Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 18

PENILAIAN SEMULA NO: 18

Dakwaan Malik bin Anas mentakwil hadis “al-Nuzul”.

Dalam sebuah hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَىَ كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَىَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا. حِينَ يَبْقَىَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الاَخِرُ،

فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرُ لَهُ.

Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam Turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada Aku supaya dapat Aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada Aku supaya Aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada Aku supaya dapat Aku ampuni dia ?”[1]

Terhadap hadis ini berkata para tokoh dari Hijaz dan Iraq sebagaimana dinukil oleh Muhammad bin Khuzaimah (311H):[2]

نشهد شهادة مقر بلسانه, مصدق بقلبه مستيقن بما في هذه الأخبار من ذكر نزول الرب. من غير أن نصف الكيفية, لأن نبينا المصطفىلم يصف لنا كيفة نزول خالقنا إلى سماء الدنيا, وأعلمنا أنه ينزل.

والله جل وعلا لم يترك ولا نبيه عليه السلام بيان ما بالمسلمين الحاجة إليه من أمر دينهم.

فنحن قائلون مصدقون بما في هذه الأخبار من ذكر النزول غير متكلفين القول بصفته أو بصفة الكيفية إذ النبي لم يصف لنا كيفية النزول.

Kami bersaksi (dengan) persaksian yang diakur dengan lidahnya, membenar dengan hatinya dan menyakini apa yang terdapat dalam hadis-hadis tersebut yang menerangkan tentang Turunnya Tuhan (Allah Subhanahu wa Ta’ala) tanpa menggambarkan bagaimana tatacara (kaifiat) Turun-Nya kerana Nabi kami al-Mustofa (Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam) tidak menggambarkan kepada kami bagaimana Turun Khaliq kami (Allah) ke langit dunia dan tidak memberitahu kami tentang (tatacaranya).

Padahal Allah yang Maha Agung dan Maha Tinggi tidak akan meninggalkan, demikian juga Nabi-Nya tidak akan (meninggalkan) suatu penjelasan akan apa yang diperlukan (penjelasannya) oleh kaum muslimin jika ia adalah satu hujah daripada urusan agama mereka. (yakni jika ia adalah urusan agama yang memerlukan penjelasan, pasti Allah dan Rasul-Nya akan menjelaskannya – penulis).

Maka kami membenarkan lagi meyakini kebenaran tentang apa yang terdapat dalam hadis-hadis berkaitan Penurunan (Allah) tanpa bersusah-payah membicarakan sifat-Nya atau sifat tatacara (Penurunan)-Nya (kaifiat) memandangkan Nabi (sendiri) tidak menggambarkan kepada kami tentang tatacara (kaifiat) Penurunan tersebut.

Berkata Ibn Taimiyyah (728H)[3]:

فالرب سبحانه إذا وصفه رسوله بأنه ينزل إلى سماء الدنيا كل ليلة, وأنه يدنو عشية عرفة إلى الحجاج, وأنه كلم موسى في الوادي الأيمن في البقعة المباركة من الشجرة, وأنه استوى إلى السماء وهي دخان, فقال لها وللأرض ائتيا طوعا أو كرها, لم يلزم من ذلك أن تكون هذه الأفعال من جنس ما تشاهده من نزول هذه الأعيان المشهورة حتى يقال ذلك يستلزم تفريغ مكان وشغل آخر فإن نزول الروح وصعودها لا يستلزم ذلك فكيف برب العالمين.

Maka Tuhan (Allah) yang Maha Suci, apabila Rasulullah menerangkan sifat-Nya yang Turun ke langit dunia pada setiap malam, Menghampiri Padang Arafah (ketika musim) haji[4], Berbicara kepada Nabi Musa di pinggir lembah yang diberkahi dari sebatang pohon kayu[5], Allah Beristiwa’ ke langit yang (ketika itu masih dalam keadaan) kabut, kemudian Allah berfirman kepadanya dan bumi: “Datanglah kamu berdua baik dalam keadaan suka atau dalam keadaan terpaksa”[6], perbuatan yang sedemikian tidaklah sama dengan yang biasa kita saksikan seperti turunnya benda-benda yang dapat kita lihat, sehingga dikatakan bahwa: “Hal itu melazimkan adanya pengosongan suatu tempat dan pengisian tempat yang lain” (yakni tidak harus dikata atau dianggap demikian) kerana sesungguhnya (sifat) turun dan naik bagi Ruh tidaklah melazimkan sedemikian maka bagaimana pula dengan (Allah) Tuhan sekalian alam (pasti juga ia tidak sedemikian juga).

Berkata Ibn Taimiyyah lagi apabila ditanya bagaimana cara Istiwa’ dan al-Nuzul (Penurunan):[7]

فنعلم معنى الاستواء ولا نعلم كيفيته, وكذلك نعلم معنى النزول ولا نعلم كيفيته.

Sesungguhnya kami mengetahui makna Beristiwa’ tetapi kami tidak mengetahui bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Dan demikian juga kami mengetahui makna Penurunan tetapi kami tidak mengetahui bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat).

Sekalipun telah jelas pegangan generasi al-Salaf tentang hadis al-Nuzul di atas, penyusun Salafiyah Wahabiyah telah mengemukakan sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abd al-Barr (463H)[8] bahawa Malik bin Anas (179H) telah mentakwilkan maksud Penurunan sebagai “Turunnya perintah tuhan kita”. Riwayat ini telah juga dinukil oleh al-Nawawi (676H)[9]. Hal ini sepertimana yang disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 40-41.[10]

Penilaian semula:

Kata-kata Malik bin Anas di atas diriwayatkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr dari jalan: Muhammad bin ‘Ali al-Jibali seorang muslim yang thiqah dari Qaryawan, dia berkata: haddathana Jamii’ bin Sawadah dari Mesir, dia berkata: haddathana Matraf, ‘an Malik bin Anas…..seperti di atas.

Sanad di atas adalah dha‘if kerana dha‘ifnya Jamii’ bin Sawadah. Beliau didha‘ifkan oleh al-Daruquthni sebagaimana nukil Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Lisan al-Mizan (tahqiq: Aidil Ahmad & ‘Ali Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996) – perawi no: 1913.

Ibn al-Jauzi berkata dia majhul (tidak dikenali), demikian nukil Ibrahim bin Muhammad dalam al-Kasyfu al-Hathith (tahqiq: Subhi al-Samara‘i; ‘Ulum al-Kitab, Beirut 1987) – perawi no: 185.

al-Dzahabi menyenaraikan beliau dalam kitabnya Mizan al-Iktidal – perawi no: 1434 dan al-Mughni fi al-Dhu‘afa’ (tahqiq: Abu al-Zahra’ Hazm; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998) – perawi no: 1086.

Malah Ibn ‘Abd al-Barr sendiri mengetahui kelemahan Jamii’ bin Sawadah. Beliau hanya berdiam diri apabila menyebut nama Jamii’ bin Sawadah, berbeza halnya dengan pengiktirafan beliau terhadap perawi yang pertama: Muhammad bin ‘Ali al-Jibali. Oleh itu riwayat daripada Malik bin Anas ini adalah dha‘if dan tidak boleh dijadikan rujukan apatah lagi ia adalah sesuatu yang melibatkan urusan ‘aqidah. Apa yang benar dan terpelihara daripada Malik bin Anas apabila ditanya tentang nas-nas al-Sifat ialah kata-kata: “Terimalah ia sebagaimana ia datang tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat)”[11]

Lebih dari itu penakwilan sifat Turun kepada “Turunnya perintah tuhan kita” adalah sesuatu yang menyalahi konteks perbicaraan hadis dan menyalahi konsep berdoa di dalam Islam yang akhirnya akan membawa kepada kekufuran. Berikut dikemukakan semula teks hadis disertai terjemahannya tanpa penakwilan:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَىَ كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَىَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا. حِينَ يَبْقَىَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الاَخِرُ، فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرُ لَهُ.

Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada Aku supaya dapat Aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada Aku supaya Aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada Aku supaya dapat Aku ampuni dia ?”

Apabila dilakukan penakwilan sepertimana yang didakwa, maka menjadilah hadis tersebut:

Perintah Tuhan kita (Allah) Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Perintah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada aku (Perintah) supaya dapat aku (Perintah) menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku (Perintah) supaya aku (Perintah) dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada aku(Perintah) supaya dapat aku (Perintah) ampuni dia ?”

Perhatikan, apabila ditakwil sifat “Turun” kepada “Perintah” bererti yang menginginkan doa daripada seseorang hamba dan yang akan mengabulkan doa tersebut adalah “Perintah” dan bukannya Allah Ta‘ala. Ini jelas merupakan satu kesalahan, bukan sahaja dari sudut penakwilan tetapi juga dari sudut konsep berdoa di dalam Islam. Islam mengajar kita bahawa doa itu hanya boleh dipohon daripada Allah dan hanya Allah yang akan mengabulkannya. Apabila seseorang itu mendakwa doa boleh dipohon daripada sesuatu selain Allah dan sesuatu selain Allah akan mengabulkannya, bererti dia telah mengubah kesucian Tauhid ke arah kecemaran syirik. Kesilapan seperti ini tidak mungkin dilakukan oleh Malik bin Anas rahimahullah.

Kesilapan yang sama berlaku ke atas aliran-aliran lain yang mentakwil sifat “Turun” dalam hadis di atas kepada “Rahmat” atau “Nikmat”, bererti yang menginginkan doa daripada seseorang hamba dan yang akan mengabulkan doa tersebut adalah “Rahmat” atau “Nikmat” dan bukannya Allah ‘Azza wa Jalla.

Semoga Allah mengampuni kesalahan orang-orang yang, berdasarkan akal mereka, menganggap wujud kesalahan dalam nas-nas al-Sifat yang dikhabarkan oleh-Nya sehingga perlu ditakwilkan ke arah kebenaran. Orang-orang sebegini memaksa diri mereka dibelenggu oleh satu kesalahan yang besar kepada kesalahan lain yang lebih besar. Kesalahan besar yang pertama adalah menganggap nas-nas al-Sifat adalah sesuatu yang menyalahi akal sehingga perlu ditakwilkan manakala kesalahan kedua yang lebih besar adalah hasil daripada takwilan mereka yang menyalahi naqal yang sahih dan akal yang pada asalnya mengarahkan penakwilan itu sendiri. Tidaklah penakwilan itu membetulkan apa-apa kesalahan melainkan menambahkannya ke tahap yang lebih berat.



[1] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Malik, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 758 (Kitab Solat, Bab Anjuran berdoa dan berzikir di akhir malam........).

[2] Ibn Khuzaimah – Kitab al-Tauhid wa Ithbat Sifat al-Rabb ‘Azza wa jalla (tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin Ibrahim; Maktabah al-Rusyd, Riyadh 1997), jld. 1, ms. 289-290.

Beliau adalah Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah, lahir pada tahun 223H di Nishapur. Seorang tokoh hadis yang terkemuka di zamannya, penyusun kitab hadis Sahih Ibn Khuzaimah. Beliau juga adalah guru kepada Ibn Hibban (354H), penyusun kitab hadis Sahih Ibn Hibban. Ibn Khuzaimah meninggal dunia pada tahun 311H.

[3] Daqa‘iq al-Tafsir (tahqiq: Muhammad Sa‘id; Muassasah ‘Ulum al-Qur’an, Damsyik 1986H), jld. 6, ms. 424.

[4] Lihat hadis yang berkaitan dalam Sahih Muslim – no: 1348 (Kitab al-Hajj, Bab Tentang keutamaan Haji, Umrah dan Hari ‘Arafah).

[5] Lihat al-Qur’an surah al-Qasas 28:30.

[6] Lihat al-Qur’an surah al-Fussilat 41:11.

[7] Syarah Hadis al-Nuzul (Maktabah al-Islami, Beirut 1991), ms. 32.

Sengaja penulis memperincikan kata-kata Ibn Taimiyyah tentang hadis al-Nuzul bagi menjawab fitnah orang yang mengatakan Ibn Taimiyyah pernah menggambarkan tatacara al-Nuzul dengan beliau sendiri menuruni anak tangga mimbar sebuah masjid di Damsyik. Fitnah ini tiada yang memiliki sanad yang sahih dan ia jelas bertentangan dengan tulisan tangan Ibn Taimiyyah sendiri. Lebih lanjut tentang fitnah ini dan selainnya, lihat buku Puteh Ishak – Ibn Taimiyyah: Sejarah Hidup dan Tasawuf (Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur 1993).

[8] Lihat al-Tamhid lima fi al-Muwattha’ min al-Ma‘ani wa al-Masanid (tahqiq: Mustofa bin Ahmad & M. ‘Abd al-Kabir; Wazarah ‘Umum al-Awqaf al-Islamiyah, Maghribi 1387H), jld. 7, ms. 143.

Beliau ialah Yusuf bin ‘Abd Allah bin Muhammad bin ‘Abd al-Barr, lahir di Kardova, Sepanyol pada tahun 368H. Seorang ahli hadis yang ulung dalam dunia Islam dan ahli fiqh yang masyhur dalam Mazhab Maliki. Meninggal dunia pada tahun 463H.

[9] Lihat Syarah Sahih Muslim bi al-Nawawi (tahqiq: ‘Irfan Haswun; Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut 2000), jld. 4, ms. 73 (syarah kepada hadis no: 758, Kitab Solat, Bab Anjuran berdoa dan berzikir di akhir malam........).

[10] Asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 162, no: 14 dan Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 18, contoh no: 14.

[11] Telah disebut takhrijnya sebelum ini. Lihat juga penjelasan lanjut al-Dzahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala (tahqiq: Syu‘aib al-Arna’uth; Muassasah al-Risalah, Beirut 1998), jld. 8, ms. 105.

No comments:

Post a Comment