Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 27

PENILAIAN SEMULA NO: 27

Dakwaan al-Asya‘ari mengamalkan al-Takwil.

Dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 52 telah dinukil sebahagian daripada tulisan al-Asya‘ari daripada kitabnya al-Ibanah:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu beristiwa’ di Arasy mengikut apa yang difirman dan makna yang dimaksudkan-Nya. Istiwa itu maha suci daripada bersentuh, menetap, mengambil tempat, menjelma dan berpindah. Dia tidak menanggung ‘Arasy’. Tetapi Arasy dan penanggungnya (malaikat) itu ditanggung Qudrat-Nya, kesemuanya itu dikuasai di dalam genggaman-Nya. Sesungguhnya Dia di atas Arasy dan di atas setiap sesuatu kepada sempadan bintang Surayya. Tinggi yang tidak lebih hampir kepada Arasy dan langit, bahkan darjat-Nya daripada Arasy sebagaimana tinggi darjat Surayya daripada Arasy. Dia hampir kepada setiap yang ada lebih hampir kepada hamba daripada kerongkong. Dia maha menyaksikan atas tiap-tiap sesuatu.”

Nukilan di atas kemudian diulas oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah:

Sememangnya takwil Imam al-Asya‘ari ini masyhur di dalam kitabnya “al-Ibanah”. Iaitu kitab yang dikatakan pertama kali ditulis oleh Imam Abu Hassan al-Asya‘ari.

Seterusnya penyusun Salafiyah Wahabiyah telah mendakwa bahawa bahagian yang dicondongkan (italic) dari kata-kata Abu al-Hasan al-Asya‘ari di atas telah dibuang dalam sesetengah cetakan kitab al-Ibanah (Salafiyah Wahabiyah ms. 52-53 & notakaki 11). Beliau kemudiannya berkata:

Mengapa hal ini boleh berlaku sedangkan pengarangnya hanya seorang.

Penilaian semula:

Berikut dikemukakan teks Arab yang sebenar sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Saqqaf[1] diikuti dengan terjemahannya:

وأن الله تعلى استوى على العرش على الوجه الذي قاله وبالمعنى الذي أراده, استواء منزها عن المماسة والاستقرار والتمكن والحلول والانتقال, لا يحمله العرش بل العرش وحملته محمولون بلطف قدرته, ومقهورون في قبضته, وهو فوق العرش وفوق كل شيء إلى تخوم الثرى, فوقية لا تزيده قربا إلى العرش والسماء, بل هو رفيع الدرجات عن العرش كما أنه رفيع الدرجات عن الثرى وهو مع ذلك قريب من كل موجود وهو أقرب إلى العبد من حبل الوريد وهو على كل شيء شهيد.

“Sesungguhnya Allah Ta’ala Beristiwa’ Di Atas ‘Arasy sebagaimana yang difirmankan dan dengan makna yang dikehendaki-Nya. Istiwa’ tersebut maha suci daripada bersentuh, menetap, mengambil tempat, menjelma dan berpindah. Dia tidak ditanggung oleh ‘Arasy bahkan ‘Arasy dan penanggungnya (para malaikat) ditanggung oleh Kudrat-Nya, kesemuanya itu dikuasai di dalam Genggaman-Nya. Sesungguhnya Dia Di Atas ‘Arasy dan di atas setiap sesuatu kepada sempadan bintang Surayya. Sifat Atas tersebut tidak menghampirkan-Nya kepada ‘Arasy dan langit, bahkan Darjat-Nya lebih tinggi daripada ‘Arasy dan Surayya. Dia hampir kepada setiap sesuatu, malah lebih kepada urat leher seseorang hamba. Dan Dia Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

Bahagian yang dicondongkan (italic) dari kata-kata Abu al-Hasan al-Asya‘ari tidak wujud dalam naskah Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian yang ada di tangan penulis. Merujuk kepada tulisan asal, al-Saqqaf telah menghitamkan (bold) bahagian teks yang dimaksudkan sebagai yang telah ditakwil oleh al-Asya‘ari. Bahagian teks yang dimaksudkan adalah:

[1] Istiwa’ tersebut maha suci daripada bersentuh, menetap, mengambil tempat, menjelma dan berpindah.

[2] Sifat Atas tersebut tidak menghampirkan-Nya kepada ‘Arasy dan langit.

Yang dilakukan oleh al-Asya‘ari dalam dua teks di atas bukanlah mentakwilkannya tetapi adalah mentanzihkannya, bererti menyuci dan mengagungkan sifat Istiwa’ dan Fauqa daripada tasybih dan tajsim.

Diulangi di sini supaya lebih jelas kepada para pembaca, bahawa al-Takwil adalah mengalihkan lafaz sesuatu nas al-Sifat kepada maksud yang lain manakala al-Tanzih adalah menyucikan sesuatu nas al-Sifat daripada tasybih dan tajsim. al-Tanzih dapat dilakukan tanpa al-Takwil. Hal ini jelas daripada kata-kata al-Asya‘ari di atas di mana beliau hanya melakukan al-Tanzih dengan mengekalkan istilah Istiwa’ dan Fauqa tanpa mentakwilkannya kepada lafaz lain.

Mengenai masalah sesetengah cetakan yang tidak sama kandungan teksnya maka masalahnya bukanlah berapa orang yang bernama Abu al-Hasan al-Asya‘ari tetapi adalah berapa orang yang menyalin daripada Abu al-Hasan al-Asya‘ari. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini perbezaan memang adakalanya wujud dalam naskah-naskah manuskrip yang asal. Maka kaedah sebenar bukanlah melulu membuat tuduhan tetapi bersikap dewasa dengan menyemak dan membanding sesama manuskrip kerana ada sesetengah manuskrip yang lengkap, ada yang ringkas dan ada yang disertai dengan nota tambahan.

Menarik untuk diperhatikan kata-kata penyusun Salafiyah Wahabiyah: “Sememangnya al-Takwil Imam al-Asya‘ari ini masyhur di dalam kitabnya “al-Ibanah”. Iaitu kitab yang dikatakan pertama kali ditulis oleh Imam Abu Hassan al-Asya‘ari” padahal dalam buku yang sama di mukasurat sebelahnya (ms. 53) beliau menulis:

Bagi saya, kitab “al-Ibanah” sebagaimana yang dimasyhurkan bukanlah hasil tulisan daripada Abu Hasan al-Asya‘ari. Sebaliknya ia adalah kitab yang sengaja di ada-adakan oleh pihak mujassimah al-Hanabilah.

Perhatikan bahawa:

1. Pada awalnya penyusun Salafiyah Wahabiyah mendakwa bahawa kitab al-Ibanah adalah yang “pertama kali ditulis oleh” al-Asya‘ari. Akan tetapi kemudiannya beliau mendakwa kitab al-Ibanah adalah “bukanlah hasil tulisan” al-Asya‘ari. Jelas berlaku pertentangan yang kedua-duanya menunjukkan sikap penyusun Salafiyah Wahabiyah yang hanya menuduh berdasarkan teori batil dan bukannya fakta sahih.

2. Penyusun Salafiyah Wahabiyah mendakwa kitab al-Ibanah adalah sesuatu yang “sengaja di ada-adakan”. Jika demikian dakwaan beliau maka kenapakah pada asalnya digunakan nukilan daripada kitab al-Ibanah sebagai bukti al-Asya‘ari melakukan takwil ? Apakah penyusun Salafiyah Wahabiyah menggunakan sumber yang “diada-adakan” sebagai hujah membuktikan sesuatu perkara ? Hal ini pasti sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh para penegak kebenaran.

3. Penyusun Salafiyah Wahabiyah juga mendakwa bahawa yang “mengada-adakan” kitab al-Ibanah adalah “pihak mujassimah al-Hanabilah”. Jika inilah dakwaan beliau, maka kenapakah sumber al-Mujassimah al-Hanabilah dikemukakan sebagai hujah untuk membuktikan al-Takwil ? Di sini jelas kelihatan kekeliruan dan kebatilan metode penghujahan penyusun Salafiyah Wahabiyah.

4. Kekeliruan ini akhirnya memuncak ke tahap maksimum apabila beliau seterusnya (Salafiyah Wahabiyah ms. 56) mendakwa bahawa kitab al-Ibanah sebenarnya dikarang oleh al-Qadhi al-Baqilani. Dalam hanya 5 mukasurat (ms. 52-56) penyusun Salafiyah Wahabiyah telah memiliki 3 pendapat yang berbeza tentang siapakah pengarang sebenar kitab al-Ibanah.


[1] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 19, dan ms. 126. Juga di dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 163.

No comments:

Post a Comment