Sunday, September 12, 2010

PENILAIAN SEMULA NO: 17

PENILAIAN SEMULA NO: 17

Dua kaedah bacaan terhadap ayat 7 surah ‘Ali Imran.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Dia-lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat”; ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat”. Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya.

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. [‘Ali Imran 3:07]

Terdapat dua cara bacaan bagi bahagian akhir ayat di atas:[1]

Pertama:

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama , berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”

Dalam kaedah bacaan ini tidak ada perhentian selepas kalimah melainkan Allah bererti al-Takwil terhadap ayat-ayat mutasyabih diketahui oleh Allah dan orang-orang yang mendalam ilmunya.

Kedua:

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.

Sedangkan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”.

Dalam kaedah bacaan ini, rangkap pertama dihentikan selepas kalimah melainkan Allah. Ia kemudian disambung dengan rangkap yang baru: Sedangkan orang-orang yang… Kaedah ini bererti al-Takwil terhadap ayat-ayat mutasyabih hanya diketahui oleh Allah sahaja. Selain Allah, mereka tidak mengetahuinya.

Berdasarkan ayat di atas dan dua kaedah bacaannya, berkata penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 39-40:

Apa yang jelas, kedua-dua kaedah ini datang daripada al-Salaf al-Soleh yang asal. Kedua-dua kaedah ini selamat digunakan di dalam memahami dan memelihara aqidah, khususnya ketika mempraktikkan nas-nas al-Sifat yang mutasyabih. Bagi kita pula, tidak ada ruang yang lain selain daripada kedua-dua kaedah ini. Kedua-duanya merupakan kaedah yang selamat digunakan kerana diambil daripada para al-Salaf al-Soleh yang sebenar-benarnya.

Penilaian semula:

Memang benar bahawa kedua-dua kaedah bacaan di atas berasal daripada generasi al-Salaf al-Salih. Akan tetapi adalah tidak benar apabila dikatakan kedua-dua kaedah bacaan ini boleh digunakan terhadap nas-nas al-Sifat kerana para al-Salaf al-Salih tidak pernah menggunakan kaedah bacaan yang pertama terhadap nas-nas al-Sifat. Setakat ini tidak diperolehi bukti yang sahih bahawa yang alim lagi mendalam ilmunya daripada kalangan al-Salaf al-Salih telah mentakwilkan ayat-ayat al-Qur’an tentang sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan takwil pengalihan lafaz.

Bahkan penyusun Salafiyah Wahabiyah sendiri sehingga kini masih gagal untuk membuktikan bahawa generasi al-Salaf al-Salih telah melakukan takwil pengalihan lafaz terhadap ayat-ayat berkenaan sifat Allah Ta’ala. Yang dapat beliau buktikan hanyalah takwilan yang tidak melibatkan sifat-sifat Allah atau takwilan yang hanya melibatkan penafsiran maksud. Maka adalah satu pendustaan yang besar apabila dikatakan mentakwil ayat-ayat al-Sifat berdasarkan kaedah bacaan yang pertama adalah: “diambil daripada para al-Salaf al-Soleh yang sebenar-benarnya.”

Ketahuilah bahawa ayat-ayat mutasyabih sebahagiannya diketahui oleh orang yang alim manakala sebahagian lagi tidak diketahui oleh mereka. Ini adalah kerana sifat alim bagi seseorang tidak semestinya bermakna dia mengetahui segala-galanya tetapi ia juga bererti dia mengetahui batas-batas pengetahuannya. Dia tidak akan melanggar batas-batas tersebut kerana dia tahu ilmunya tidak mampu melepasinya. Oleh itu terdapat satu kata-kata hikmah yang masyhur di kalangan al-Salaf yang berbunyi: Antara tanda kealiman seseorang ialah dia berkata “Aku tidak tahu” apabila dia tidak tahu.

Adapun kata-kata Abdullah Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu: “Akulah antara orang-orang yang mengetahui tentang takwilnya[2] , perkataan takwil di sini adalah umum dan ia tidak bererti bahawa Ibn ‘Abbas memiliki ilmu untuk melakukan takwil pengalihan lafaz ke atas nas-nas al-Sifat. Malah yang benar dari sudut istilah, takwil yang dimaksudkan oleh Ibn ‘Abbas adalah tafsir iaitu menafsirkan maksud sesuatu ayat.



[1] Lihat: Ibn Jarir al-Tabari – Jamii’ al-Bayan (tahqiq: Siddiq Jamil al-‘Athar; Dar al-Fikr, Beirut 1999), jld. 3, juz 1, ms. 247 dan seterusnya, Ibn Abi al-Izz al-Hanafi – Syarah al-’Aqidah al-Thahawiyyah (tahqiq: Syu‘aib al-Arna’uth; Muassasah al-Risalah, Beirut 1991), jld. 1, ms. 254 dan al-Suyuti – al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1991), jld. 2, ms. 4-5 (Bab Tentang al-Muhkam dan al-Mutasyabih). Bagi sumber terjemahan, lihat Tahzib Syarh ath-Thahawiyah (terj: A. Umar Basyir; Pustaka al-Tibyan, Solo 1999), jld. 2, ms. 262-263 dan Mutiara Ilmu-ilmu al-Qur’an (ringkasan kitab al-Itqan al-Suyuti) oleh Muhammad Alawi al-Maliki (terj: Rosihon Anwar; Pustaka Setia, Bandung 1999), ms. 143-149.

[2] Sanad hasan: Athar dikeluarkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dalam Jamii’ al-Bayan – no: 5208 dengan sanadnya: haddathani Muhammad bin ‘Amr (bin al-‘Abbas), dia berkata: haddathana Abu ‘Ashim (al-Dhahhak bin Makhalad), ‘an ‘Isa (bin Maimun bin Dayyah al-Makki sahabat Ibn Abi Najih), ‘an (‘Abd Allah) Ibn Abi Najih, ‘an Mujahid, ‘an Ibn ‘Abbas.

Para perawi di atas adalah thiqah. Ibn Abi Najih, beliau tidak pernah mendengar terus daripada Mujahid melainkan melalui al-Qasim bin Abi Barrah. Lihat Mizan al-Iktidal (tahqiq: Aidil Ahmad & Ali Muhammad Mu’awwad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), perawi no: 4656.

No comments:

Post a Comment