Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 24

PENILAIAN SEMULA NO: 24

Dakwaan al-Takwil terhadap perkataan “Baru”.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Tidak datang kepada mereka suatu ayat Al Qur'an pun yang baru (diturunkan) dari Tuhan mereka, melainkan mereka mendengarnya, sedang mereka bermain-main. [al-Anbiyaa’ 21:02]

Berkenaan ayat ini ada segelintir yang berkata al-Qur’an adalah makhluk kerana ia “baru diturunkan”. Namun terang para tokoh al-Salaf seperti Hisyam bin Ubaidullah al-Razi (221H) dan Ahmad bin Hanbal (241H), al-Qur’an itu hanyalah baru di sisi kita (manusia) dan tidak baru di sisi Allah. Hal ini telah diungkap oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah ms. 49-50 dan beliau mendakwa dua tokoh al-Salaf di atas telah melakukan takwil pengalihan lafaz. Berikut disalin hujah beliau:

Maka Hisyam menjawab: “Yang dimaksudkan dengan baru disini ialah ‘baru kepada kita dan bukannya al-Qur'an itu baru disisi Allah.’”[1]

Tentang ayat ini juga, Imam Ibn Kathir di dalam “al-Bidayah Wa al-Nihayah” (m.s. 327, jld. 1)[2] memaparkan kepada kita tentang takwilan Imam Ahmad melalui riwayat Abi al-Hassan al-Maimuni bahawa Imam Ahmad menjelaskan “boleh jadi turunnya al-Qur’an kepada kita itu baru, tetapi al-Qur’an itu bukanlah sesuatu yang baru.”

Sebagai kesimpulan, Imam Ahmad tidak menggunakan makna yang zahir di dalam memberi maksud ayat. Justeru itu beliau memalingkan lafaz daripada makna zahir kepada makna lain yang diterima oleh logik akal dan naqal. Hal ini penting untuk mengelakkan daripada berlakunya tasybih (penyerupaan). Oleh itu, perpalingan daripada makna zahir kepada makna yang lain itulah kita namakan sebagai takwil.[3]

Penilaian semula:

Kenyataan di atas akan dinilai semula secara ringkas dalam tiga bahagian:

Pertama:

Kedua-dua nukilan daripada Hisyam bin Ubaidullah al-Razi dan Ahmad bin Hanbal dikemukakan oleh masing-masing al-Dzahabi dan Ibn Kathir dengan sanad yang tidak lengkap. Oleh itu riwayat ini tidak dapat dipertanggung-jawabkan. Di sini sekali lagi ditegur sikap penyusun Salafiyah Wahabiyah yang sangat tidak memiliki sebarang disiplin dalam mengemukakan sesebuah riwayat sebagai hujah. Seolah-olah apa sahaja riwayat yang disesuai dengan selera dikemukakan sebegitu sahaja manakala yang tidak disesuai barulah disemak sanad dalam usaha cuba mendha‘ifkannya.

Kedua:

Seandainya sahih kedua-dua riwayat di atas, ia sebenarnya melibatkan takwil penafsiran maksud dan bukannya takwil pengalihan lafaz. Kedua-dua tokoh al-Salaf tersebut sebenarnya menjelaskan apa maksud sebenar ayat ke 2 surah al-Anbiyaa’. Jika hendak dikatakan bahawa dua tokoh al-Salaf tersebut melakukan takwil pengalihan lafaz, pengalihan itu adalah dari apa kepada apa ?

Ketiga:

Kata-kata penyusun Salafiyah Wahabiyah: “……memalingkan lafaz daripada makna zahir kepada makna lain yang diterima oleh logik akal dan naqal” jelas merupakan satu kesilapan yang fatal kerana:

1. Telah menyebut akal sebelum naqal, bererti bahawa beliau mendahulukan akal di atas sumber wahyu al-Qur’an dan al-Sunnah. Hal ini jelas salah kerana seseorang itu sepatutnya mendahulukan sumber wahyu di atas akalnya.

2. Menggunakan akalnya untuk menilai sesuatu perkara sebagai betul atau salah padahal telahpun disebut sebelum ini bahawa dalam subjek ‘aqidah, akal manusia tidak mampu untuk menjangkauinya melainkan tunduk kepada petunjuk wahyu al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.



[1] Riwayat dikemukakan oleh al-Dzahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala, jld. 10, ms. 447.

[2] Wujud kesilapan di sini, ia sebenarnya terletak pada jld. 10, ms. 327.

[3] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 159, no: 10; ms. 157, no: 05 dan Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 15, no: 10; ms. 13, no: 05.

No comments:

Post a Comment