Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 19

PENILAIAN SEMULA NO: 19

Dakwaan al-Bukhari mentakwil hadis Suka.

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 41-42:

Dicatat di dalam riwayat Sahih Bukhari dan Muslim berbunyi:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لقد ضحك الله من فعالكما...

maksud zahir hadith: “Sesungguhnya Allah suka dengan perbuatan kamu berdua.”

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui sanad yang sama dan matan yang panjang. la membincangkan tentang sejarah orang-orang Ansar. Maka untuk meringkaskan perbincangan ini, kami bawakan intipati daripada hadith ini secara langsung.

Melalui hadith ini, Imam al-Bukhari telah mentakwilkan lafaz ( الضحك ) iaitu tertawa itu dengan makna ( الرحمة ) yang bermaksud redha. Beliau tidak mengambil secara zahir nas (memperlakukan dengan tanpa kaifiyat) semata-mata. Imam lbn Hajr al-Asqalani pula mengatakan bahawa lafaz “tertawa” yang disandarkan kepada Allah itu adalah majaziyah. laitu ungkapan yang digunakan tidak membawa maksudnya yang sebenar. Maksud sebenar yang dikehendaki disini ialah keredhaan-Nya. Sila lihat Fath al-Bari, (ms. 496, jid. 7)[1].

Penilaian semula:

Kenyataan di atas sangat perlu dinilai kembali dalam beberapa penilaian.

Pertama:

Lafaz hadis yang dikemukakan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah tidak wujud dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim atau mana-mana kitab hadis yang lain. Yang wujud dalam kitab Sahih al-Bukhari adalah lafaz:

ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا...

Malam tadi Allah Ketawa atau “Kagum” dengan tindakan kalian berdua…[2]

Sekalipun diketahui bahawa penyusun Salafiyah Wahabiyah telah sedia menerangkan bahawa beliau hanya membawa “…… intipati daripada hadith ini secara langsung”, ia tetap tidak dapat diterima kerana terdapat perbezaan antara intipati dan lafaz hadis mengikut ukuran syara’ dan ilmiah.

Kedua:

Dakwaan al-Bukhari telah mentakwilkan hadis di atas adalah tidak benar dan ini ditegaskan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri dalam kitabnya Fath al-Bari. Sila rujuk kepada Fath al-Bari, jld. 8, ms. 632 (Kitab Tafsir, Bab firman Allah: “Dan mereka mengutamakan atas diri mereka sendiri.......(Hasyr 59: 09):

وقال أبو عبد الله معنى الضحك هنا الرحمة. قلت ولم أر ذلك في النسخ التي وقعت لنا من البخاري.

Dan berkata Abu Abdullah (yakni al-Bukhari), makna Ketawa di sini ialah Rahmat. Saya berkata (yakni Ibn Hajar): Tidak ditemui sedemikian dalam mana-mana naskah yang ada pada kami daripada al-Bukhari.

Demikian kata-kata yang sebenar dalam kitab Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari. Penyusun Salafiyah Wahabiyah sekali lagi telah berbuat dusta dengan menyandarkan dakwaannya kepada kitab ini tanpa menerangkan hakikat yang sebenarnya.

Sebenarnya riwayat takwilan Ketawa kepada Rahmat daripada al-Bukhari telah juga disebut oleh al-Baihaqi (458H) dalam kitabnya al-Asma’ wa al-Sifat (tahqiq: al-Kauthari; Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut tp.thn.), ms. 298 & 470. Namun al-Baihaqi tidak mengemukakan sebarang sanad terhadap riwayat ini daripada al-Bukhari, maka dengan itu ia tidak boleh dipertanggung-jawabkan.

Ketiga:

Penyusun Salafiyah Wahabiyah telah menyatakan takwilan Ketawa menjadi Rahmat yang bermaksud Redha. Setakat ini diketahui bahawa perkataan Rahmat bermaksud Redha. Lebih dari itu Rahmat dan Redha adalah dua sifat Allah yang sedia diketahui dan setiapnya memiliki makna yang tersendiri. Justeru tidak mungkin untuk diertikan Rahmat sebagai Redha kerana ini bererti menyatukan dua sifat Allah yang berbeza.

Di sini jelas kelihatan salah satu keburukan al-Takwil, di mana apabila seseorang itu mentakwilkan sesuatu perkataan, tidak ada sesuatu yang akan menghalangnya untuk terus mentakwil dari satu maksud ke maksud yang lain sehingga akhirnya menjauhilah ia daripada maksud yang sebenarnya dikehendaki oleh perkataan yang pertama. Bahkan ia menjadi satu permainan di mana sesuatu sifat Allah itu menjadi teka-teki mengikut penalaran masing-masing. Maha Suci Allah daripada permainan al-Takwil ini.

Keempat:

Pendapat Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa perkataan Ketawa adalah satu majaziyah (kiasan) dan maksud sebenar yang dikehendaki olehnya ialah “keredhaan” adalah merupakan ijtihad beliau sendiri dan ianya sedia dihormati. Sebagai perbandingan, fahaman al-Salaf terhadap sifat Ketawa adalah sepertimana terang Ibn Abi Khuzaimah dalam kitabnya al-Tauhid, jld. 2, ms. 563:

بلا صفة تصف ضحكة جل ثناؤه لا ولا يشبه ضحكة بضحك المخلوقين وضحكهم كذلك, بل نؤمن بأنه يضحك كما أعلم النبي, ونسكت عن صفه ضحكة جل وعلا إذ الله عز وجل استأثر بصفة ضحكة لم يطلعنا على ذلك. فنحن قائلون بما قال النبي مصدقون بذلك بقلوبنا منصتون عما لم يبين لنا مما استأثر الله بعلمه.

Penetapan sifat al-Dhahik (Ketawa) bagi Allah dilakukan tanpa sifat yang menyifati Ketawa Tuhan Yang Maha Mulia dan tidak pula menyerupakan Ketawa-Nya dengan makhluk-makhluk-Nya, dan keketawaan mereka. Akan tetapi kami beriman bahawa Tuhan Ketawa; sebagaimana Nabi memberitahukan hal itu. Kami berdiam (tidak memberikan komentar) mengenai sifat Ketawa-Nya yang Maha Mulia dan Maha Tinggi karena Allah yang Maha Mulia dan Maha Tinggi telah menetapkan sifat Ketawa-Nya tanpa menerangkan kepada kami tentangnya. Kami akan mengatakan dengan apa yang dikatakan oleh Nabi, membenarkan hal itu dengan hati kami dan kami akan diam atas apa yang belum dijelaskannya oleh Allah tentang sifat-Nya daripada Ilmu-Nya.



[1] Hujah di atas asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 159, no: 08 dan Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 14, contoh no: 08.

[2] Sahih: Sebahagian hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, lafaz di atas dikeluarkan oleh al-Bukhari (al-Sahih & al-Adab al-Mufrad) dan al-Baihaqi (al-Sunan al-Kubra), lihat Sahih al-Bukhari – no: 3798 (Kitab Manaqib al-Ansar, Bab firman Allah: “Dan mereka mengutamakan atas diri mereka sendiri.......(Hasyr 59: 09) ).

No comments:

Post a Comment