Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 23

PENILAIAN SEMULA NO: 23

Dakwaan al-Takwil terhadap perkataan Kaki.

Dalam sebuah hadisnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

لاَ تَزَالُ جَهَنَّمُ تَقُولُ: هَلْ مِنْ مَزِيدٍ، حَتَّىَ يَضَعَ فِيهَا رَبُّ الْعِزَّةِ، تَبَارَكَ وَتَعَالَىَ قَدَمَهُ.

فَتَقُولُ: قَطْ قَطْ، وَعِزَّتِكَ. وَيُزْوَىَ بَعْضُهَا إِلَىَ بَعْضٍ.

Tidaklah penuh neraka jahannam melainkan ia berkata: “Adakah lagi untuk ditambah ?” sehinggalah Allah Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Memberkati dan Maha Tinggi meletakkan kaki-Nya ke dalam neraka.

Maka berkata neraka: “Cukup, cukup, demi Keagungan-Mu” sehinggalah sebahagian neraka dilipat

(memenuhi) sebahagian yang lain. [1]

Terhadap hadis ini disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 48:

Imam al-Hafiz al-Baihaqi sekali lagi membuktikan kepada kita bahawa takwil itu adalah sesuatu yang diterima di kalangan ulama’ hadith. Di dalam kitab “Asma’ Wa al-Sifat” (ms. 352), beliau menceritakan bahawa al-Imam al-Hafiz al-Lughawi al-Nadr Ibn Syumail (salah seorang daripada perawi kitab Hadith yang enam) telah mentakwilkan hadith:

( حتى يضع الجبار فيها قدمه .... )

Nas ini secara zahirnya bermaksud; “sehingga Allah meletak kaki-Nya di dalam neraka). Makna yang zahir ini ditakwilkan dengan makna

( من سبق فى علمه أنه من أهل النار )

Maksudnya: “orang-orang yang telah diketahui-Nya bahawa sesungguhnya dia adalah ahli neraka.”

Disamping itu, Imam Abu Mansur al-Azhari juga sependapat dengan Imam al-Nadr. Hadith ini juga sebenarnya telah diriwayatkan oleh Imam al-Hafiz Ibn al-Jauzi di dalam kitab “Daf’u Syubhah al-Tasybih” melalui riwayat yang berbunyi “Abu Ubaid al-Harawi telah menceritakan (pengarang Gharib al-Qur’an Wa al-Hadith) daripada Hassan al-Basri katanya: “Perkara yang dimaksudkan dengan Kaki itu ialah mereka yang diketahui oleh Allah tentang kejahatannya”.

Oleh itu melalui riwayat ini, nyata kepada kita bahawa al-Imam Hassan al-Basri juga mengakui kesahihan takwil, bahkan turut sama mentakwil.[2]

Penilaian semula:

al-Baihaqi telah mengemukakan riwayat di atas seperti berikut:[3]

قال الشيخ أحمد: وفيها كتب إلي أبو نصر من كتاب أبي الحسن بن مهدي الطبري حكاية عن النضر بن شميل

أن معنى قوله (( حتى يضع الجبار فيها قدمه )) أي من سبق فى علمه أنه من أهل النار.

Sekali imbas kepada sanad yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi di atas telah cukup untuk mengisyaratkan kedha‘ifannya, selari dengan ilmu Akhlak al-Rawi wa Adab al-Samii’ iaitu suatu ilmu yang berkaitan akhlak seseorang perawi hadis dan kaedah menyampai, mendengar dan menerima hadis antara perawi.

Ini adalah kerana al-Baihaqi telah memulakan riwayat di atas dengan perkataan:

“Berkata al-Shaikh Ahmad……”.

Ini menandakan bahawa al-Baihaqi tidak menerima riwayat ini secara terus daripada Shaikh Ahmad melainkan melalui jalan lain yang tidak disebutnya. Jika al-Baihaqi menerima sesebuah hadis secara terus daripada seseorang perawi, beliau akan menyebut “Haddathana” yang bererti “di sampaikan hadis ini kepada kami” atau “Akhbarana” yang bererti “dikhabarkan kepada kami”. Dua cara penerimaan hadis ini biasa digunakan oleh al-Baihaqi dalam semua kitab-kitabnya.

Selain itu, Abi al-Hasan bin Mahdi pula menghubungkan sanad ini kepada al-Nadr bin Syumail dengan kata:

“Dihikayatkan daripada al-Nadr bin Syumail”.

Sekali lagi ini menandakan bahawa Abi al-Hasan tidak menerima riwayat ini secara terus daripada al-Nadr melainkan beliau mendengar seseorang menghikayatkannya, yakni menceritakannya.

Dua kecacatan ini sudah cukup untuk mengisyaratkan kedha‘ifan sanad di atas. Hal ini nampaknya diketahui oleh al-Baihaqi dan pengulas kitab, iaitu Zahid al-Kauthari. Mereka berdua mendiamkan sahaja sanad ini tanpa sebarang ulasan.

Selain itu dipohon jasa baik penyusun Salafiyah Wahabiyah untuk mengemukakan kepada kami biografi dan status al-Jarh wa al-Ta’dil bagi:

[1] Shaikh Ahmad,

[2] Abu Nasr, dan

[3] Abi al-Hasan bin Mahdi al-Tabari.

Di waktu yang sama diminta penyusun Salafiyah Wahabiyah menjelaskan status sanad yang dikeluarkan oleh Ibn al-Jauzi atau Abu Ubaid al-Harawi daripada Hasan al-Basri mengenai takwilan sifat Kaki. Ibn al-Jauzi (597H)[4] hanya menyebut dalam kitabnya Daf’u Syubhat Tasybih, ms. 170, hadis no: 11:

وقد حكى أبو عبيد الهروي عن الحسن البصري أنه قال: القدم: هم الذين قدمهم الله تعلى من شرار خلقه وأثبتهم لها.

Dan telah dihikayatkan oleh Abu ‘Ubaid al-Harawi daripada al-Hasan al-Basri bahawa dia berkata: “Kaki: ia adalah mereka yang telah diketahui oleh Allah tentang kejahatan yang dilakukan dan menetapkan mereka dengan (kejahatan) mereka”

Di atas hanyalah satu hikayat. Statusnya didiamkan oleh al-Saqqaf tanpa mensahih atau mendha‘ifkannya kerana ia tidak memiliki sanad. Diminta penyusun Salafiyah Wahabiyah mengesahkan kebenaran riwayat di atas kerana tanpa pengesahan ia hanyalah satu hikayat yang dihikayatkan.

Di sini jelas kelihatan sikap penyusun Salafiyah Wahabiyah yang dengan penuh semangat akan mengemukakan sesebuah athar sebagai hujah tanpa mengambil kira sama ada ia memiliki sanad atau tidak, apatah lagi untuk menilai sama ada sanad tersebut adalah sahih atau tidak. Ini adalah satu sikap yang sangat tidak ilmiah lagi tidak bertanggung-jawab.

Penjelasan Tambahan:

Sebenarnya terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu sama ada perkataan qaf-dal-mim: adakah ia merupakan salah satu sifat Allah atau tidak. Dalam hal ini ada beberapa pendapat:[5]

1. Bahawa ia adalah satu sifat Allah yang bererti Kaki tanpa diumpamakan dengan Kaki makhluk. Hadis tersebut disampaikan bukan untuk dibahas tentang bagaimana dan seperti apa sifat Kaki tersebut tetapi adalah dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa neraka akan sesak dipenuhi dengan ahlinya manakala syurga sentiasa memiliki ruang yang luas lagi selesa untuk menerima sesiapa jua yang layak tanpa penuh sesak. Oleh itu janganlah hendaknya para hamba Allah berputus asa daripada berusaha menempah tempat di dalam syurga.

2. Bahawa ia adalah satu makhluk yang Allah cipta di Hari Kiamat khas untuk memastikan neraka penuh dengan orang kafir. Makhluk ini bukan merupakan sifat Allah.

3. Bahawa ia adalah satu tempat khas di dalam neraka yang Allah sediakan bagi orang-orang yang kafir dan bermaksiat kepada Allah.

Yang terakhir (no: 3) adalah merupakan pendapat Abu Hatim (277H) kerana perkataan Qaf-dal-min dalam lughah Arab adakalanya digunakan untuk menunjukkan sesuatu tempat. Hal ini dinukil oleh Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya:[6]

قال أبو حاتم: هذا الخبر من الأخبار التي أطلقت بتمثيل المجاورة, وذلك أن يوم القيامة يلقى في النار من الأمم والأمكنة التي عصي الله عليها, فلا تزال تستزيد حتى يضع الرب جل وعلا موضعا من الكفار والأمكنة في النار, فتمتلىء, فتقول قط قط, تريد: حسبي حسبي,

لأن العرب تطلق في لغتها اسم القدم على الموضع. قال الله جل وعلا: ((لهم قدم صدق عند ربهم)) يريد: موضع صدق,

لا أن الله جل وعلا يضع قدمه في النار, جل ربنا وتعالى عن مثل هذا وأشباهه.

Berkata Abu Hatim: Hadis ini adalah satu daripada hadis-hadis yang disebut dengan perumpamaan (penyamaan) yang menghampiri (dengan sifat makhluk). Ia sebenarnya mengkhabarkan suatu peristiwa’ di Hari Kiamat di mana akan dicampakkan ke dalam neraka orang-orang yang berbuat maksiat dan tempat-tempat yang (di dalamnya) dilakukan maksiat terhadap Allah. Ia sentiasa meminta agar ditambah orang-orang kafir dan tempat-tempat maksiat sehingga Allah yang Maha Mulia dan Maha Tinggi meletakkan satu tempat khas (untuk mereka). Maka penuhlah neraka itu sehinggalah ia berkata “Qat-qat” yang bererti: “Cukup, cukup”.

Kerana sesungguhnya dalam bahasa Arab adakalanya disebut “al-Qadamu” sebagai mewakili “tempat”. (Contohnya adalah) firman Allah yang Maha Mulia dan Maha Tinggi: “Bahwa mereka mempunyai tempat yang benar di sisi Tuhan mereka.” [Yunus 10:02] yang bermaksud tempat yang khas bagi orang yang jujur.

Tidaklah Allah yang Maha Mulia dan Maha Tinggi meletakkan kaki-Nya ke dalam neraka, Maha Mulia dan Maha Tinggi Tuhan kami daripada berbuat sedemikian atau menyerupa sedemikian (seperti perbuatan makhluk).

Ketiga-tiga pendapat ini sengaja penulis perincikan kerana Hasan al-Saqqaf dalam Daf’u Syubhat Tasybih, ms. 17, contoh no: 13 telah mengemukakan kata-kata Abu Hatim di atas sebagai salah satu bukti generasi al-Salaf melakukan al-Takwil. Contoh al-Saqqaf ini tidak dikemukakan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah. Di sini al-Saqqaf telah melakukan tiga kesilapan:

1. al-Saqqaf berkata yang melakukan al-Takwil tersebut ialah Ibn Hibban padahal yang benar adalah Abu Hatim. Ibn Hibban hanya menukil pendapat beliau dalam kitab Sahihnya.

2. Ibn Hibban tidak mengemukakan sanad yang bersambung kepada Abu Hatim.

3. Seandainya ia memiliki sanad yang sahih, al-Takwil yang dilakukan oleh Abu Hatim tidaklah melibatkan takwil pengalihan lafaz. Beliau hanya menerangkan bahawa perkataan Qaf-dal-mim dalam lughah Arab memiliki dua erti, salah satu daripadanya bermaksud tempat dan beliau menguatkan erti ini daripada erti Kaki. Maka Abu Hatim sebenarnya hanya melakukan takwil penafsiran maksud.


[1] Sahih: Hadis daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2848 (Kitab Syurga, nikmat dan sifat ahlinya, Bab Neraka akan dimasuki oleh orang yang angkuh.......).

[2] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 159, no: 09 dan Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 15, no: 09.

[3] Rujukan seperti yang disebut dalam Salafiyah Wahabiyah, iaitu al-Asma’ wa al-Sifat li al-Baihaqi, ms. 352 (Bab Apa yang disebut tentang Telapak dan Kaki).

[4] Beliau ialah Abd al-Rahman bin ‘Ali ibn al-Jauzi, seorang tokoh yang terkenal dalam Mazhab Hanbali, khasnya dalam bidang hadis. Antara karya beliau yang terkenal yang telah diterjemahkan ialah Talbis Iblis. Meninggal dunia pada tahun 597H di Baghdad.

[5] Lihat buku Zain al-Din al-Maqdisi – Aqawel al-Thiqat fi Al-Takwil al-Asma’ wa al-Sifat wa Ayat al-Muhkamat wa al-Mutasyabihat (tahqiq: Syu‘aib al-Arna’uth; Muassasah al-Risalah, Beirut 1985), ms. 176-181.

[6] Sahih Ibn Hibban (tahqiq: Syu‘aib al-Arna’uth; Muassasah al-Risalah, Beirut 1997), jld. 1, ms. 502.

No comments:

Post a Comment