepati kaedah yang digunakan oleh al-Salaf al-Soleh?.

Penilaian semula:

Alhamdulillah kita telahpun menilai kesemua 12 dalil, malah lebih lagi daripada apa yang dijadikan hujah oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah bahawa kononnya generasi al-Salaf telah mempraktikkan al-Takwil terhadap nas-nas al-Sifat. Yang jelas kepada kita semua adalah:

1. Penyusun Salafiyah Wahabiyah gagal untuk membuktikan bahawa al-Qur’an telah mengarah atau mengisyaratkan bahawa nas-nas al-Sifat adalah satu majaziyah (kiasan) yang perlu ditakwilkan.

2. Penyusun Salafiyah Wahabiyah gagal untuk membuktikan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai penjelas al-Qur’an telah mentakwil dengan takwil pengalihan lafaz terhadap nas-nas al-Sifat.

3. Penyusun Salafiyah Wahabiyah gagal untuk membuktikan bahawa generasi al-Salaf telah berpegang (i’tiqad) kepada kaedah Takwil pengalihan lafaz terhadap nas-nas al-Sifat.

4. Penyusun Salafiyah Wahabiyah sering keliru dan cuba mengelirukan orang ramai antara beberapa jenis al-Takwil yang sedia ada, iaitu (1) takwil penafsiran maksud dan (2) takwil pengalihan lafaz.

5. Penyusun Salafiyah Wahabiyah juga sering menyelewengkan fakta dan berbuat dusta semata-mata untuk membenarkan hujahnya. Namun jelas bahawa dengan segala permainan kotor ini beliau masih gagal untuk membuktikan bahawa generasi al-Salaf telah mempraktikkan takwil pengalihan lafaz terhadap nas-nas al-Sifat.

Kegagalan penyusun Salafiyah Wahabiyah menjadi hujah bagi seluruh umat Islam bahawa nas-nas al-Sifat sebenarnya tidak harus ditakwilkan dengan takwil pengalihan lafaz. Ini adalah merupakan manhaj dan pegangan (i‘tiqad) generasi al-Salaf dan inilah juga seharusnya menjadi manhaj dan pegangan kita.

Kepada penyusun Salafiyah Wahabiyah, sudilah menerima nasihat daripada penulis ke atas kegagalan anda dalam subjek ini. Penulis tidak akan mengarang apa-apa kata nasihat yang baru melainkan cukuplah dengan menggunakan nasihat anda sendiri kerana ia adalah setepat-tepat nasihat yang dapat difikirkan khas untuk anda:

Wahai saudaraku, bertenang dan renunglah…tidak ada hasilnya jika kita hanya bijak menghukum tanpa usul periksa. Kelak nanti…padah yang lebih buruk menimpa kita. Kita menuduh orang lain sesat, jangan-jangan kita yang menyesatkan mereka. Sedarlah… pujian dunia takkan kemana…di akhirat nanti makhkamah keadilan yang menanti. Kepada Allahlah kita kembali. Mudah-mudahan saudaraku seislam dibukakan pintu hati. Insya Allah. (Salafiyah Wahabiyah, ms. 64)

Amin Ya Rabb al-‘Alamin.

Di samping itu diminta saudara Zamihan Mat Zin merenung kembali pegangan (i’tiqad) anda dalam subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat kerana daripada zahir tulisan yang terdapat dalam buku Salafiyah Wahabiyah, jelas terdapat kenyataan-kenyataan yang mengarah kepada kekufuran. Hal ini sepertimana yang telah dibahas dalam PENILAIAN SEMULA NO: 24 & 26.

Kepada para pembaca yang budiman, anda harus mengenali dan membezakan dengan tepat antara jenis-jenis al-Takwil yang sedia ada. Ini adalah kerana dari masa ke masa orang-orang yang mendakwa generasi al-Salaf melakukan al-Takwil akan sentiasa wujud dan mereka tidak akan memiliki sebarang hujah melainkan cuba mengelirukan antara jenis-jenis al-Takwil yang ada. Maka bezakanlah:

[1] Adakah dakwaan al-Takwil tersebut melibatkan salah satu daripada sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla ?

[2] Jika ya, adakah ia merupakan takwil pengalihan lafaz atau takwil penafsiran maksud ?

No comments:

Post a Comment