Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 15

PENILAIAN SEMULA NO: 15

Dakwaan al-Takwil terhadap perkataan “Zalim” dalam ayat 82 surah al-An‘aam.

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 33-34:

Orang yang berhak mentakwil ialah nabi Muhammad s.a.w., kerana Bagindalah penyampai Risalah kepada seluruh umat manusia dan Jin. Baginda bertindak sebagai pendidik, pentafsir dan pentakwil nas-nas yang tidak dapat difahami maksudnya dengan jelas oleh para sahabat. Sebagai contoh, ketika ayat-ayat al-Qur'an yang diturunkan itu jelas maksudnya, para sahabat terus beriman dengan zahir ayat. Sebaliknya, apabila diturunkan ayat-ayat yang sukar difahami maksudnya, mereka mengadu dan bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w. Contohnya: Firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

Maksudnya: “Tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman”. (Surah al-An'am 6:82)

Berkenaan ayat ini, para sahabat bertanyakan Rasulullah s.a.w.: “Siapakah dia (wahai Rasulullah) orang yang tidak menzalimi dirinya itu?. Maka Baginda telah mentafsirkan "الشرك" itu ialah menyekutukan Allah, berdasarkan kepada ayat di dalam surah al-Luqman. Firman Allah Ta’ala yang berbunyi:

“Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. (Surah al-Luqman 31:13)

Penilaian semula:

Tidak diingkari kenyataan di atas malah sangat dipersetujui dengannya. Adapun hadis yang menerangkan tindakan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mentakwil perkataan “zalim” sebagai “syirik”, ia diriwayatkan oleh ‘Abd Allah Ibn Mas‘ud radiallahu ‘anhu dan dikeluarkan oleh al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 6937 (Kitab Menyuruh orang yang murtad dan yang berkeras hati (untuk bertaubat) dan memerangi mereka, Bab Apa yang disebut tentang al-Muta-awwalin). Hadis ini secara lengkapnya telah dikemukakan dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 43-44.

Al-Takwil yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis di atas bukanlah merupakan takwil pengalihan lafaz tetapi adalah takwil penafsiran maksud.

Kenyataan penyusun Salafiyah Wahabiyah: “Baginda bertindak sebagai pendidik, pentafsir dan pentakwil nas-nas yang tidak dapat difahami maksudnya dengan jelas……” adalah satu kenyataan yang sangat tepat bahkan selari dengan firman Allah ‘Azza wa Jalla:

Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan,

supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka,

dan supaya mereka memikirkannya. [al-Nahl 16:44]

Namun apabila dikatakan Rasulullah bertindak sebagai pentakwil, ingin diperincikan bahawa takwilan yang baginda lakukan hanyalah terhadap nas-nas yang tidak melibatkan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sepanjang pengetahuan penulis, tidak pernah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mentakwilkan dengan takwil pengalihan lafaz terhadap mana-mana sifat Allah yang disebut di dalam al-Qur’an al-Karim. Malah dalam puluhan hadis-hadisnya baginda menyebut sesuatu sifat Allah secara zahir tanpa mengalihkan ertinya.

Hal ini diperkuat dan diperbenarkan lagi dengan tindakan penyusun Salafiyah Wahabiyah sendiri dalam kenyataannya di atas. Dalam suasana beliau cuba untuk membuktikan hak Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam untuk melakukan al-Takwil, beliau gagal untuk membawa satu contoh di mana Rasulullah melakukan takwil pengalihan lafaz terhadap mana-mana nas-nas al-Sifat yang mengkhabarkan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Beliau hanya mampu mengemukakan contoh di atas yang sebenarnya hanya merupakan takwil penafsiran maksud yang tidak langsung melibatkan sifat Allah.

Oleh itu jika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang telah diberi amanah sebagai penjelas al-Qur’an tidak mentakwilkan sifat-sifat Allah dalam konteks takwil pengalihan lafaz, maka adakah kita umat baginda akan mentakwilkannya pula ? Apa yang pasti generasi al-Salaf tidak mentakwilkannya maka dengan itu kita juga tidak sepatutnya mentakwilkannya.

No comments:

Post a Comment