Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 20

PENILAIAN SEMULA NO: 20

Dakwaan takwilan Ibn ‘Abbas terhadap surah “al-Nasr”.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. [al-Nasr 110:01]

Terhadap ayat ini Amirul Mukminin Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma tentang maksudnya. Lalu Ibn ‘Abbas menerangkan:

“Ia adalah petanda tentang ajal Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang diberitahukan Allah kepada baginda. Allah berfirman: (Wahai Muhammad) Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan maka ia adalah petanda ajal engkau, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhan engkau dan mohon ampunlah sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.” Maka berkata ‘Umar: “Tidak aku ketahui tentangnya kecuali setelah apa yang engkau terangkan.”[1]

Terhadap penjelasan Ibn ‘Abbas di atas, penyusun Salafiyah Wahabiyah, ms. 43 menukil kata-kata Ibn Hajar al-‘Asqalani:

Di dalam menerangkan hadith ini, Imam lbn Hajr al-Asqalani (Fath al-Bari, Dar al-Fikir ms. 762, jid. 9)[2] menjelaskan kepada kita bahawa: “Ini adalah satu kelebihan bagi lbn ‘Abbas dan ia merupakan jawapan kepada doa Nabi s.a.w. supaya Allah mengajar kepadanya takwil dan menjadi ahli Fiqh yang alim dalam urusan agama ... dan katanya lagi “disini juga adalah menjadi satu petanda bahawa dibolehkan mentakwil al-Qur'an daripada apa yang difahami daripada isyarat-isyaratnya. Sesungguhnya orang yang mengharuskan takwil ini ialah orang-orang yang mendalam ilmunya.”

Penilaian semula:

al-Takwil yang dilakukan oleh Ibn ‘Abbas dan yang diterangkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani adalah takwil penafsiran maksud dan bukannya takwil pengalihan lafaz. Lebih dari itu takwilan Ibn ‘Abbas tersebut tidak melibatkan sifat Allah ‘Azza wa Jalla.


[1] Sahih: Ringkasan hadis daripada Sahih al-Bukhari – no: 4970 (Kitab Tafsir, Surah al-Nasr: Apabila datang pertolongan Allah.....).

[2] Bagi edisi Dar al-Ma‘arif, lihat jld. 8, ms. 736 (syarah bagi hadis no: 4970 (Kitab Tafsir, Surah al-Nasr: Apabila datang pertolongan Allah.....) ).

No comments:

Post a Comment